Askar Amerika mengaku bunuh kanak-kanak Iraq
Mangsa berada di belakang tembok kena tembakan tentera penceroboh
BAGHDAD: Tentera Amerika Syarikat mengaku membunuh seorang budak perempuan Iraq berusia 10 tahun ketika melakukan rondaan di wilayah Diyala yang bergolak, kelmarin.
Askar penceroboh itu memberi alasan kejadian itu berlaku selepas mereka melepaskan tembakan amaran ke sasaran berhampiran seorang wanita yang mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan tentera meronda di kawasan di utara Baghdad yang menjadi tempat bom diletakkan sebelum ini. Askar kami melepaskan tembakan amaran ke satu tembok berhampiran wanita yang kelihatan seperti memberi isyarat kepada pihak tertentu,” kata jurucakap tentera Amerika, Don Meyers dalam satu kenyataan, semalam.
“Apa yang kami temui, seorang budak perempuan di belakang tembok itu cedera akibat tembakan.”
Tentera Amerika mendakwa askarnya segera memberi rawatan perubatan, tetapi mangsa kecil itu mati dalam perjalanan ke hospital.
“Budak itu mungkin berusia 10 tahun,’ kata Mejar Jeneral Brad Leighton, seorang jurucakap tentera.
“Kami bertanggungjawab di atas kehilangan nyawa penduduk awam dan memandang kejadian itu dengan serius. Sehubungan itu, satu siasatan menyeluruh sudah dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian,” kata Myers.
Laman web bebas Iraqbodycount.org menganggarkan bilangan kematian penduduk awam di Iraq sejak pencerobohan Amerika pada 2003, sudah mencecah sekurang-kurangnya 89,448 orang.
Pengkritik pula berkata tentera Amerika sering melepaskan tembakan ke arah mereka yang disyaki militan tanpa mengambil kira kepentingan penduduk awam lain yang turut berada di situ.
Bulan lalu, seorang kanak-kanak adalah antara 9 orang awam yang dibunuh tentera Amerika dalam serangannya di selatan Baghdad. Namun, tentera penceroboh itu sekadar memberi alasan kejadian itu satu kemalangan.
Isnin lalu, lapan askar Amerika terbunuh dalam beberapa kejadian letupan bom, angka korban sehari yang tertinggi bagi askar Amerika sejak September lalu.
Tiga daripada mereka mati dalam letupan bom tepi jalam di Diyala yang dikatakan tempat al-Qaeda aktif. Lima lagi kena letupan penyerang bunuh diri. � Agensi
Sumber: Berita Harian 14/03/08
Ulasan:
Kekejaman askar Amerika di Iraq bukan lagi satu rahsia. Pembunuhan yang mereka lakukan ke atas orang awam, baik wanita mahupun kanak-kanak sudah menjadi santapan harian penduduk Iraq dan juga penduduk dunia amnya. Namun, siapakah yang boleh menyelesaikan keadaan ini?
Sebelum menjawab persoalan tersebut, satu soalan lain yang perlu dijawab terlebih dahulu adalah – kenapakah hal ini boleh terjadi? Dalam keadaan negeri kaum Muslimin yang begitu banyak (lebih 50 buah) dan masing-masing mempunyai tentera yang tersendiri, kenapakah hal ini masih boleh terjadi? Bacul! Ya, kebaculan pemimpin-pemimpin kaum Muslimin di seluruh dunialah yang telah menyebabkan umat Islam terus menderita dibantai oleh Amerika semahu-mahunya. Yang bacul terus dengan kebaculan mereka dan yang khianat terus dengan pengkhianatan mereka. Itulah pemimpin hina yang ada hari ini. Masing-masing hanya menjadi penyembah Amerika dan hanya membiarkan umat Islam disembelih oleh musuh Allah ini setiap ketika. Alangkah kejinya para pemimpin ini. Tidak ada seorang pun dari mereka yang berani menghantar tentera untuk mengusir tentera musuh dari tanah kaum Muslimin.
Sesungguhnya tidak ada alasan bagi Dunia Islam saat ini untuk takut kepada Amerika, apatah lagi entiti Yahudi. Meskipun ketika ini industri tentera Dunia Islam nampak lebih mundur dari Amerika, secara kuantiti, potensi tentera di Dunia Islam sesungguhnya sangat besar. Mengikut data yang dikeluarkan oleh CIA World Fact Book, potensi kekuatan tentera (military manpower availability) dan kelayakan untuk menyertai tentera (fit for military service) yang dimiliki oleh beberapa negara umat Islam cukup luarbiasa. Dengan gabungan tentera Mesir, Iraq, Iran, Pakistan, Turki dan Indonesia sahaja, potensi pasukan kaum Muslimin yang tersedia berjumlah sekitar 162 juta!!! Jika dibandingkan dengan AS, potensi tenteranya hanya 79 juta, apalagi dengan entiti Yahudi yang hanya memiliki potensi tentera sekitar 1.5 juta pasukan lelaki dan 1.4 juta pasukan wanita.
Sesungguhnya umat Islam memerlukan seorang Khalifah yang akan menyelamatkan umat ini dari kekejaman Amerika dan juga dari kekejaman pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam itu sendiri. Hanya inilah satu-satunya jalan penyelesaian yang akan menuntaskan masalah ini dengan jalan yang diredhai oleh Allah swt.