Bagaimana Islam Menyingkapi Isu Kenaikan Harga Barang

Penulis : Maryam Ismail

Isu kenaikan harga barang masih menjadi topik “evergreen” setiap tahun. Kerajaan telah memberi amaran tentang jangkaan kenaikan harga barang bakal melonjak sehingga lebih 10 peratus pada 2023 berdasarkan kepada unjuran kadar inflasi yang dijangka meningkat kepada enam hingga tujuh peratus. [Utusan Online, 1 Januari 2023] Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika mengakui kerajaan tidak mampu campur tangan terhadap kenaikan harga makanan di semua restoran dan kedai makan itu, mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memulau premis yang gagal menurunkan harga.  [Berita Harian Online, 21 Januari 2023]. Gesaan Menteri Ekonomi ini dibidas oleh golongan peniaga yang mendakwa harga barang mentah tidak turun malah kebanyakannya masih sama sehingga menyukarkan mereka menurunkan harga jualan makanan [Sinar Harian Online, 23 Januari 2023].

Realiti ini menunjukkan bahawa semua pihak  sama ada peniaga mahupun pengguna tertekan dan mengeluh sebagai menzahirkan kekecewaan mereka. Jika ditelusuri sejarah, sebenarnya kenaikan harga barang adalah fenomena biasa. Ia bukan baru muncul di zaman ini, tetapi ia turut terjadi di zaman Rasulullah (SAW). Pada zaman Rasullah SAW, turun dan naiknya harga barang terjadi kerana berlakunya mekanisme pasaran iaitu permintaan dan penawaran (demand and supply). Harga naik apabila permintaan tinggi dalam keadaan bekalan yang terhad, manakala harga turun jika penawaran berlebihan dan permintaan yang rendah.

Akan tetapi, pada zaman yang didominasi oleh sistem Kapitalisme pada hari ini, kenaikan harga barang bukan hanya kerana mekanisme pasaran semata-mata, tetapi disebabkan oleh amalam-amalan yang tidak syarie. Antara yang paling menonjol adalah monopoli barangan dan perkhidmatan, dan kekayaan dibolot oleh para Kapitalis. Hal ini sangat dilarang didalam Islam kerana Islam mengharamkan ihtikar (monopoli). Nabi SAW bersabda, “Tidak akan melakukan ihtikar kecuali orang yang salah (khati’)” [HR Bukhari].Pelaku monopoli disebut sebagai Muhtakir dan Rasulullah SAW menyebutnya sebagai orang yang bersalah (khati’) yang bermaksud pelakunya adalah berdosa dan wajib dijatuhkan hukuman ta’zir.

Selain itu, wujudnya golongan berkepentingan yang lebih mementingkan eksport dari memberi jaminan makanan (food security) kepada rakyat tempatan. Contohnya dalam sektor pengeluaran telur, Malaysia tersenarai antara lima negara utama pengeluar telur segar dengan nilai pasaran berjumlah USD127 juta. [Worldstopexports.com]. Ini menunjukkan bahawa Malaysia berpotensi untuk memajukan dan memberikan jaminan bekalan makanan secara mandiri. Dalam Islam, negara wajib memainkan peranan memastikan bekalan yang mencukupi (food security) dengan membangunkan industri makanan dan pertanian termaju supaya tidak bergantung kepada negara luar. Rasulullah SAW sebagai ketua negara juga pernah memerintahkan agar perigi di suatu kawasan yang kekurangan sumber air yang asalnya adalah milik individu, dibeli dan dijadikan milik umum, supaya semua orang mendapat akses kepada sumber air tersebut.

Banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada isu ini yang menunjukkan bahawa masalah ini adalah berpunca dari penerapan sistem ekonomi Kapitalis yang diasaskan oleh Adam Smith.  Penyelesaian tuntas bukan hanya dengan penyelesaian jangka pendek dan merawat gejala semata-mata sebaliknya ia hanya boleh diselesaikan dengan penerapan Islam Kaffah dibawah naungan Daulah Islam. Masihkah kita berharap kepada sistem buatan manusia hari ini?