Askar AS jadikan al-Quran sasaran menembak

BAGHDAD 19 Mei – Parti Sunah Arab yang diketuai Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang menjadikan sebuah naskhah al-Quran sebagai sasaran latihan menembak.

 

Perbuatan keji askar berkenaan turut dikutuk oleh Persatuan Ulama di Iraq yang menganggap tentera AS dan kerajaan Iraq sebagai sama-sama bertanggungjawab.

Parti pimpinan Tareq dalam kenyataannya hari ini menegaskan: “Parti Islam Iraq menuntut pentadbiran AS bertindak tegas terhadap perbuatan mencemarkan kesucian al-Quran itu dan turut menggesa kerajaan kami mengambil pendirian sewajarnya berhubung penghinaan yang melampau batas ini.”

Belum ada kenyataan dikeluarkan oleh kerajaan Perdana Menteri Nuri al-Maliki tetapi staf sarjan tentera AS yang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah senaskhah al-Quran dan menulis kata-kata menghina di dalamnya telah pun diarah meninggalkan Iraq.

Pihak berkuasa tentera AS di negara ini telah memohon maaf kepada masyarakat tempatan di barat Baghdad di mana askar berkenaan melepaskan tembakan ke arah kitab suci itu semasa latihan menembak pada 11 Mei lalu.

Komander tertinggi tentera AS di Baghdad, Mejar Jeneral Jeffrey Hammond menemui pemimpin masyarakat dari Radhwaniya, pinggir barat ibu negara dan mengeluarkan kenyataan memohon maaf.

Persatuan Ulama di Iraq dalam kenyataannya berkata: “Jenayah keji ini memperlihatkan kebencian pemimpin dan anggota tentera penceroboh terhadap al-Quran dan umat Islam.”

– AFP

Sumber: Utusan Malaysia 20/05/08

Ulasan:

Sungguh malang dan amat mendukacitakan. Al-Quran dihina dengan sedemikian rupa, namun pemerintah Iraq masih tetap berdiam diri. Inilah kesan dan bukti nyata naiknya Nuri Al-Maliki ke jawatan Perdana Menteri adalah atas sokongan dan kehendak Amerika. Amat mendukacitakan juga apabila Tareq al-Hashemi, walaupun mengutuk, tetapi hanya mampu meminta ihsan pentadbiran AS untuk bertindak tegas terhadap perbuatan mencemarkan kesucian al-Quran oleh anggota tentera mereka.

Inilah pengkhianatan nyata yang dilakukan oleh para pemimpin boneka ini. Jika sesama Muslim seperti terhadap Kurdish, mereka sanggup berperang, tetapi dengan kafir harbi fi’lan laknatullah yang jelas-jelas menghina Al-Quran, mereka hanya berdiplomasi.

Paling tinggi pun, mereka hanya meminta anggota tentera terbabit memohon maaf!!! Sudah berapa banyak penghinaan terhadap Al-Quran dan pemimpin kaum Muslimin asyik mendesak kuffar laknatullah ini memohon maaf. Kemudian mereka menghina Al-Quran lagi dan pemimpin kaum Muslimin mendesak agar memohon maaf lagi dan begitulah seterusnya perkara ini berulang kali berlaku. Betapa pengecut dan baculnya pemerintah yang ada. Kekuatan ketenteraan yang mereka miliki bukannya diguna untuk mempertahankan Al-Quran atau meninggikan kalimat Allah ini, malah kekuatan ketenteraan ini diguna untuk mengkhianati deen Allah dengan di arahnya tentera untuk bekerjasama dengan Amerika dan memerangi sesama Muslim.

Sesungguhnya kebencian dan penghinaan kuffar terhadap Kalamullah ini wajib dijawab dengan jihad oleh pemerintah dan tentera kaum Muslimin. Firman Allah,

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari Kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk”  [TMQ at-Taubah (9):29].

“Perangilah mereka (orang-orang kafir itu), niscaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tangan kalian, menghinakan mereka, menolong kalian terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman”. [TMQ at-Taubah (9):14].

Hizbut Tahrir di seluruh dunia berjuang untuk menegakkan Khilafah kerana kita tahu dan yakin bahawa pemerintah yang ada hari ini tidak akan menjaga agama Allah dan kalamullah. Hanya dengan Khilafahlah, segala kebiadaban kuffar Barat akan diajar secukupnya dengan kekuatan tentera kaum Muslimin yang akan digerakkan oleh Khalifah untuk menuju kemenangan atau kesyahidan.