Bukan hanya campur tangan, tetapi kehadiran musuh itu sendiri dan sistem mereka wajib ditolak

Pendedahan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan UMNO dan mengambil alih kerajaan, bukanlah satu perkara enteng walaupun telah lama berlaku. Menurutnya, perkara itu berlaku ketika PAS masih bersama gabungan parti-parti (Pakatan Rakyat) dan bersempena lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.

Kata Hadi, beliau menghantar Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Dr. Samsuri Mokhtar ke kedutaan AS sebagai memenuhi undangan tersebut dan di situlah tawaran itu berlaku. Setelah itu, beliau sendiri pula dijemput oleh Duta Amerika untuk mengadakan pertemuan, di mana beliau pergi bersama Dato’ Mustafa Ali. Beliau kemudian ditanya oleh Duta AS mengenai siapakah yang PAS cadang untuk menjadi Perdana Menteri, dan beliau menjawab dengan sebuah pertanyaan, siapakah yang Amerika setuju (untuk menjadi Perdana Menteri), yang menyebabkan Duta AS itu tergamam; katanya.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan turut mengesahkan bahawa wakil Kedutaan AS pernah bertanya sama ada PAS merancang untuk menjatuhkan kerajaan BN. Menurutnya, PAS tidak memberikan sebarang keputusan kerana tidak mengharapkan campur tangan negara asing dalam politik Malaysia.

Pendedahan peristiwa yang mungkin berlaku lebih 10 tahun lepas ini, telah dinafikan oleh kedutaan AS. David H Gamble Jr yang mengetuai kedutaan AS di Kuala Lumpur menyatakan bahawa AS tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia dan menyifatkan dakwaan Hadi sebagai palsu.

Dengan adanya dakwaan dan penafian yang saling bertentangan ini, sudah tentu isu ini memerlukan perhatian tambahan. Siapakah yang bercakap benar dan siapakah yang berbohong? Pokoknya, Amerika sendiri memandang serius pendedahan Presiden PAS ini sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan penafian. Bagaimana pun, sebagai Muslim, penafian AS ini tidak seharusnya menyebabkan kita bersikap naif seolah-olah Washington tidak pernah mempunyai kepentingan terhadap perjalanan politik Malaysia.

Wajib tolak AS itu sendiri, bukan hanya campur tangan

Jika benar tawaran seperti yang didakwa itu pernah dibuat oleh AS, maka sikap PAS menolak tawaran negara penjajah itu adalah tepat. Siapa pun yang menjadi Perdana Menteri di negara ini bukanlah urusan Washington atau mana-mana kuasa asing, dan tidak sepatutnya bagi sesebuah parti politik mendapatkan kekuasaan dengan bersandar kepada bantuan negara luar yang tentunya mempunyai kepentingan politiknya sendiri.

Namun, lebih jauh daripada itu, persoalan awal yang perlu ditanya ialah kenapakah AS menjemput pembangkang, dan secara khususnya menjemput sebuah parti Islam untuk “menghadap”nya? Dan persoalan seterusnya ialah, kenapakah sebuah parti Islam boleh memenuhi undangan daripada kedutaan musuh tersebut, padahal menerima undangan seperti itu bermaksud mengiktiraf kehadiran musuh dalam negara serta mengiktiraf hubungan diplomatik yang wujud dengan negara kafir harbi yang diharamkan oleh Islam.

Apa yang seharusnya ditunjukkan oleh sebuah parti Islam, bahkan oleh semua Muslim ialah penolakan terhadap AS sebagai negara yang sedang memerangi Islam serta menolak kedatangan presiden negara kafir harbi itu ke negara kita. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir, yang telah melakukan kempen besar-besaran dengan menggerakkan umat Islam untuk menolak kehadiran Obama ke negara ini atas lima sebab – kerana Obama mewakili AS sebagai negara pengganas nombor satu dunia, negara pembunuh umat Islam, penjajah negeri umat Islam dan pendukung utama ‘Israel’.

Hizbut Tahrir bukan sahaja mendesak kerajaan agar menolak kedatangan Obama ketika itu, tetapi turut mendesak kerajaan agar menutup kedutaan dan menghalau Duta AS dari negara ini. Ini kerana status AS dan Obama sebagai kafir harbi, yang mengharamkan sebarang bentuk hubungan antara kita dengan mereka. Satu-satunya hubungan yang boleh wujud antara negara kaum Muslimin dan negara kafir harbi ialah perang (jihad), dan hubungan lain diharamkan secara mutlak oleh Islam.

