Islam dan bahasa Arab tidak dapat dipisahkan

Gambar BL 010416 (2)Ketika Mustafa Kamal Ataturk berjaya menghapuskan Daulah Khilafah Islamiyah yang terakhir di Turki secara rasminya pada 3 Mac 1924, dia telah melakukan beberapa ‘pembaharuan’ terhadap Turki yang melenyapkan ajaran dan nilai-nilai Islam. Antaranya adalah tulisan Arab digantikan dengan tulisan Roman, bahasa Arab digantikan dengan bahasa Turki sebagai bahasa rasmi negara, pakaian Muslimah digantikan dengan pakaian Barat, azan ditukar kepada bahasa Turki, undang-undang Islam ditukar kepada undang-undang sekular dan banyak lagi. Inilah antara ‘sumbangan’ Mustafa Kamal kepada sejarah Islam amnya dan kepada Turki khasnya.

Projek ‘pemodenan’ yang dilakukan Mustafa Kamal di Turki sehingga dia mendapat jolokan bapa pemodenan Turki itu tidak lain dan tidak bukan, bertujuan untuk menghilangkan apa sahaja amalan Islam dari tubuh umat Islam, sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh tuannya, British. Kesan ‘pensekularan’ dan ‘sunnah buruk’ yang dilakukan oleh Mustafa Kamal itu dapat dilihat di Turki sehingga kini.

Sejak runtuhnya Khilafah, fahaman sekular ditanam sedalam-dalamnya di tengah-tengah umat Islam dan perasaan umat Islam juga turut diracuni dengan assabiyyah (nasionalisme) dan wathaniyyah (patriotisme) yakni cintakan bangsa dan negara. Bukan sahaja di Turki, racun tersebut bahkan telah tersebar di seluruh dunia Islam yang menjadikan Muslim bukan lagi berbangga dengan agama Islam yang mereka anuti, tetapi berbangga dengan bangsa dan negara masing-masing hingga ke tahap ‘sanggup mati’ demi mempertahankan bangsa dan negara !

Selain racun assabiyyah dan wathaniyyah, bahasa Arab turut tidak terkecuali dari menjadi ‘mangsa’ untuk dihilangkan dari diri umat Islam, walhal sejak sekian lama, bahasa Arab sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan umat Islam itu sendiri dan langsung tidak boleh dipisahkan. Ini kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan bukan sahaja bahasa yang wajib digunakan dalam ibadat harian kita kepada Allah, tetapi banyak digunakan dalam doa-doa kita kepada Allah, memberi salam, menjawab salam, malah dalam beberapa percakapan harian umat Islam.

Menggunakan bahasa Arab bukan bermaksud seseorang itu mengagungkan ‘orang Arab’ atau budaya Arab dan sebagainya. Hal ini langsung tidak ada kaitan. Bahasa Arab digunakan kerana ia adalah bahasa al-Quran, bahasa Islam, bahasa yang Allah SWT gunakan untuk menurunkan wahyu kepada RasulNya, bahasa yang Allah SWT gunakan di Akhirat, di padang mahsyar tatkala menghisab manusia dan termasuklah bahasa di syurga dan neraka. Bahasa Arab ialah bahasa yang Allah SWT perintahkan agar manusia membacanya dalam solat sehingga tidak sah solat kecuali dengan menggunakan bahasa Arab.

Untuk mempelajari Islam itu sendiri, mustahil tanpa menggunakan bahasa Arab. Malah perkataan “Islam” itu sendiri adalah berasal dari bahasa Arab. Perkataan-perkataan lain seperti iman, zakat, haji, azan, lafaz, ilmu, ulama, dakwah, rukuk, sujud, i’tidal, tasyahud, yakin, syak, talak, idah, syarat, akibat, takdir, wajib, sunat, makruh, kiblat, wuduk, masjid, kubur, imam, makmum, Muslim, kafir, musyrik, munafik, sultan dan ribuan perkataan lain lagi, ini semua merupakan perkataan-perkataan Arab yang bukan sahaja diperlukan untuk mempelajari Islam, malah sudah sebati digunakan oleh orang Melayu sejak dulu. Ringkasnya, bagaimana mungkin untuk mempelajari Islam jika tidak mahu menggunakan kesemua perkataan-perkataan Arab tersebut?

Keperluan mempelajari bahasa Arab bukan bermakna Islam menafikan atau tidak membolehkan penggunaan atau pembelajaran bahasa selain Arab. Malah, Islam menggalakkan umatnya mempelajari bahasa asing selain Arab. Cuma, kita perlu sedar bahawa Islam dan bahasa Arab itu merupakan suatu yang langsung tidak boleh dipisahkan.

Jadi, tidak sepatutnya ada orang yang mengaku Islam tetapi ‘alergi’ dengan bahasa Islam (bahasa Arab). Dalam masa yang sama tidak pula ‘alergi’ dengan bahasa penjajah (bahasa Inggeris)!

Justeru, setiap Muslim hendaklah menjadikan pemikiran dan emosi agar selari dengan identiti kita sebagai Muslim, bukan selari dengan identiti kita sebagai bangsa Melayu. Jika ada yang tidak suka kepada bangsa Arab sekalipun, janganlah sampai meremehkan atau membenci bahasa Islam (bahasa Arab), kerana meremehkan bahasa Islam bermakna meremehkan Islam itu sendiri, na’uzubillah min zalik.

Ingatlah bahawa kita sangat memerlukan syafaat daripada Rasulullah SAW di akhirat kelak. Bahasa apakah yang akan kita gunakan untuk memohon syafaat daripada Rasulullah, kerana Rasulullah adalah seorang Rasul yang bercakap dalam bahasa Arab? Apatah lagi, jika Rasulullah SAW mengetahui yang semasa di dunia dahulu, umatnya itu termasuk orang yang membenci bahasa Arab…apakah baginda akan memandang dan memberi syafaatnya kepada orang yang membenci bahasa Islam?

Wallahu a’lam.