Antara Dua Darjat
Di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain menghadapi wabak Covid-19, kita dapat menyaksikan pelbagai tragedi yang menimpa negara, antaranya ialah kes-kes mahkamah yang melibatkan pembesar-pembesar negara dan juga rakyat jelata.
Berapa banyak kes ketidakpatuhan PKP yang membabitkan orang awam dan orang politik yang telah berlaku dan kita menyaksikan bagaimana kes-kes yang melibatkan orang awam telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman serta-merta, manakala kes-kes yang melibatkan orang-orang besar hanya dibawa ke mahkamah setelah tular di media sosial dan wujudnya protes dari orang ramai.
Malah hingga kini beberapa kes yang melibatkan orang-orang besar dari parti pemerintah yang telah jelas melanggar PKP di mana laporan polis pun telah dibuat mengenainya, namun mereka masih tetap kebal daripada proses mahkamah.
Selain kes pembesar parti pemerintah yang terlepas walaupun melanggar PKP, kita juga menyaksikan terlepasnya bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada kesemua 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan lebih AS$100 juta – satu keputusan yang sungguh menakjubkan!!!
Umum mengetahui bahawa Musa tidak pernah didakwa semasa parti beliau memerintah dahulu. Hanya apabila parti beliau kalah dan tampuk pemerintahan diambil alih oleh parti lain, maka beliau terus didakwa dan terpaksa turun naik mahkamah. Kini, setelah kembalinya tampuk pemerintahan negara (di peringkat Pusat) kepada partinya semula, beliau telah terlepas daripada segala pertuduhan.
Begitu juga dengan kes Riza Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB. Beliau telah dilepaskan oleh mahkamah setelah parti bapa tirinya kembali memerintah negara.
Dalam masa yang sama, terdapat beberapa kes curi kecil-kecilan yang dilakukan oleh rakyat jelata yang berdasarkan fakta, hidup dalam kesusahan, iaitu mencuri Milo dan telah dihukum penjara selama 10 bulan berserta denda RM500. Dalam kes lain, seorang pemuda telah di penjara 6 bulan kerana mencuri duit tabung masjid. Manakala seorang wanita yang didakwa mencuri susu dan kicap telah di penjara 6 bulan dan denda. Seorang buruh pula terpaksa meringkuk di penjara selama dua tahun kerana mencuri 6 tin sardin dan 3 paket Milo dan seorang buruh lain dijatuhkan hukuman 15 bulan penjara selepas mengaku bersalah mencuri petai.
Inilah fakta yang telah terjadi dalam negara. Selain wujudnya perbezaan nyata hukuman mahkamah antara dua darjat manusia, apa yang jelas ialah tertuduh daripada kalangan parti pemerintah atau yang ada kaitan dengan parti pemerintah, terlepas daripada hukuman. Trend seumpama ini sebenarnya bukanlah baru, malah telah lama berlaku iaitu sejak puluhan tahun yang lalu di bawah pemerintahan kerajaan yang sedia ada sekarang. Kini kita menyaksikan ia berulang kembali.
Apa yang berlaku ini mengingatkan kita kepada sebuah kisah di zaman Rasulullah (saw). Ada seorang perempuan Makhzumiyah melakukan pencurian. Kes ini menjadi perhatian besar kaum Quraisy. Mereka lalu berbincang untuk meminta keringanan hukuman dari Nabi (saw). Akhirnya mereka sepakat untuk mengutus Usamah bin Zaid, orang yang sangat dicintai oleh Nabi (saw) untuk menyampaikan hasrat mereka. Usamah lalu menyampaikan hal tersebut. Mendengar hal itu, Rasulullah (saw) lalu berkata kepada Usamah,
“Wahai Usamah, apakah engkau hendak meminta keringanan atas penerapan salah satu hukum Allah?” Baginda lantas berucap di hadapan orang ramai, “Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian binasa kerana jika ada yang mencuri daripada kalangan bangsawan mereka, mereka membiarkannya. Sebaliknya, ketika ada yang mencuri daripada kalangan masyarakat yang lemah, mereka menerapkan hukum dengan tegas. Demi Allah, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti akan aku potong tangannya” [HR Muslim].
Nabi (saw) telah menerangkan tentang kehancuran umat yang terdahulu apabila menerapkan hukum secara pilih kasih antara pembesar dan rakyat. Nampaknya apa yang diperingatkan oleh Nabi (saw) sejak lebih 1400 tahun yang lalu, kini dapat disaksikan di depan mata kita.
Betapa untungnya menjadi pembesar atau ada kaitan dengan parti yang sedang memerintah! Bukan sahaja mereka ini kaya raya yang melampau-lampau kekayaannya, malah sering sahaja terlepas kes-kes mahkamah, itu pun jika masuk mahkamah.
Malangnya mereka lupa bahawa “untungnya” mereka itu hanya di dunia yang fana ini sahaja. Manakala di akhirat kelak, Allah (swt) akan mengadili mereka dengan seadil-adilnya dan tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada pengadilan Allah (swt). Firman-Nya,
“(Yaitu) hari (ketika) mereka keluar (dari kubur); tiada suatu pun dari keadaan mereka yang tersembunyi bagi Allah. (Lalu Allah berfirman): “Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini?” Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan. Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya” [TMQ al-Mu’min (40): 16-17]
Wallahu a’lam.