Inilah hukum ke atas setiap Muslim, lebih-lebih lagi parti Islam yakni bukan sahaja wajib menolak campur tangan AS, bahkan wajib menolak dan tidak mengiktiraf kehadiran AS itu sendiri, di bumi kita. Atas dasar itu, kita tidak seharusnya menerima undangan daripada musuh Islam ini, dan wajib menunjukkan penolakan atau ketidakredhaan kita terhadap mereka. Mesej yang perlu sampai kepada AS ialah kamu ialah musuh kami dan kami tidak mahu kehadiran kamu di negara kami kerana agama kami melarangnya.

Justeru, kita tidak perlu bertanya siapakah yang Amerika setuju untuk menjadi Perdana Menteri di Malaysia, tetapi kita perlu menghantar satu mesej tegas kepada AS bahawa kehadiran kamu di negara ini bukan sahaja tidak dialukan, bahkan merupakan sebuah malapetaka.

Seperkara lagi yang perlu kita fahami ialah, apabila AS sanggup untuk berjumpa dengan mana-mana parti, apatah lagi sanggup menolong parti tersebut, maka ini menunjukkan bahawa parti tersebut diredhai oleh AS kerana perjuangannya yang tidak bertentangan dengan polisi dan kehendak AS.

Kerjasama erat AS dengan ahli dan parti politik Malaysia

Dalam politik antarabangsa, negara musuh seperti AS tidak bergerak atas dasar kepentingan material semata-mata, tetapi untuk melemahkan Islam dan mendominasi umat Islam. AS tidak membina hubungan dengan mana-mana pemerintah, pembangkang, parti politik, organisasi masyarakat dan elit sesebuah negara tanpa perhitungan tertentu. Lebih-lebih lagi apabila negara tersebut mempunyai kedudukan strategik dalam persaingan kuasa di peringkat global.

Sebagai musuh Islam, AS mahu memastikan yang umat Islam tidak akan bangkit melawannya, dan mana-mana parti, lebih-lebih lagi parti Islam sangat diperhatikan oleh AS agar berjalan seiring dengan kepentingannya dan berada di bawah percaturannya. Sejarah politik Malaysia sendiri menunjukkan bahawa penglibatan Amerika dengan aktor politik tempatan bukanlah sesuatu yang hanya muncul dalam dakwaan Abdul Hadi. Banyak bukti mengenainya telah terdedah satu per satu dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining, secara terbuka menyatakan bahawa organisasinya telah bekerja rapat dengan parti-parti politik demokrasi di Malaysia sejak 2002 bagi memastikan sistem demokrasi di Malaysia terus subur. Ini secara tersiratnya menunjukkan bahawa AS mendukung siapa sahaja dan parti mana pun yang berjuang dalam kerangka demokrasi dan mempertahan sistem demokrasi. Dia menyifatkan usaha AS untuk memastikan demokrasi terus subur di Malaysia sebagai suatu “long game” dan dia sendiri tidak pernah berputus asa dalam game tersebut.

Sehingga kini tidak ada satu parti politik pun yang bertanding dalam pilihan raya di Malaysia yang menafikan kenyataan Twining, yang sekali gus menunjukkan bahawa kerjasama erat antara parti-parti politik demokrasi di Malaysia dengan organisasi di Amerika sentiasa terjalin.

Kita tentunya tidak lupa surat rahsia yang terdedah ketika PRU-14 di mana Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang lebih dikenali sebagai Unit Risikan, telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel, memohon sokongan daripada CIA terhadap Najib, yang dijangka akan hanya menang tipis dalam PRU berkenaan.

Ketika PRU yang sama, terdedah satu rakaman suara Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam majlis tertutup yang pada awalnya dinafikan oleh Anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu, sebagai suaranya – pembohongan yang menurutnya dibuat atas restu Presiden PAS. Namun kemudian diakuinya. Dalam rakaman tersebut, Nik Abduh mengakui bahawa beliau sentiasa berhubung dengan orang CIA yang dikenalinya. Pengakuan ini telah membuka siasatan oleh PDRM walaupun tidak ada apa-apa tindakan yang diambil hingga kini.

