Artis K-Pop Bawa Budaya Kafir

Isu yang berkisar program Himpunan Jutaan Belia 2012 yang baru berlangsung baru-baru ini masih hangat diperkatakan. Terbaru, ia melibatkan isu kehadiran artis K-Pop yang dikatakan menelan jumlah belanja yang besar. Ramai pihak yang mempertikaikannya dan pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan menafikan tuduhan yang mengatakan kos membawa artis itu melibatkan duit rakyat. Menterinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa kedatangan artis K-Pop adalah tajaan daripada syarikat swasta.

Bagi seorang muslim, bukan isu tajaan yang menjadi fokus utama tetapi isu sebenar di sini adalah program itu sendiri. Persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan ialah apakah wajar program itu disogokkan dengan aktiviti-aktiviti  maksiat itu. Bagaimana seorang pemimpin Islam seperti Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang mengetuai Kementerian Belia Dan Sukan boleh membenarkan unsur-unsur maksiat dipertontonkan kepada remaja kita yang majoritinya beragama Islam? Apakah  sensitiviti beliau terhadap perkara-perkara mungkar seperti itu sudah hilang dari dirinya sendiri dan begitu juga dengan pegawai-pegawai serta kakitangan beliau yang lain? Inilah kesalahan dan kekeliruan cara berfikir bagi seorang pemimpin umat Islam pada hari ini.  Apabila umat Islam hari ini tidak dapat membezakan di antara isu sebenar dan utama dengan isu simpton mahupun sampingan. Suatu perkara yang perlu difikirkan secara jernih oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini adalah, apakah mereka masih beriman dengan ayat Allah SWT ini?

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik”.
[TMQ at-Taubah (9) : 67].

Apakah hati-hati mereka telah tunduk kepada sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman”
. – [HR Muslim].

Apapun yang pastinya adalah program Himpunan Jutaan Belia 2012 yang telah berlangsung itu membuktikan bahawa para pemimpin umat Islam yang berkuasa hari ini masih lagi dilingkari dengan pemikiran sekular dan inilah yang mereka zahirkan dengan program-program maksiat yang mereka anjurkan. Apakah kita masih mengharapkan para pemimpin seperti ini?

Sumber: Kosmo 2/6/2012