Apa helah Britain akui kelemahan?

Britain gusar rahsia tentera hilang selepas kad memori lesap

LONDON: Kementerian Pertahanan Britain mengakui rahsia ketenteraan negara itu yang terkandung dalam kad memori mudah alih komputer, kini hilang.

Akhbar Telegraph melaporkan semalam, 131 alat berkenaan didapati lesap atau diletakkan di tempat yang gagal dikesan, sejak 2004.

“Tahun ini, 26 alat mudah alih mengandungi maklumat sulit sama ada hilang atau dicuri. Tiga yang hilang mengandungi maklumat disenaraikan sebagai sulit manakala 19 lain, maklumatnya pula dikategori sebagai terhad,” kata kenyataan kementerian berkenaan.

Bukan setakat itu, lebih 700 komputer riba kementerian itu juga dilaporkan hilang atau dicuri sejak empat tahun lalu.

Pendedahan itu sekali lagi mengulangi kecaman yang kerajaan Britain terbukti tidak mempelajari kesilapan selepas kejadian maklumat bocor dikenali sebagai skandal Whitehall.

Awal tahun ini, satu penilaian bebas terhadap keselamatan sistem maklumat Kementerian Pertahanan itu memberi amaran kesan buruk ‘generasi Facebook’ di kalangan pegawai muda yang terlalu asyik melayari laman web popular berkenaan.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, kementerian itu berkata, 131 daripada kad memori mudah alih itu sudah hilang atau gagal dikesan sejak 2004.

Kenyataan itu turut mencetuskan persoalan berikutan perbezaan data dikemukakan kementerian. Ini disebabkan kementerian itu mendakwa 700 komputer riba dicuri dan 89 lain hilang manakala 32 lain sudah ditemui.

Ia bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa 347 komputer riba dicuri. Dan secara tiba-tiba, kementerian itu bertindak meningkatkan angka berkenaan selepas memberi alasan wujudnya perbezaan maklumat dalam rekod mengenai perkara itu.

Kad memori mudah alih atau ‘USB sticks’ itu biarpun kecil dan mudah diletak dalam poket, tetapi mampu mengandungi beribu-ribu fail komputer.

Kalangan pakar keselamatan komputer sudah memberi amaran jika alat itu tidak dikawal penggunaannya di kawasan sensitif, ia boleh membabitkan kesalahan seperti maklumat rahsia yang dimuat turun ke dalamnya. – Agensi

Sumber: Berita Harian 21/07/08

Ulasan:

Adakah anda mempercayai berita ini? Sukar untuk percaya sama ada ini adalah hakikat atau berita yang direka-reka. Tak dapat dibayangkan bagaimana sebuah negara yang merupakan kuasa perang dunia, maklumat yang sebegitu penting boleh hilang!? Umum mengetahui bahawa antara dua kementerian yang penting dalam sesebuah negara yang mana maklumatnya cukup sulit dan rahsia adalah polis dan tentera.  Justeru kehilangan kad memori yang mengandungi rahsia tentera adalah suatu yang tidak dapat diterima.

Terdapat 4 kemungkinan besar dalam kes kehilangan ini:-

  1. Proses atau prosedur keselamatan yang begitu longgar sehingga maklumat dapat diperolehi atau dicuri dengan mudah
  2. Kawasan simpanan dokumen itu berjaya dipecah masuk oleh pihak-pihak tertentu (termasuk pihak musuh) dan mencuri maklumat berkenaan.
  3. Terdapat orang dalam yang bertanggungjawab membocorkan atau mencuri maklumat ini
  4. Kerajaan sengaja membuat laporan salah untuk tujuan-tujuan tertentu, contohnya untuk membuang pegawai yang dicurigai atau yang tidak berdisiplin, untuk mengkambing hitamkan seseorang pegawai, untuk sengaja membuat pertuduhan liar atas kepentingan tertentu dan pelbagai tujuan lainnya. Pokoknya, ia sengaja dibuat oleh kerajaan untuk mencapai tujuan tertentu.
Berhubung kemungkinan 1 dan 2, ia adalah amat jauh sekali kebenarannya, melihat kepada kedudukan Kementerian Pertahanan itu sendiri, yang agak mustahil boleh berlaku kejadian seumpama itu. Jadi, hanya kemungkinan 3 dan 4 sahaja yang lebih munasabah untuk menjelaskan kejadian kehilangan maklumat tersebut. Jika difikirkan secara logik, biasanya perkara sebegini akan dirahsiakan, jadi kenapa Britain perlu memberitahu dunia akan ‘kehilangan/kecurian’ ini yang ternyata boleh  menjejaskan kredibiliti kerajaannya sendiri? Persoalannya, apakah sebenarnya strategi Britain dalam melaporkan kehilangan/kecurian ini kepada dunia?