Najib Sudah Terkena Sihir Obama

Dialog agama: Obama minta Malaysia main peranan

PUTRAJAYA 28 Sept. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sekali lagi menekankan bahawa negara itu menghormati dan menjadikan Malaysia sebagai contoh sebuah negara Islam yang berjaya.  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Negara AS, James B. Steinberg kepada beliau dalam kunjungan ke pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.  Menurutnya, Obama turut berharap Malaysia dapat memainkan peranan utama untuk menganjurkan dialog antara agama melibatkan pelbagai negara bagi menjamin persefahaman antara penduduk dunia berbilang bangsa dan agama.  

“Pada asasnya mesej daripada pentadbiran Obama adalah mereka mahu menjalin hubungan produktif dengan negara ini.  “Mereka juga menyatakan bahawa Malaysia begitu progresif dan memastikan kesederhanaan dalam mengamalkan nilai-nilai Islam,” katanya.   Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kedudukan Kaum India di sini hari ini.   Steinberg mengadakan lawatan kerja sehari yang pertama ke Malaysia hari ini.   Mengenai pertemuan tersebut, Najib memberitahu, beberapa isu yang sentiasa mendapat perhatian AS dibangkitkan seperti penggunaan senjata nuklear, senjata pemusnah besar-besaran, penyeludupan manusia, keganasan serta perdagangan dan pelaburan.   “Kami juga berbincang mengenai perkembangan di Afghanistan dan AS meminta kita membantu dalam menyelesaikan beberapa isu seperti di Iran dan Korea Utara,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 28/09/09

Najib Sudah Terkena Sihir Obama

PM Najib nampaknya sudah tertipu dan terperangkap dengan kata-kata sihir yang dikumandangkan oleh Obama. Dengan bangganya Najib memetik kata-kata sihir Obama itu dengan mengatakan yang AS menjadikan Malaysia sebagai contoh negara Islam yang berjaya. Malaysia dikatakan sebagai sebuah negara yang progresif dan berjaya memastikan kesederhanaan dalam mengamalkan nilai-nilai Islam, Di samping itu juga Obama telah mengeluarkan “ijtihad” nya agar Malaysia memainkan peranan utama untuk menganjurkan dialog antara agama yang melibatkan pelbagai negara bagi menjamin persefahaman antara penduduk dunia berbilang bangsa dan agama. Begitulah sebahagian “wahyu sihir” yang diperpanjangkan oleh Obama melalui khadamnya Timbalan Setiausaha Negara AS, James B. Steinberg kepada Najib. Nampaknya Najib merasa begitu teruja dengan pujian dan arahan tugas yang diterimanya itu.  Persoalannya kini apakah sebagai seorang Muslim Najib telah lupa akan peringatan Allah SWT:

“orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.  [TMQ Al Baqarah (2) :120].

 Wahai Najib! Apakah kamu sedar bahawa arahan untuk kamu melakukan dialog antara agama itu adalah bertujuan kamu meletakkan Islam sama dengan kekufuran. Jika itu yang kamu lakukan maka amat hinalah kamu di sisi Allah SWT. Bukankah tujuan Islam itu diturunkan adalah untuk di”izhar”kan mengatasi agama-agama lain. Firman Allah SWT:

“mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. [TMQ At Taubah (9) : 32-33].

Wahai Najib! Pujian Obama kepada Malaysia yang dikatakan sebagai negara yang progresif dan berjaya memastikan kesederhanaan dalam mengamalkan nilai-nilai Islam sebenarnya adalah merupakan pengakuan dan lesen yang membuktikan bahawa kamu, samada dalam keadaan sedar ataupun tidak adalah merupakan pewaris tegar dan agen pelestari sistem sekular yang telah dihadiahkan oleh penjajah semenjak “merdeka” lagi. Inilah sebenarnya apa yang diinginkan oleh musuh-musuh Islam terutamanya AS.

Wahai Najib! Ubatilah sihir Obama itu dengan wahyu Allah SWT. “dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan kepada orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua”. [TMQ Al Israa’ (17) :82].

Semoga dengan menghayati dan mempraktikkan peringatan ini kamu akan mencapai kemuliaan.