PRN Sabah: Sedikit pelajaran bagi mereka yang mahu berfikir

Proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika ini seharusnya menjadi pelajaran penting bagi kita semua khususnya warga Sabah, tentang betapa korup dan lemahnya sistem demokrasi dalam aspek pembentukan sesebuah kerajaan. Masakan tidak, kerajaan (sebelum ini) yang baru sahaja terbentuk tidak sampai pun satu penggal, terpaksa dibubarkan dan diadakan PRN setelah berlakunya “pengkhianatan” dalam kalangan ahli-ahli politik yang melompat parti dan berpindah kubu.

Bukanlah suatu yang baru dan bukan juga suatu yang menghairankan apabila pengkhianatan seumpama ini berlaku, kerana dalam sistem demokrasi, tidak pernah ada kawan dan lawan yang kekal. Apa yang kekal hanyalah manfaat dan maslahat dalam kalangan ahli-ahli politik yang saling berebut untuk mendapat kuasa, pangkat dan harta. Mereka ini tanpa malu dan tanpa segan silu berbohong kepada rakyat dengan melaungkan bahawa perjuangan mereka adalah untuk kepentingan rakyat. Walhal, laungan mereka itu tidak lebih kecuali untuk meraih undi demi kepentingan diri sendiri dan kroni mereka sahaja.

Kebejatan ahli-ahli politik hari ini yang tamakkan kuasa, sombong dan mementingkan diri sendiri jelas terpampang di depan mata dan seharusnya diambil iktibar oleh semua pihak, khususnya warga Sabah. Rakyat Sabah perlu sedar, sejak diperintah oleh Barisan Nasional (BN) sehinggalah tampuk pemerintahan beralih pada PRU14 yang lepas kepada Warisan yang menjadi sekutu Pakatan Harapan (PH), nasib rakyat Sabah tidak banyak berubah. Kita dapat melihat parti mana pun yang memerintah, Sabah tetap seperti itu, dan rakyat Sabah tetap seperti itu.

Di sisi lain, kita juga dapat melihat bagaimana parti-parti politik yang berasaskan Islam pun seperti sudah kehilangan identiti dan jati diri. Jika dulu penerapan Islam menjadi kiblat perjuangan, kini idealisme perjuangannya nampaknya hanya berkisar usaha untuk berkuasa dan untuk kekal berada di tampuk kuasa. Mereka kelihatan terus hanyut dalam arus demokrasi, berjuang semata-mata untuk berebut kerusi tanpa melihat lagi niat perjuangan asal adalah untuk memartabatkan hukum-hukum Islam.

Parti Islam sudah tidak memandang lagi apakah calon yang bertanding itu Muslim atau tidak, membawa aspirasi Islam atau tidak, apa yang penting bagi mereka adalah, jika calon itu datangnya daripada rakan sekutu, maka wajib diundi. Inilah fatwanya! Parti Islam sudah tidak peduli lagi apakah undang-undang dan peraturan yang bakal diterapkan jika menang pilihanraya – samada undang-undang Allah atau tidak – apa yang dipentingkan sekarang ialah meraih kemenangan, dan memberi kemenangan kepada rakan sekutu, walaupun mereka terdiri daripada non-Muslim yang tidak setuju dengan hukum Allah!

Sistem demokrasi ternyata berjaya merubah identiti dan jati diri parti-parti politik Islam yang bergelumang di dalamnya, yang pada awalnya mempunyai roh perjuangan Islam, kepada parti yang bersifat pragmatik.

Kaum Muslimin perlu sedar bahawa akar permasalahan mereka adalah kerana sistem yang rosak, yang mengatur kehidupan seharian mereka, sejak berpuluh tahun lamanya. Inilah sistem demokrasi, sebuah sistem yang diwariskan oleh penjajah kepada umat Islam dan diperindah sedemikian rupa oleh Barat untuk mengabui mata umat Islam. Barat berjaya mengunci pemikiran umat Islam agar melihat demokrasi sebagai satu-satunya jalan perubahan untuk mengubah nasib mereka. Maka tidak hairanlah apabila kita melihat parti Islam mengerahkan dan memfokuskan perjuangan mereka habis-habisan dalam sistem demokrasi, dan sentiasa berharap dengannya (sistem demokrasi) pada suatu hari akan membawa kebaikan dan memberi kemenangan kepada Islam. Sungguh mereka telah tertipu dengan sistem kufur ini dengan sebenar-benar penipuan!

Dengan apa yang berlaku di Malaysia ini secara umumnya dan di Sabah secara khususnya, umat Islam seharusnya sedar dan mengambil pelajaran bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi tidak pernah dan tidak akan pernah membawa apa-apa perubahan yang mereka inginkan. Sistem kufur demokrasi yang diwarisi daripada penjajah ini wajib diganti dengan sistem Khilafah yang diwarisi daripada Rasulullah (saw). Walaupun sukar dan walaupun ditentang hebat oleh para pembencinya, Khilafah akan tetap berdiri kerana ia merupakan janji Allah dan janji Rasul-Nya. Kita mempunyai pilihan untuk menjadi pejuangnya dan hidup mulia dengannya, atau menjadi penentangnya dan hidup terhina dengannya.

Wallahu a’lam.

Editor