Britain, AS dan Perancis Mendirikan Pangkalan Tentera di Libya

altKrisis di Libya masih belum berakhir. Tindak balas daripada krisis tersebut, pemerintah Britain, Perancis dan Amerika telah mengirim ratusan tenteranya ke Libya untuk mendirikan pangkalan-pangkalan tentera di Timur Libya. Perkara tersebut disampaikan oleh  beberapa wakil diplomatik Libya, sepertimana yang  dilaporkan media Iran, Press TV, pada hari Selasa lalu (1/3/2011).

Menurut wakil diplomatik tersebut, pasukan tentera ketiga-tiga negara tersebut sedang membangunkan pangkalan-pangkalan tentera di dua bandar di Timur Libya, iaitu Benghazi dan Tobruk. Kedua-dua bandar yang kaya dengan minyak itu kini telah berada di bawah kawalan pemberontak.

Pasukan khas Britain dan AS telah masuk ke Benghazi dan Toburk pada 23 dan 24 Februari yang lalu. Tiga buah kapal perang Angkatan Laut India juga dijadualkan akan digerakkan ke wilayah tersebut.

Sebelum itu, Pentagon telah memastikan bahawa pasukan Angkatan Laut dan Udaranya dikerahkan ke wilayah berhampiran Libya. Jurucakap Kementerian Pertahanan AS, Kolonel Dave Lapan mengatakan, para perancang strategi di Pentagon sedang mempertimbangkan pelbagai langkah dan rancangan kontingensi sejurus berlakuya pergolakan di Libya.

Menurut Lapan, sebagai sebahagian daripada misi tersebut, Pentagon memindahkan sebahagian daripada  kekuatan Angkatan Laut dan Udara ke wilayah yang berhampiran dengan Libya.

Sebelum itu, Menteri Luar Negeri AS Hillary Clinton menegaskan bahawa pemerintah AS akan terus mempertimbangkan semua sudut yang berkaitan dengan krisis di Libya.

“Kami akan terus mengeksplorasi semua tindakan dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku. Sepertimana yang telah kami katakan, segala sudut perlu dipertimbangkan selagimana pemerintah Libya terus mengancam dan membunuh rakyat Libya”, ujar Hillary dalam laporan AFP pada  hari Selasa lalu (1/3/2011).

Hillary juga menegaskan bahawa inilah saatnya Ghadafi untuk berundur. “Rakyat Libya telah menunjukkan bahawa inilah waktunya bagi Ghadafi untuk pergi, sekarang, tanpa kekerasan atau penundaan lagi”.

Sumber : Syabab.com