Bagaimana memilih pemimpin – Pemimpin yang adil (Siri 2)

Menjelang PRU 15, ramai umat Islam sudah meluat melihat para pemimpin yang penuh dengan double standard di hadapan undang-undang. Apa tidaknya, sebagai contoh, pernah suatu ketika dahulu jika berlaku pelanggaran SOP pada PKP yang lepas – rakyat marhaen begitu cepat dikenakan hukuman tanpa belas kasihan, namun sebaliknya apabila pelanggaran dilakukan oleh para menteri, pelbagai pertimbangan diberikan walaupun akhirnya hukuman/denda tetap dikenakan, tetapi dengan pendapatan yang tinggi, hukuman tersebut tidaklah diambil kisah pun. Cuba kita perhatikan kes pendakwaan bekas Perdana Menteri yang telahpun didapati bersalah. Tetapi beliau masih lagi bergerak bebas ke mana-mana dengan alasan yang pelbagai. Hal yang sama tidak berlaku untuk rakyat bawahan yang pasti akan dikenakan hukuman penjara dahulu walaupun sedang dalam proses membuat rayuan mahkamah.

Ini hanya sekelumit daripada banyak kes pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang di negara ini yang jelas berlaku di hadapan mata rakyat seolah-olah di negara ini terdapat dua undang-undang, satu undang-undang untuk golongan rakyat, manakala satu lagi undang-undang untuk golongan kayangan. Kita tidak perlu terkejut hal seumpama ini berlaku di negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Selain Malaysia, sudah banyak negara demokrasi lain yang rakyatnya mengalami nasib yang sama. Kenapa ya?

Para wakil rakyat akan duduk berbincang untuk membuat undang-undang, tetapi undang-undang itu hanya kena pada rakyat, bukan pada diri mereka. Mereka berada di atas undang-undang dan boleh memanipulasi kuasa demi mengelak daripada terkena hukuman. Begitulah perlaksanaan undang-undang double standard yang selalu berlaku dalam sistem demokrasi di mana-mana negara sekalipun.

Ciri Pemimpin yang Adil

Wahai kaum muslimin, marilah kita mengingati pesanan daripada Rasulullah (saw). Baginda mengingatkan kita bahawa antara sebab sebuah masyarakat hancur binasa kerana berlakunya double standard dalam perlaksanaan undang-undang. Dari Aisyah (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

فقالَ إنَّما أهْلَكَ الَّذينَ من قبلِكُم أنَّهم كانوا إذا سَرقَ فيهم الشَّريفُ ترَكوهُ وإذا سرقَ فيهم الضَّعيفُ أقاموا عليهِ الحدَّ. وأيمُ اللَّهِ ! لَو أنَّ فاطمةَ بنتَ محمَّدٍ سرَقَت لقطعتُ يدَها.

Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya” [HR Tirmizi].

Apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) adalah bahawa baginda sendiri akan tunduk di hadapan hukum (undang-undang) negara (hukum syarak) sekiranya anaknya melakukan kesalahan. Undang-undang negara Islam merupakan hukum syariah yang datang sepenuhnya dari wahyu Allah (swt), Sang Pencipta sekalian alam. Tiada siapa yang berhak mengubahnya atau melanggarnya apatah lagi memadamkannya. Semua lapisan masyarakat daripada peringkat bawahan sehinggalah ketua pemerintah mesti patuh dan tunduk kepada aturan-Nya.

Keadilan mesti datang daripada sistem yang benar

Kita juga perlu memahami bahawa keadilan bukan hanya datang daripada sifat adil seorang pemimpin, ia juga mesti datang dari sistem yang benar. Sekalipun kita mempunyai seorang pemimpin yang adil, misalnya tidak pilih kasih dalam melaksanakan hukuman, namun jika undang-undang tersebut tidak benar atau lemah maka hukuman itu tetap tidak adil.

Menurut Imam Ibnu Taimiyah, keadilan adalah apa sahaja yang ditunjukkan oleh al-Kitab dan as-Sunnah (Kullu ma dalla ‘alayhi al-kitab wa as-sunnah), baik dalam hukum hudud mahupun hukum yang lainnya [Ibnu Taimiyah, As-Siyasah as-Syar’iyah]. Oleh itu keadilan dapat didefinisikan secara ringkas, iaitu berpegang teguh dengan Islam (al-iltizam bil-Islam) [M. Ahmad Abdul Ghani, Mafhum al-‘Adalah al-Ijtima’iyah fi Dhaw` al-Fikr al-Islami Al-Mu’ashir, I/75].

Kunci utama untuk mencapai keadilan adalah hukum yang diterapkan mestilah hukum terbaik di setiap tempat dan zaman. Hanya syariah Islam sahaja yang layak memenuhinya, bukan hukum buatan manusia seperti yang diagungkan di dalam sistem demokrasi-sekular sekarang. Allah SWT berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُون

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki. (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”  [al-Maidah (5):50].

Dalam kitab At-Tafsir al-Munir, Syaikh Wahbah az-Zuhaili menerangkan bahawa ayat ini bererti tidak ada seorang pun yang lebih adil daripada Allah dan tidak ada satu hukum pun yang lebih baik daripada hukum-Nya [Wahbah Az-Zuhaili, At-Tafsir al-Munir, VI/224]. Dengan itu, hukum selain daripada hukum Allah tetap tidak adil sekalipun datang dari pemimpin atau hakim yang adil.

Kesimpulan

Dalam memilih pemimpin, apa yang kita perlu ambil kira bukan semata-mata seorang pemimpin itu tidak pilih kasih dalam penerapan undang-undang, tetapi juga sistem yang digunakan oleh pemimpin tersebut. Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk kita ikuti, iaitu kepimpinan yang adil dan sistem yang benar. Sistem yang paling benar adalah syariah Islam. Tanpa syariah Islam, ketidakadilan pasti akan berlaku. Justeru, ketika saudara dan saudari memilih pemimpin nanti, tanyalah pada diri sendiri, apakah sistem yang akan digunakan oleh pemimpin tersebut? Mampukah pemimpin tersebut memberi keadilan kepada rakyat?