Wahai Najib contohilah Rasullullah dengan sebenar-benarnya!!!

Teladani sifat terpuji Rasulullah: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam mencontohi dan mengambil teladan empat sifat Nabi Muhammad iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan.

Perdana Menteri berkata, empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif.
“Maka sudah tentu pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan,” kata Najib dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah, hari ini.

Najib berkata, agenda Rasulullah yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman.

“Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah dalam mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat jahil, bersengketa dan berpecah-belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati.
“Oleh itu, sempena kita memperingati Maulidur Rasul, bersamalah kita merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh,” katanya.

Najib juga berkata, dalam sirah perjuangan Rasulullah, tiada kejayaan yang mudah diperoleh Baginda dan sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh strategi dan konsisten.

Peristiwa Peperangan Khandak misalnya membuktikan Rasulullah dan sahabat Baginda menggunakan minda yang efektif melalui mesyuarat untuk merancang dan bertindak secara kolektif dan kreatif melalui kepelbagaian strategi.

Maka dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah berjaya mengalahkan musuh, katanya.
Najib berkata, sebaliknya dalam peperangan Uhud, oleh kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin dan tiada perancangan sistematik, mereka menerima kekalahan.

“Sesungguhnya Allah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya perancangan yang strategik dalam menentukan kejayaan.

“Iktibarnya, kita juga memfokuskan beberapa perancangan dan misi besar untuk memaju dan memakmurkan negara,” katanya.

Katanya, bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Wawasan 2020.

“Gagasan 1Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020, manakala MEB dan RMK-10 adalah komitmen serta landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya 2020,” katanya. – Bernama

Sumber: Berita Harian, 28/02/2010

Wahai Najib contohilah Rasullullah dengan sebenar-benarnya!!!

Alhamdulillah, Najib nampaknya telah mula mengintai cara islam dan mula mengambil teladan dari Rasullullah. Namun, mungkin Najib masih kabur hingga beliau hanya nampak empat sahaja ciri yang boleh diteladani dari Rasullullah.

Sepatutnya beliau harus benar-benar mencontohi Rasullulah sebagai ketua negara dengan menerapkan Islam secara syumul yang dengan itu pasti umat akan mendapat perlindungan daripadanya. Najib seharusnya mencontohi Rasullullah dalam menerapkan sistem pemerintahan Islam, sistem ekonomi Islam, sistem sosial Islam, sistem perundangan Islam, polisi pendidikan Islam, polisi luar negeri Islam dan merealisasikan Daulah Khilafah.

Wahai Najib berubahlah dengan menghilangkan kejahilan kepada pengetahuan dan keimanan. Kamu telah diberi kuasa memimpin sebuah negara,  maka gunakanlah peluang ini untuk mendapatkan keredhaan Allah yang cukup mulia dengan mengubah sistem sekular yang kamu warisi ini kepada Islam!!!