Justeru, campur tangan asing terhadap politik Malaysia tidak boleh difahami secara sempit hanya apabila sebuah kedutaan mengadakan perjumpaan rahsia dan menyatakan, “Kami akan membantu kamu menjatuhkan kerajaan.” Politik negara besar jauh lebih halus dan strategik daripada itu. Mereka membina jaringan, mendekati ahli-ahli politik tertentu, menyantuni mereka, membiayai parti-parti politik tertentu, mempromosikan pemikiran tertentu yang dengan itu mereka boleh mempengaruhi arah politik, dasar, bahkan kepimpinan sesebuah negara – ini semua merupakan sebahagian daripada percaturan kuasa besar di arena politik.

Wajib tolak campur tangan asing dan sistem mereka

Ada satu hal lagi yang perlu diberi perhatian dengan soalan Duta Amerika kepada Abdul Hadi yang perlu diteliti dari kaca mata politik dan agenda Amerika. Soalan “siapakah yang PAS cadang untuk menjadi Perdana Menteri” bukanlah satu soalan kebetulan atau dilontar tanpa sebab oleh seorang yang bertaraf duta, apatah lagi dia tahu benar bahawa yang dia jemput untuk bertanya soalan tersebut ialah presiden sebuah parti Islam terbesar di Malaysia.

Selain tampak jelas bahawa AS ingin masuk campur atau menentukan siapakah Perdana Menteri Malaysia (walau pun dinafikan oleh AS), soalan tersebut menunjukkan yang Duta Amerika itu tahu bahawa pembangkang di Malaysia hanya berminat untuk menukar Perdana Menteri, bukannya menukar sistem. Inilah apa yang Amerika mahu parti-parti politik demokrasi di Malaysia menyibukkan diri, iaitu dalam mengganti Perdana Menteri, bukan menggantikan sistem. Amerika tidak mahu umat Islam memikirkan sistem apa yang perlu diganti.

Selama mana umat Islam hanya sibuk berfikir dan berjuang untuk menukar pemerintah, tetapi mengekalkan sistem yang sama, AS sebenarnya tidak risau sedikit pun siapa yang menang atau siapa yang menjadi Perdana Menteri. AS hanya perlu menyesuaikan hubungan dan kepentingan mereka dengan pemerintah yang baharu, itu sahaja, dan itu sangat mudah bagi AS selagi pemerintah yang baru masih setia dengan demokrasi dan mengamalkan dasar berbaik dengan AS.

Sebab itu, dalam perjuangan politik Islam, kita hendaklah kenal siapa kawan dan siapa lawan, dan neraca untuk mengukur hal itu ialah Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata. Kawan wajib dilayan sebagai kawan, manakala musuh wajib dilayan sebagai musuh. Menurut Islam, kita bukan sahaja wajib menolak campur tangan musuh terhadap negara kita, bahkan kehadiran musuh itu sendiri wajib ditolak, dan yang jauh lebih penting daripada semua itu ialah sistem yang datangnya daripada musuh wajib ditolak. Amat malang apabila parti politik demokrasi tidak memahami perkara ini, lalu berbaik dengan musuh, mengambil sistem yang datangnya daripada musuh, dan dengan itu masuk ke dalam perangkap musuh.

Kesimpulan

Sesungguhnya perjuangan politik Islam bukan hanya untuk menukar ketua negara, tetapi untuk menukar kesemua sistem yang ada dalam negara yang datangnya daripada penjajah, kepada sistem yang datangnya daripada Rasulullah. Perjuangan politik Islam pada hari ini menuntut umatnya mendirikan sebuah negara baru yang mesti berdiri atas asas akidah Islam, bagi menggantikan asas sekularisme yang diberi oleh penjajah.

Oleh itu, perjuangan politik Islam menuntut umat Islam, lebih-lebih lagi parti Islam untuk mempunyai misi dan visi yang jelas bukan sahaja tentang jalan menegakkan Islam, bentuk Negara Islam yang ingin didirikan, sistem-sistem Islam yang akan diterapkan, bahkan bagaimana hubungan antara Negara Islam (Khilafah) dengan negara luar dijalankan, dengan melayan kawan sebagai kawan dan musuh sebagai musuh. Perjuangan seperti inilah yang sangat ditakuti dan tidak akan diredhai oleh Amerika.

Wallahu a‘lam.