Arab Saudi Tidak Mengenal Hakikat Sebenar Sebuah Negara Islam

Malaysia Contoh Negara Islam Progresif
 
KUALA LUMPUR: Arab Saudi menganggap Malaysia sebagai model negara Islam progresif yang wajar dicontohi oleh negara-negara membangun lain. Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini hari ini mengenai lawatan dua hari Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Arab Saudi, menjelaskan bahawa kerajaan Saudi menyatakan puas hati terhadap hubungan bilateral yang wujud sekarang antara kedua-dua negara dan komited untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang lain.  Semalam, Anifah mengunjungi Menteri Kewangan Arab Saudi Ibrahim Abdul-Aziz al-Assaf, Menteri Luar Putera Saud al-Faisal Abdulaziz, dan Timbalan Perdana Menteri Kedua Putera Nayef Abdulaziz al-Saud.  Pada pertemuan dengan Putera Saud, isu Palestin dan perkembangan politik dan keselamatan di rantau berkenaan baru-baru ini yang memberi kesan kepada Arab Saudi dan negara-negara Islam menjadi topik utama dibincangkan. 

Putera Saud juga menggariskan bahawa kerajaan Saudi berhasrat meninjau bidang-bidang lain untuk kerjasama dengan Malaysia dan negara-negara Asean lain dari segi pengeluaran makanan dan eksport ke negara itu.  “Kedua-dua negara bersependapat bahawa terdapat keperluan untuk memperluas pelaburan bersama dalam bidang komoditi ke negara-negara ketiga dan bersetuju tentang perlunya kerjasama lebih baik ke arah penambahbaikan kepentingan Ummah.  Ia menyatakan Anifah juga menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan Saudi kerana layanan mesra dan keprihatinannya terhadap jemaah haji Malaysia.  “Putera Saud menyatakan bahawa kerajaan Saudi menghormati Malaysia sebagai sebuah negara contoh, memuji jemaah haji Malaysia dan menyifatkan mereka sebagai berdisiplin dengan tingkah laku yang baik,” kata kenyataan itu. 

Pada mesyuarat dengan Putera Nayef, Malaysia digesa memain peranan aktif untuk merapatkan jurang dan mengatasi pertikaian antara negara-negara Islam dan Ummah ke arah menyumbang kepada kestabilan di rantau ini dan perpaduan Ummah.  Hari ini, Anifah menghadap Raja Abdullah Abdulaziz al-Saud, Penjaga dua Masjid Suci. Dalam pertemuan antara Anifah dan Ibrahim, Menteri Kewangan Arab Saudi itu menyuarakan komitmen negaranya untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang dan menyatakan bahawa Malaysia dianggap sebagai model negara membangun.  “Dalam perbincangan itu, Tuan Yang Terutama turut mengalu-alukan ahli perniagaan dari Malaysia untuk terlibat dalam pelbagai projek pembinaan utama yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi, termasuklah cari gali mineral,” kata kenyataan itu. 

Kedua-dua menteri turut membincangkan penglibatan Malaysia dan Asean dalam Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk.  Menteri Luarnya, Putera Saud Al-Faisal pula menyuarakan minat kerajaan Arab Saudi untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara Asean yang lain dalam bidang penghasilan makanan dan eksport ke Arab Saudi.  “Kedua-dua menteri bersetuju terdapat keperluan untuk mengembangkan pelaburan bersama dalam komoditi ke negara-negara ketiga,” kata Wisma Putra.  Perbincangan turut menyentuh isu Palestin dan keadaan politik semasa serta perkembangan keselamatan di rantau itu yang turut memberi kesan kepada Arab Saudi dan negara-negara Islam, dan bersetuju mengenai perlunya kerjasama semua pihak demi kebaikan ummah.  Putera Nayef turut menggesa agar Malaysia memainkan peranan yang aktif dalam usaha mengurangkan jurang perbezaan dan konflik antara negara-negara Islam, dan langkah yang menyumbang ke arah kestabilan di rantau itu serta kesatuan ummah.  Anifah turut berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi berikutan layanan baik dan penjagaan yang diberikan kepada jemaah haji dari Malaysia serta mempelawa lebih ramai pelancong dari negara itu supaya melawat Malaysia yang mereka pilih sebagai destinasi pelancongan paling diminati. – BERNAMA

Sumber: mStar Online 28/12/09

Bumi Lahirnya Islam Pun, Tidak Mengenal Hakikat Sebenar Sebuah Negara Islam
 
Pelik tetapi benar apabila kita melihat bagaimana para pemimpin sekular Arab Saudi memuji dan melabelkan  Malaysia sebagai contoh sebuah negara Islam yang progresif. Apakah cukup dengan melihat pembangunan yang bersifat material maka Malaysia dianggap sebagai model negara Islam progresif yang wajar dicontohi oleh negara-negara membangun lain termasuk Arab Saudi? Hebat sungguh Malaysia! Apakah benar Malaysia sebuah negara yang cukup hebat sehinggakan negara kelahiran Islam seperti Arab Saudi wajar mencontohi Malaysia sebagai sebuah ‘negara Islam progresif’?

Di manakah letaknya kehebatan Malaysia itu? Persoalan yang kita boleh lontarkan ialah, apakah standard yang digunakan untuk mengukur Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif? Apakah ia berasaskan syara’ ataupun aqal dan hawa nafsu semata-mata?  Jika hanya dengan melihat realiti dan fakta yang ada saat ini, gelaran yang diberikan kepada Malaysia itu bolehlah diibaratkan seperti orang buta yang mendeskripsi bentuk seekor gajah dengan hanya meraba bahagian ekornya. Jika kemajuan material-lah yang dijadikan sandaran bagi sifat progresif ‘negara Islam’ Malaysia, mungkin pihak Arab Saudi harus juga mengambil kira kilang arak Carlsberg dan Guinness Stout, Pusat Judi Genting Highlands, rumah-rumah pelacuran yang bersepah di Bukit Bintang, bank-bank riba yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan 1001 macam perkara maksiat yang bersepah di sana sini.

Hakikatnya amat malang sekali bagi umat Islam hari ini apabila mereka yang berada di negara tempat lahirnya Islam itu sendiri sudah tidak mengenali dan tidak peduli langsung dengan sistem pemerintahan dan negara yang pernah didirikan oleh Rasulullah SAW. Kebodohan ini tidak lain adalah hasil dari acuan peninggalan sekular. Amat buruk buruk sekali cara berfikir golongan ini.