Bagaimana kedudukan Jabatan Agama bila Khilafah berdiri?
Umat Islam senantiasa terikat dengan hukum syarak walau di mana pun mereka berada di atas muka bumi Allah ini. Di dalam negara yang majoritinya diduduki oleh umat Islam seperti di Malaysia, urusan yang berkaitan dengan Islam ditadbir oleh sebuah badan induk di peringkat persekutuan iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Jabatan ini juga turut dibantu dengan beberapa institusi-institusi yang berkaitan di bawahnya untuk melicinkan pentadbiran. Manakala dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan dengan agama Islam, kerajaan-kerajaan negeri pula dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan undang-undang Islam mengikut takrifan masing-masing. Inilah secara ringkasnya senario pelaksanaan undang-undang Islam yang diterapkan di Malaysia buat masa ini berdasarkan perlembagaan yang diberikan oleh penjajah.
Pelbagai organisasi, jabatan, majlis, pusat, badan, dan institusi berkaitan Islam ditubuhkan untuk menyelesaikan urusan berkaitan umat Islam termasuklah menggubal dasar, menetapkan hukum-hakam, dan menentukan status halal dan haram menurut bidang kuasa masing-masing. Bidang kuasa mereka hanya mencakupi apa yang diperuntukkan, dan tidak menyentuh hal-hal lain seperti pemerintahan, ekonomi, dasar luar dan sebagainya. Bidang kuasa mereka terpisah daripada pemerintahan utama dalam negara dan hanya terhad kepada kuasa yang diberikan di peringkat negeri.
Persoalannya, di manakah kedudukan mereka apabila Daulah Khilafah berdiri kelak?
Seperti yang diketahui umum, sistem pentadbiran sekarang mempunyai banyak kelemahan dan seringkali tidak memihak kepada Islam dan umatnya. Umat Islam tidak dapat mengamalkan undang-undang Islam secara menyeluruh (kaffah) dan banyak peruntukan undang-undang yang menyimpang dari tuntutan Islam. Kehidupan umat Islam diatur secara berasingan melalui dua sistem, iaitu satu sistem untuk mengatur kehidupan di dunia dan satu lagi sistem untuk mengamalkan agama yang dianutinya. Sistem pentadbiran sebegini dinamakan sebagai pentadbiran yang sekular, iaitu memisahkan antara urusan agama dan kehidupan.
Kita sedar undang-undang Islam tidak dilaksanakan kepada pesalah yang mencuri, mencederakan, membunuh, merompak, makan riba, rasuah dan sebagainya, sebaliknya apa yang diterakan ialah undang-undang sivil. Walhal hukum Islam jelas berkenaan kesalahan tersebut jelas dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Dalam sistem hari ini, hanya undang-undang berkaitan perkahwinan, pewarisan harta, zakat, dan sebahagian kecil yang lain, yang diberi ruang untuk dilaksanakan menurut Islam. Terdapat juga sedikit undang-undang jenayah yang dikenali sebagai jenayah syariah, yang hakikatnya langsung tidak mengikut syariah, yang diterapkan ke atas umat Islam di negeri masing-masing. Secara umumnya, umat Islam mempunyai dua undang-undang yang dipaksakan ke atas mereka iaitu undang-undang sivil atau undang-undang syariah, yang kesemuanya dibuat oleh manusia, bukannya datang dari Allah (swt).
Pentadbiran yang rosak dan menyimpang seperti ini, yang dibanggakan sangat oleh pemerintah Malaysia, hakikatnya tidak pernah diajar oleh Islam, dan tidak pernah berlaku di zaman Rasullah (saw) mahu pun zaman para Khulafa’ ar-Rasyidin. Pentadbiran yang rosak dan menyimpang seperti ini merupakan ketetapan dan ajaran yang ditinggalkan oleh kuffar British kepada kita. Tujuan mereka tidak lain, kecuali untuk menjauhkan kita dari Islam dan agar kita tidak kembali kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam yang sebenar.
