Apakah Wajar Untuk Kita Menghormati Dan Mempertahankan Perlembagaan Kufur?
Semua perlu pertahankan Perlembagaan Negara
KUALA LUMPUR 18 Mei – Semua pemimpin dan tokoh agama selain daripada Islam perlu mendisiplinkan penganut ajaran masing-masing supaya menghormati dan mempertahankan Perlembagaan Negara.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, ini kerana setiap agama termasuk Islam menyeru penganutnya supaya menyokong keamanan dan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan perpecahan di kalangan agama dan kaum. Menurutnya, setiap penganut agama yang berdisiplin tidak sesekali akan mempertikaikan Perlembagaan Negara kerana mereka mengamalkan sifat syukur, sabar, perbincangan (musyawarah), hormat dan tidak beremosi. “Justeru itu, setiap tokoh agama perlu memainkan peranan dan memberi fahaman yang betul kepada penganut masing-masing melalui disiplin yang diamalkan sesuatu agama. “Ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang mendisiplinkan penduduk Madinah yang turut menganuti agama lain selain Islam pada ketika itu supaya duduk bersama mempertahankan Madinah menerusi Piagam Madinah yang menjadi perlembagaan negara Islam Madinah pada ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang mengingatkan rakyat supaya tidak mempertikai atau mempersoalkan isu agama dan kontrak sosial kerana ia merupakan asas utama pembentukan negara.
Sementara itu, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusoff Hussein berkata, tindakan mempertikaikan kontrak sosial dan isu agama hanya akan mengundang kekecohan dan perpecahan di kalangan rakyat. Ujar beliau, ingatan Tuanku Syed Sirajuddin itu bernas dan perlu difahami setiap lapisan rakyat sekiranya mereka mahu mengecapi keamanan dan membangunkan Malaysia secara terancang. Katanya lagi, kerajaan dan media massa perlu memainkan peranan masing-masing sama ada menerusi sistem pendidikan dan pendedahan akan kepentingan memelihara Perlembagaan Negara. “Ini kerana, rakyat khasnya generasi muda masih tidak didedahkan kepada perjuangan pahit mereka yang memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara sehingga mengetepikan perkara penting yang menjadi asas kepada pembentukan negara,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia: 18/5/11
Perlembagaan Negara yang ada pada hari melahirkan undang-undang Malaysia yang secara prinsipnya bertentangan dengan undang-undang Islam yang pernah diterapkan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Perlembagaan Persekutuan merupakan perlembagaan yang tidak diasaskan kepada Islam dan tidak layak sama sekali disamakan dengan Piagam Madinah. Lihatlah sahaja sistem ekonomi, penghakiman, sosial, pendidikan dan dasar luar negara yang digunapakai dalam sistem hari ini. Rata-rata, ia amat jauh dari Islam. Mereka yang tidak tertipu dengan dunia pasti akan mengakui hakikat ini. Lihat: SN260 – AKIDAH ISLAM WAJIB MENJADI ASAS NEGARA dan Lihat: SN132 – MALAYSIA – NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?