Seminar : Keruntuhan Khilafah 1924M & Perpecahan Umat – Sampai Bila ?

29 Mac 2009, Ahad – Ikatan Intelektual Nusantara dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan seminar bertajuk “Keruntuhan Khilafah 1924M & Perpecahan Umat – Sampai Bila ???” bertempat di Dewan Langkasuka, Hotel Sri Malaysia, Larkin, Johor Bharu. Seminar bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Alhamdulillah, sambutan orang ramai amat menggalakkan.

Seminar kali ini membentangkan dua tajuk. Tajuk pertama,“Sejarah dan Kesan Keruntuhan Institusi Khilafah” disampaikan oleh Ust Khairul, wakil HTM manakala pembentangan yang kedua bertajuk “Masanya untuk Berubah” disampaikan oleh Dr Muhammad Abul ‘Ain yang juga wakil dari HTM.

Dalam pembentangan yang pertama, penceramah menjelaskan kronologi kejatuhan Negara Islam yang didalangi oleh para pengkhianat di kalangan umat Islam, seperti Mustapa Kamal dan Midhat Pasha pada tanggal 3 Mac 1924. Pembentang juga menjelaskan bahawa sebelum tarikh tersebut, beberapa cubaan telah dilakukan untuk menggulingkan Khilafah. Namun begitu, semua cubaan ini gagal sehinggalah pada tarikh tersebut, Mustapa Kamal telah benar-benar berjaya melakukannya dan mengisytiharkan kejatuhan Sistem Khilafah.

Penceramah juga membincangkan permasalahan umat Islam yang timbul akibat ketiadaan Institusi Khilafah. Antara yang dibincangkan adalah pembantaian umat Islam tanpa pembelaan di kebanyakan negeri umat Islam seperti yang berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq, Lubnan, Uzbekistan, Algeria, Somalia, Kashir, Selatan Thailand dan  banyak lagi.

Tidak cukup setakat itu, kuffar Barat turut menghina Islam dengan memperlekehkan Rasullullah SAW dan Al-Quran. Hukum Syara’ juga dipersendakan dan ditinggalkan. Lebih menyedihkan, hukum yang diambil dan diterapkan di seluruh dunia umat Islam adalah hukum buatan manusia. Tidak hairanlah sekiranya kehinaan terhadap umat Islam terus berlaku sehingga ke hari ini..

Setelah itu, seminar diteruskan pula dengan pembentangan yang kedua. Dalam pembentangan ini, penceramah menjelaskan bagaimana kebangkitan sebenar boleh dicapai. Dengan berpandukan Sirah Rasullullah SAW, beliau menjelaskan bahawa kebangkitan akan diraih dengan merubah pemikiran umat, daripada pemikiran yang bukan Islami kepada pemikiran yang Islami. Dengan kata lain, masyarakat haruslah hidup dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata. Hukum Islam diambil dan diterapkan secara menyeluruh setelah Daulah Islam berjaya didirikan.

Sebelum seminar berakhir, peserta diberi peluang untuk mengajukan permasalahan dan alhamdulillah beberapa peserta telah mengajukan soalan. Antara soalan yang diajukan adalah “sejauh manakah kesesuaian Sistem Khilafah ini untuk diterapkan?”, “Adakah penegakan khilafah ini satu bentuk revolusi?”, “Bolehkah pemikiran masyarakat kini terutamanya golongan remaja diubah sedangkan media massa sering memaparkan hiburan-hiburan yang melalaikan?” dan beberapa soalan dan komen yang lain.

Persoalan-persoalan yang diajukan telah dapat dijawab oleh penceramah dan peserta dapat menerima dan memahaminya dengan baik. Peserta juga secara umumnya mengharapkan agar Khilafah segera tertubuh supaya syariah dapat dilaksanakan dan umat manusia dapat hidup dalam kesejahteraan. Umat Islam juga akan hidup dalam keredhaan Allah dan penuh kemuliaan.