Semua badan yang menguruskan hal-ehwal Islam pada hari ini dikehendaki tunduk kepada perlembagaan yang ditinggalkan oleh British, yang telah diajar oleh British bahawa ia (perlembagaan tersebut) lebih tinggi daripada al-Quran dan as-Sunnah. Sama sebagaimana British mengajar dan menghadiahkan sistem demokrasi kepada umat Islam, yang mana mereka berjaya membius umat Islam bahawa ia merupakan sistem Islam, dan sistem yang terbaik untuk manusia. Padahal hakikatnya, sistem ini telah menjadikan manusia “Tuhan-tuhan” selain Allah, kerana mereka telah mengambil hak Allah dalam membuat hukum. Firman Allah (swt):
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan” [At-Taubah (9): 31].
Dalam Negara Islam (Khilafah), tidak akan wujud sebuah badan atau Jabatan khusus yang menguruskan Islam, kerana keseluruhan jentera negara merupakan badan yang bertanggungjawab memerintah dan mentadbir mengikut Islam. Tidak akan ada pemisahan antara persekutuan dan negeri, dan seluruh negara merupakan sebuah kesatuan yang tertakluk kepada undang-undang Islam yang sama.
Dalam Khilafah, hanya terdapat satu undang-undang sahaja yang diamalkan iaitu undang-undang Islam. Pelaksanaan undang-undang ini terpakai kepada semua penduduk Khilafah, tidak kira Muslim mahupun bukan. Pengecualian hanya diberikan kepada non-Muslim (kafir dzimmi) dalam beberapa hal tertentu seperti hal-ehwal perkahwinan, makanan, dan ibadat mereka. Selain daripada itu, semua aspek kehidupan warga Khilafah diuruskan sepenuhnya mengikut undang-undang Islam dari sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besarnya.
Khilafah akan mengemudi pemerintahan dan pentadbiran negara mengikut hukum syarak semata-mata, dan langsung tidak ada apa yang dinamakan sebagai undang-undang sivil atau dualisme perundangan. Sekiranya terdapat perselisihan (khilaf) dalam sesuatu perkara, maka Khalifah-lah selaku ketua negara, yang akan menentukan pandangan mana yang sesuai untuk diambil dan diterapkan. Manakala jika wujud pelanggaran hukum syarak oleh Khalifah, akan ada parti politik mahupun individu rakyat yang akan memuhasabah Khalifah. Jika Khalifah melakukan kezaliman, maka akan ada Mahkamah Mazhalim yang akan bersidang untuk menentukan kedudukan Khalifah, dan Mahkamah Mazhalim berhak untuk memecat Khalifah.
Pada hari ini, berapa banyak daripada institusi agama hanya merupakan alat pemerintah untuk memastikan hegemoni politik mereka berkekalan, di samping menjadi saluran yang “sah” kepada pelbagai bentuk dana. Institusi agama ini berfungsi memastikan hanya “Islam” yang dibenarkan oleh pemerintah sahaja yang boleh diamalkan dalam negara atau sesebuah negeri. Apa sahaja pengamalan Islam yang tidak selari dengan pemahaman dan kehendak mereka akan dihalang, malah akan dikenakan tindakan undang-undang. Lebih buruk, mereka menjadi batu penghalang kepada gerakan-gerakan Islam yang melakukan dakwah untuk menerapkan Islam secara kaffah, termasuklah usaha untuk menegakkan Khilafah.
Kita tidak menafikan kemungkinan terdapat kakitangan institusi agama ini yang memang ikhlas dan mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Malangnya apabila mereka berada dalam sebuah negara dan institusi sekular seperti hari ini, keikhlasan dan kepakaran mereka telah “disalahguna” oleh pemerintah untuk kepentingan pemerintah semata-mata. Semoga golongan ini akan sedar dan bertindak sewajarnya.
Apabila Khilafah berdiri sedikit masa lagi insya Allah, kepakaran dan pengalaman yang ada pada mereka boleh dimanfaatkan di bawah mana-mana struktur Khilafah yang berkaitan, tergantung kepada kebijaksanaan Khalifah. Pada waktu itu, mereka boleh memainkan peranan penting dan mulia dalam membantu pemerintahan dan pentadbiran negara, di samping membantu penyebaran Islam dengan cara yang benar. Apa pun, buat masa ini, walaupun ada yang menyatakan bahawa tangan mereka terikat, mereka tetap wajib berjuang menegakkan Khilafah, dan tiada alasan langsung untuk mereka berdiam diri. Sesungguhnya Allah (swt) tidak pernah mengikat tangan-tangan mereka, tetapi mereka sendirilah yang mengikat tangan-tangan mereka.
Wallahu a’lam.