Apa Ada Dengan The New Village
The New Village yang diarahkan oleh Wong Kew Lit dan diterbitkan oleh Astro Shaw itu berkisar tentang darurat di Tanah Melayu pada 1949 serta mempaparkan PKM dan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, filem tersebut dikatakan memuatkan unsur-unsur komunisme dalam beberapa babak. Justeru katanya, kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana dilaporkan filem itu terlalu mengagung-agungkan perjuangan haluan kiri Parti Komunis Malaya (PKM) pada zaman pemerintahan British. “Ada laporan mengatakan bahawa filem tersebut mempromosi perjuangan haluan kiri PKM dan kita tidak mahu perkara ini menimbulkan isu sensitif lebih-lebih lagi filem itu dijadual akan disiarkan menjelang hari kemerdekaan negara” Katanya lagi.
Memang tidak dinafikan bahawa fahaman komunisme ini tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya tersebar kalangan masyarakat kerana dikhuatiri ia akan mempengaruhi minda rakyat. Ideologi yang berasaskan kepada idea dialektika materialism itu sudah pun menjalar di kalangan sebahagian kecil rakyat Malaysia. Jadi, sebelum ia merebak memang wajarlah ia disekat diperingkat awal.
Namun, apa yang hendak dipersoalkan di sini adalah apakah fahaman sekular yang menjadi asas kepada Sistem Demokrasi yang sedang dipertahankan oleh majoriti rakyat Malaysia pada ketika ini adalah fahaman yang benar? Walaupun Sistem Demokrasi dan Sistem Sosialisme-Komunisme itu berbeza, namun kedua-duanya tetap bertentangan dengan isi kandungan Al Quran dan As Sunnah. Bahkan, Sistem Demokrasi telah terbukti gagal di dalam menyelesaikan pelbagai krisis kemasyarakatan seperti gejala sosial, turun-naik ekonomi, kemiskinan, tekanan hidup, pengangguran dan sebagainya. Mungkin ia dapat menyelesaikan sebahagian kecil aspek kehidupan, namun ia tetap tertolak kerana di dalam Islam, seluruh permasalahan manusia khususnya umat Islam wajib merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Firman Allah SWT:
“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu(Muhammad) sebagai hakim/pemutus terhadap perkara yang mereka perselisihkan” [TMQ An Nisaa’ : 65]
Jadi, umat Islam wajib untuk terikat kepada setiap ajaran Islam sebagaimana yang terkandung di dalam Al Quran dan As Sunnah baik di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.
Sumber : Utusan Malaysia