Apa ada dengan KPI Wahai Najib Jika Perintah Allah Engkau Belakangkan!

altKPI menteri esok

PUTRAJAYA 11 Dis. – Ahad ini merupakan hari penting kepada menteri-menteri Kabinet apabila prestasi mereka akan dinilai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Setiap menteri akan mengemukakan dan membentangkan apa yang telah mereka laksanakan dan capai sejak Prestasi Petunjuk Utama (KPI) diperkenalkan April lalu.

Ia akan dilakukan pada mesyuarat KPI di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur lusa. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Perdana Menteri dijadual mempengerusikan mesyuarat itu dan seterusnya membuat penilaian melalui panduan perunding dan Jabatan Perdana Menteri sendiri.

“Setiap menteri akan mengemukakan perkara pokok pencapaian kementerian mereka. “Ini (mesyuarat KPI para menteri) merupakan tinjauan terakhir Perdana Menteri berasaskan janji komitmen beliau pada April lalu iaitu selepas November ini akan diadakan penilaian keseluruhan prestasi semua menteri Kabinetnya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Rais, bagi kementerian beliau, antara perkara pokok prestasi dinilai berdasarkan pemahaman rakyat Malaysia mengenai gagasan 1Malaysia serta tahap penembusan Jalur Lebar di seluruh negara. ‘‘Alhamdulillah, nisbah diterokai yang dapat dipastikan ialah 30 peratus penembusan Jalur Lebar. ‘‘Demikian juga dengan kefahaman gagasan 1Malaysia yang mencapai tahap 30 peratus,” katanya.

April lalu, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan KPI untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai melambangkan pembaharuan serta pendekatan kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan mendahulukan rakyat.

Berikutan itu, enam menteri kanan dilantik menerajui enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan.
Dalam aspek ini, Perdana Menteri terlibat secara langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.

Sumber : Utusan Malaysia, 12/12/2009

Apa ada dengan KPI Wahai Najib Jika Perintah Allah Engkau Belakangkan!

Sejak KPI diperkenalkan oleh Perdana Menteri April lalu, semua menteri kabinet  tidak dapat duduk senang. Semuanya umpama cacing kepanasan. Tidak kiralah demi mempertahankan periuk belanga masing- masing, mahupun untuk meningkatkan populariti masing- masing di mata rakyat. Najib yang mula menggalas tugas sebagai orang No.1 kerajaan cuba untuk melakukan beberapa transformasi agar kerajaan yang dipimpinnya kelihatan semakin telus di mata rakyat Malaysia mahupun dunia berbanding kerajaan pimpinan bekas PM sebelum ini yang telah dipukul teruk oleh rakyat semasa pilihanraya umum yang lalu. Namun begitu, apalah gunanya KPI itu sekiranya ia disandarkan kepada pengurusan rakyat yang tidak berlandaskan Al Quran dan As Sunnah? KPI siapa yang mereka utamakan? Apakah KPI bersumberkan akal fikiran manusia semata ataupun penilaian berdasarkan keredhaan Allah?

Sesungguhnya, Allah telah berfirman di dalam Al-Quran :

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata”. [TMQ Al-Ahzab : (36)]

Allah telah menegaskan bahawa pengaturan yang sewajibnya dilakukan oleh manusia adalah berdasarkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah melalui RasulNya yang memberi konotasi kedaulatan mutlak itu adalah pada syariat Islam. Namum begitu, apa yang pasti, pengaturan yang dilakukan oleh pemimpin sekarang ini bukanlah berlandaskan itu, tetapi berlandaskan undang-undang warisan penjajah kufur serta undang-undang yang bertolak belakang dengan keredhaan Allah.

“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44],

“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”
[TMQ al-Ma’idah (5):45],

“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”
[TMQ al-Ma’idah (5):47].

Ayat-ayat Allah ini amat jelas menuntut kita agar berhukum dengan hukum Allah dan bukan yang selainnya. Di kala menteri- menteri kabinet enak bermesyuarat di hotel 5 bintang untuk mendengar penilaian daripada PM, kalian ingatlah bahawa dalam masa yang sama, Allah turut membuat penilaian ke atas kalian. Dan sesungguhnya, penilaian dan keredhaan Allah itulah yang paling utama dan bukannya penilaian dan keredhaan manusia lemah bernama Najib. Penilaian daripada Allah jualah yang akan menentukan di manakah kesudahan tempat tinggal kalian di akhirat kelak.