Apa Salahnya PM Bukan Melayu?

Isu atau polemik Perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu sekali lagi muncul memanaskan politik tanah air, sehingga berakhir dengan tindakan polis. Setuju atau tidak, rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu seharusnya mengakui hakikat bahawa perlembagaan memang tidak memperuntukkan jawatan Perdana Menteri mesti datang daripada bangsa Melayu.

Walaupun dipersetujui secara “konvensyen” bahawa Perdana Menteri hendaklah daripada kalangan orang Melayu, namun konvensyen tidak mempunyai kesan undang-undang atau dengan kata lain tidak mengikat, kecuali ia hanya menjadi amalan yang secara tradisi telah diperakui dalam sesebuah negara. Itu sahaja.

Sama halnya seperti status seorang wanita, di mana tidak terdapat apa-apa peruntukan dalam perlembagaan yang menghalang seseorang wanita daripada menjadi Perdana Menteri. Namun demikian, secara konvensyennya, Perdana Menteri hendaklah datang daripada kaum lelaki.

Sudah menjadi “tabiat” sebuah negara-bangsa di mana bangsa yang majoriti dalam negara tersebut akan menjadi Ketua Negara. Tabiat ini tidak mudah untuk dihapus, sehingga Amerika sendiri yang mengaku sebagai negara yang paling demokratik, dan paling menjaga hak asasi manusia, itu pun mengambil masa lebih 200 tahun untuk memiliki seorang Presiden daripada kalangan kulit hitam.

Sebagai Muslim, kita tidak seharusnya terjebak dalam polemik seumpama ini, tidak seharusnya emosi dalam membincangkannya, dan tidak seharusnya menjadikan bangsa sebagai tolok ukur “boleh atau tidak” sesuatu perkara.

Sesungguhnya Islam telah lama memberikan jawapan mengenai perkara ini, dengan sebuah jawapan yang tuntas dan tidak ada keraguan sedikit pun.

Islam mensyaratkan bahawa seorang Ketua Negara (Khalifah) itu mestilah Muslim. Sama sekali

tidak sah sekiranya jawatan Khalifah diserahkan kepada orang kafir. Allah (swt) berfirman:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang Mukmin” [An-Nisa’ (4): 141].

Pemerintahan atau kekuasaan merupakan jalan yang paling besar dan kuat untuk siapa pun menguasai orang-orang yang diperintah. Lafaz “لَنْ” yang berfungsi untuk menyatakan selamanya (li ta’bîd) merupakan qarinah (indikasi) terhadap larangan tegas ke atas orang Islam menjadikan orang kafir sebagai penguasa atas mereka.

Khalifah merupakan Waliyul Amri (pemilik urusan), dan Allah (swt) telah mensyaratkan bahawa seorang Waliyul Amri hendaklah seorang Muslim. Firman-Nya;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta ulil amri di antara kalian” [An-Nisa’ (4): 59].

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ

“Apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Kalau saja mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil amri di antara mereka” [An-Nisa’ (4): 83].

Tidak disebut di dalam al-Quran lafaz Ulil Amri kecuali dia wajib daripada kalangan kaum Muslimin. Hal ini menunjukkan bahawa Waliyul Amri disyaratkan mestilah seorang Muslim.

Selain syarat Muslim, Islam juga mensyaratkan bahawa seorang Ketua Negara itu hendaklah seorang lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu, dan terdapat banyak nas untuk setiap syarat ini (yang tidak akan dibincangkan di sini).

Ringkasnya, syarat untuk menjadi Ketua Negara wajiblah seorang Muslim, tanpa mengira bangsa apakah dia. Sebaliknya, orang kafir, apa pun bangsanya adalah tidak layak (haram) untuk menjawat jawatan Ketua Negara. Islam tidak memandang bangsa seseorang, tetapi agamanya, untuk melayakkannya menjadi orang nombor satu negara.

Selain syarat Muslim, kesemua syarat lainnya wajib dipatuhi secara keseluruhan. Jika gugur salah satu syarat, maka gugurlah kelayakan seseorang untuk menjadi Ketua Negara. Justeru, orang Melayu sekalipun tidak layak menjadi Ketua Negara jika tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Dengan kata lain orang Melayu tidak boleh menjadi Ketua Negara jika dia bukan Muslim, jika dia seorang perempuan, jika dia tidak mampu, fasiq dan seterusnya.

Sebaliknya seseorang itu layak menjadi Ketua Negara walaupun dia seorang Cina, India, Arab, Turki, Afrika, Pakistan, Jepun dan sebagainya sekiranya dia memenuhi ketujuh-tujuh syarat yang telah ditetapkan oleh Islam.

Atas dasar itulah kita menyaksikan di sepanjang sejarah pemerintahan Islam (Khilafah), selain orang Arab, orang Turki dan Kurdi pernah menjadi Khalifah, asalkan mereka Muslim. Dan kita juga menyaksikan di sepanjang pemerintahan Islam selama lebih 1300 tahun, tidak ada seorang kafir pun, atau seorang perempuan yang menduduki posisi nombor satu negara.

Inilah kedudukan hukum dalam Islam, yang sama sekali berbeza dengan demokrasi. Demokrasi bukan sahaja membenarkan orang kafir, tetapi juga orang perempuan, orang fasiq, malah kaum LGBT atau ateis sekali pun tetap boleh menjadi Ketua Negara. Demokrasi tidak menghalang semua itu. Jika majoriti manusia bersetuju untuk melantik orang kafir, orang perempuan atau orang fasiq menjadi Ketua Negara, maka ia sah menurut demokrasi.

Seperkara lagi yang kita harus ingat ialah, walaupun orang Melayu-Islam yang menjadi pemerintah, jika Al-Quran dan As-Sunnah tidak diterapkan dalam pemerintahan, maka tidak ada gunanya sedikit pun.

Tanyalah diri sendiri dengan sejujurnya, apakah bangsa pemimpin yang “merosakkan” negara dan masyarakat selama ini? Apakah bangsa pemimpin yang membenarkan kilang arak dan pusat judi beroperasi selama ini? Apakah bangsa pemimpin yang membenarkan segala konsert dan lain-lain kemaksiatan dalam negara selama ini? Apakah bangsa pemimpin yang mempertahankan sistem perbankan ribawi selama ini? Apakah bangsa pemimpin yang melantik orang-orang kafir ke jawatan pemerintahan selama ini?

Atas dasar itulah kita jangan melihat isu kelayakan Perdana Menteri ini dari aspek bangsanya, tetapi lihatlah dari aspek Islam, dan lihatlah sejauh mana dia telah melaksanakan Islam dalam pemerintahannya. Inilah tolok ukur kita sebagai Muslim.

Wallahu a’lam.