Babi Kena Selsema, Manusia Mati Bergelimpangan

 

altPUTRAJAYA, 17 Mei – Pesakit influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pulau Pinang berada dalam keadaan baik dan stabil.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat berkata, pesakit pertama yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh sejak 14 Mei lalu tidak lagi mengalami batuk atau sakit tekak tetapi hanya sedikit demam.

Beliau berkata, pesakit di Hospital Pulau Pinang pula tidak mengalami demam atau sebarang simptom penyakit lain.

”Kedua-dua pesakit ini bagaimanapun akan terus menerima rawatan di hospital sehingga pegawai perubatan mengesahkan mereka boleh balik ke rumah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga kedua-dua pesakit juga telah dikuarantin di rumah dan akan dipantau oleh Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, sehingga pukul 8 pagi ini, bilik gerakan Kementerian Kesihatan telah menerima sebanyak 102 pemberitahuan kes dengan hanya dua disahkan positif.

Beliau berkata, sehingga semalam, sejumlah 103,356 penumpang udara telah disaring di lapangan terbang antarabangsa negara ini.

Mengenai situasi di peringkat global pula, Ramlee berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memaklumkan sebanyak 38 negara telah terjejas oleh influenza A (H1N1).

”Negara baru yang melaporkan jangkitan ialah Turki, India dan Peru masing-masing dengan satu kes.
”Jumlah kes terkumpul adalah sebanyak 8,468 kes dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 72 orang,” katanya.

Ulasan

Selsema Babi merupakan satu penyakit respiratori (sistem pernafasan) yang sering ditemui dalam kawanan babi. Ia disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1) yang telah mengalami mutasi dan menghasilkan strain baru. Selsema ini yang selalunya berjangkit di kalangan spesis babi sahaja, dilihat mula menjangkiti manusia dan mula dikesan pada manusia sejak 1988. Ketika artikel ini ditulis telah penyakit ini telah merebak kepada 8829 kes dan melibatkan 74 kematian. [Baca di sini]

Dulu kita agak terkejut dengan penyakit JE (Japanese Encephalitis) yang disebabkan oleh virus yang dibawa oleh babi yang dipindahkan kepada manusia melalui vektor nyamuk. Kemudian berlaku pula selsema burung yang sebenarnya tidak berjangkit kepada manusia, namun virus ini telah mengganda diri dan telah menjangkiti babi, dan kemudian manusia. Kini, tiba giliran H1N1 pula.

Sekiranya kita mengkaji realiti ini secara teliti dan mendalam kita tidak dapat menafikan bahawa penglibatan haiwan yang kita kenali sebagai babi in memainkan peranan yang cukup besar dalam menyebarkan penyakit-penyakit tersebut.

Sejak dahulu lagi pengharaman babi di dalam Islam dilihat dengan begitu serius. Contoh terbaik adalah apa yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab. Abu Umamah meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar Al-Khattab ra pernah berkata, “Berlatihlah ketangkasan berkuda, berhati-hatilah dan jangan kamu berakhlak seperti orang-orang ‘ajam (orang bukan Isam), jangan mendekati khinzir atau menegakkan salib di antara orang-orang Muslim”. Laits bin Abi Sulaim meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar ra pernah menulis surat kepada penguasa daerah dan memerintahkan mereka supaya membunuh khinzir dan membayar ganti rugi dengan mengurangkan pembayaran jizyah (bayaran yang wajib dibayar oleh kafir zimmi kepada Daulah Islam). Semuanya itu menunjukkan bahawa kaum Muslimin mahupun kafir zimmi dilarang memelihara atau pun melakukan perdagangan babi baik di dalam negeri mahupun dengan pihak luar negara. Diriwayatkan juga bahawa Khalifah Umar Al-Khattab mengecam Samurah bin Jundub yang mahu menerima pembayaran kharaj dan jizyah dari kafir zimmi yang berupa hasil penjualan arak dan khinzir. Ketika itu Khalifah Umar berkata dengan tegas, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuk Samurah iaitu pegawai kami di Iraq kerana dia mencampurkan harga arak dan khinzir ke dalam belanjawan hak kaum Muslimin itu. Arak dan khinzir adalah haram dan hasilnya juga adalah haram!” (Lihat kitab Musannaf, Abdurrazzaq Jilid VI halaman 75 dan jilid X halaman 196). Lebih jauh dari itu Khalifah Umar berkata, “Tidak halal berjual beli sesuatu yang tidak dihalalkan memakan dan meminumnya” [Sunan Al-Baihaqi 6/14].

Oleh kerana itulah, kita dapati bahawa Khalifah Umar ra menetapkan syarat bagi kafir zimmi agar tidak membiarkan khinzir milik mereka berkeliaran di jalan-jalan tempat lalu lintas kaum Muslimin. Kemudian beliau mengambil tindakan yang lebih keras lagi iaitu memerintahkan pembunuhan khinzir yang ada pada kafir zimmi dan membayar penggantian harganya dengan dipotong dari jizyah yang wajib mereka bayar kepada Daulah. Semua yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khatab ra memperkuatkan lagi mafhum ayat tentang keharaman segala jenis aktiviti yang terkait dengan khinzir, termasuk penternakan. Dalam suratnya yang dikirimkan kepada pemerintah-pemerintah daerah, beliau mengatakan antara lainnya “Jangan ada seekor khinzir yang berdekatan dengan kamu, jangan ada orang-orang Nasrani di antara kamu yang menegakkan salib-salibnya dan jangan menghadiri jamuan makan yang di dalamnya ada orang yang minum arak. Berlatihlah menunggang kuda dan belajarlah memanah”. Apa yang diperintah oleh Khalifah Umar itu tidak dibantah oleh seorang sahabat pun. Mereka sepakat bersetuju dengan tindakan Umar yang melarang penternakan khinzir dan tidak membolehkan seorang Muslim ataupun kafir zimmi memelihara khinzir di dalam Daulah Islam. [sila rujuk SN 170]

Hari ini, peranan babi dalam menyebarkan pelbagai penyakit sudah tidak dapat dinafikan lagi. Bagi para pemimpin, tugas mereka adalah untuk menjaga maslahat rakyat. Alangkah baiknya ladang-ladang babi yang ada ditutup, orang kafir yang makan babi dinasihatkan agar menukar diet mereka dan keperluan daging babi hanya diimpot dari luar. Inilah tindakan yang amat wajar. Ingatlah babi baru kena selsema, manusia sudah mati bergelimpangan.