Apakah NU Sudah Terkena Sihir Obama?

Nahdatul Ulama sambut baik lawatan Obama

JAKARTA – Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) menyambut baik lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke republik itu bulan depan dalam usaha memulihkan hubungan antarabangsa antara AS dan dunia Islam.

Pengerusi NU, Hasyim Muzadi berkata, lawatan Obama adalah baik untuk Indonesia atas inisiatif beliau untuk memulihkan hubungan antara AS dan dunia Islam yang dijejaskan bekas Presiden George W Bush.

“Apa yang beliau lakukan mungkin bukan yang terbaik. Obama sudah memainkan banyak peranan besar sebagai Presiden di sebuah negara demokratik.

“Namun, langkah-langkahnya terbatas oleh badan perundangan yang sememangnya berada di luar bidang kuasa beliau,” katanya.

Obama dan keluarga akan melawat Indonesia pada Mac ini.

Lawatan itu disifatkan sebagai kepulangan nostalgia kerana beliau pernah tinggal di Indonesia ketika zaman kanak-kanak bersama ibu dan bapa tirinya sekitar tahun 1960-an.

Sumber: Sinar Harian 08/02/10

Apakah NU Sudah Terkena Sihir Obama?

Amat malang bagi umat Islam di Indonesia khususnya dan di dunia amnya apabila pertubuhan Islam terbesar di Indonesia yang dikatakan keanggotaannya mencecah 40 juta orang menyambut baik lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke republik itu bulan depan. Apakah ribuan golongan para kiai yang berada di dalam NU tidak menyedari bahawa Obama  personifikasi suara dan tindak-tanduk AS? Dan AS dengan suara dan tindak-tanduknya jelas memusuhi Islam? Bau busuk kejahatan yang dilakukan oleh AS terhadap umat Islam sehingga kini tidak akan dapat ditutup dan disembunyikan lagi oleh mereka. Apakah kita masih mengharapkan sinar kebaikan dari AS? Apakah para kiai NU ini tidak memahami bahawa AS adalah negara kapitalis yang sinonim dengan penjajahan dan kezaliman?. Apakah kita akan masih menggantung pengharapan yang tinggi kepada AS, sedangkan di saat ini kita dapat menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri kerakusan dan kebiadaban AS laknatullah yang secara berterusan mempergiatkan serangannya kepada saudara seIslam kita di bumi Iraq dan Afghanistan sehingga ke hari ini.

Dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh NU melalui pengerusinya Hasyim Muzadi itu jelaslah NU sudah terkena sihir Obama. Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa Obama itu adalah AS dan AS itu adalah Obama. Keberadaan Obama dan AS itu bolehlah kita ibaratkan seperti 2 sisi sekeping duit syiling. Renungilah firman Allah SWT ini: “Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).  Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”. [TMQ Faatir (35) : 5-6].