Apa dan siapa punca masalah di Sabah?
Menarik untuk diamati kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika mengulas tentang isu-isu di Sabah, katanya: “Ada orang cakap kalau kita tak bergabung dengan kerajaan persekutuan, maka susah kita. Dalam perlembagaan, itu tanggungjawab kerajaan persekutuan”. Tambahnya lagi: “Bergabung (atau) tak bergabung, tanggungjawab kamu. (Kalau) Mereka tidak tunai, saya bawa mereka pergi mahkamah!” [Malaysiakini, 14/09/2020].
Sekilas, kata-kata tersebut tampak boleh mengujakan para pendengarnya. Shafie seperti meletakkan kesalahan kepada kerajaan persekutuan sekiranya kerajaan persekutuan tidak membantu Sabah. Dari satu sudut, ya memang ada kebenarannya. Namun bekas ketua menteri Sabah itu seolah-olah tidak sedar bahawa apa jua masalah yang menimpa Sabah, ia telah berlaku sejak sekian lama iaitu sejak Sabah berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) lagi, di mana beliau adalah sebahagian daripada BN! Persoalannya, apa yang dilakukan oleh Shafie selama itu, padahal ia mempunya jawatan besar dalam kerajaan Persekutuan dan berada dalam parti yang memerintah!?
Jika nasib rakyat Sabah sudah terbela sejak zaman BN, dan sejak Warisan memerintah Sabah, maka Sabah sudah tidak ada apa-apa isu lagi sekarang ini. Dengan kata lain semua masalah di Sabah sudah selesai, jika ia ditadbir urus dengan baik selama ini. Namun realitinya tidak begitu. Rakyat Sabah masih ramai yang miskin, pembangunan di Sabah masih terkebelakang, dan hasil bumi Sabah yang begitu banyak hanya mengalir ke tangan beberapa orang yang berkuasa. Inilah realitinya.
Shafie sudah tidak boleh menyembunyikan kebusukan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh partinya sebelum ini terhadap rakyat Sabah. Jadi, beliau seharusnya lebih berhati-hati bila berucap, jangan sampai meludah ke langit. Dalam tempoh kempen menuju PRN ini, sudah pasti akan ada banyak penipuan dan pembohongan yang akan terus dibangkitkan oleh parti dan calon-calon yang akan bertanding, khususnya parti dan calon yang pernah memegang kuasa sebelum ini.
Warga Sabah perlu sedar bahawa ahli-ahli politik demokrasi memang sudah sinonim dan sebati dengan pelbagai kata-kata manis dan penipuan ketika belum mendapat kuasa, dan apabila berkuasa, mereka mengkhianati amanah kekuasaan dan rakyat terus hidup dalam penderitaan seperti sedia kala. Warga Sabah perlu sedar bahawa Sabah merupakan salah sebuah negeri yang kaya dengan hasil-mahsul, namun malangnya Sabah menjadi antara negeri termiskin di negara ini. Di mana silapnya? Sedangkan dalam masa yang sama wakil-wakil rakyat mereka hidup dalam kemewahan. Jadi, nasib siapa yang wakil-wakil rakyat ini perjuangkan sebenarnya?
Dari sudut lain, kata-kata Shafie tersebut memang ada benarnya di mana tanggungjawab kerajaan pusat adalah untuk membantu kerajaan negeri. Kerajaan pusat memang bertanggungjawab untuk memberi kesejahteraan hidup kepada semua rakyat, memelihara keamanan, memberi kesihatan dan pendidikan percuma, dan apa sahaja yang berkaitan dengan hak-hak seorang warganegara. Persoalannya, adakah ia benar-benar diterapkan dalam sistem demokrasi di negara ini?
Sesungguhnya sistem persekutuan (federalisme) yang diamalkan di Malaysia, selain bertentangan dengan Islam, mempunyai banyak kepincangan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila parti yang memerintah di peringkat negeri berbeza dengan parti yang memerintah di peringkat pusat. Kerajaan pusat biasanya akan menganak-tirikan kerajaan negeri yang berada di bawah pemerintahan parti yang berbeza atau yang parti yang tidak bersekutu dengannya.
Pembangunan negeri juga tidak seimbang, kerana kerajaan pusat hanya mementingkan negeri yang mereka perintah sahaja. Inilah yang menjadikan rakyat di negeri yang pemerintahannya berbeza selalu mundur dan terpinggir dari arus pembangunan. Apa yang lebih buruk ialah rakyatnya ramai yang berada dalam keadaan melarat, walaupun negerinya kaya, seperti Sabah. Meskipun terdapat usaha untuk menangani ketidakseimbangan pengagihan kekayaan dan pembangunan ini, namun usaha tersebut masih di tahap minimum kerana percaturan politik dan kepentingan kepartian lebih diambil kira oleh parti-parti yang memerintah.
Masalah-masalah yang berlaku di Sabah sebenarnya hanyalah sekelumit daripada sekian banyak masalah yang melanda negara ini seperti kes rasuah, penyelewengan, gila kuasa, kronisme, monopoli dan isu-isu lainnya, dan apa yang lebih penting daripada semua itu ialah, Islam langsung tidak diterapkan dalam pemerintahan. Apabila Islam tidak dijadikan sebagai agama yang mengatur kehidupan dan negara, maka rosaklah segalanya. Justeru, satu-satunya jalan untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah adalah dengan meninggalkan sistem demokrasi yang di dalamnya terdapat sistem federalisme yang tidak adil, yang mana kesemua ini adalah peninggalan daripada penjajah British untuk negara ini.
Sistem pemerintahan Islam ialah Khilafah, dan ia berbentuk “union” bukannya federalisme. Hukum Islam yang sama, dan segala peraturan yang sama akan diterapkan di keseluruhan wilayah pemerintahan, baik jauh atau dekat. Layanan, tanggungjawab serta hak warganya juga adalah sama, tidak kira di kawasan mana pun ia tinggal selagi ia merupakan wilayah Khilafah. Segala kekayaan alam atau hasil bumi juga diagihkan secara saksama, dan bukannya dikaut oleh pemerintah dan kroni mereka sahaja seperti sekarang.
Sejarah emas Islam telah membuktikan bagaimana setiap penjuru wilayah Islam menikmati kesejahteraan di sepanjang pemerintahan Khilafah selama lebih 1300 tahun. Malah wilayah yang dibuka kemudian pun tetap boleh menjadi pusat pemerintahan baru bagi Khilafah seperti Baghdad dan Istanbul. Demikianlah kehebatan sistem pemerintahan Islam, yang perbezaannya dengan sistem demokrasi sekarang umpama langit dengan bumi, malah lebih jauh daripada itu.
Wallahu a’lam.
Muhammad Amin
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia