Bagaimana memilih pemimpin – Pemimpin yang menerapkan Syariat Allah (swt) (Siri 1)
Di dalam sistem demokrasi, PRU bukanlah sesuatu yang asing. Ia seolah-olah menjadi pesta mengikut penggal. Ia adalah medan untuk memilih wakil rakyat dan jika menang secara majoriti, calon tersebut akan terpilih untuk berada di parlimen. Mereka ini pula akan mendapatkan suara majoriti dan kemudiannya berbincang untuk untuk menubuhkan kabinet eksekutif sebagai barisan pemerintah yang diketuai oleh Perdana Menteri.
Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya mengimpikan seorang wakil rakyat, iaitu pemimpin seumpama para sahabat. Jika mahukan seperti Rasulullah saw, itu adalah insan yang maksum, dan suri tauladan utama. Namun, para sahabat merupakan contoh terbaik bagaimana untuk rujuk sebagai suri tauladan utama. Teringat bagaimana keteguhan Abu Bakar as-Siddiq (ra) mempertahankan Islam daripada para murtaddin, memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat dan yang merosakkan Islam dengan kebangkitan nabi palsu. Begitu pula Umar al-Khattab (ra) yang ketika orang lain sedang tidur dan sedang berada di dalam waktu rehatnya, beliau meronda untuk memastikan kemaslahatan umat tetap terpelihara. Beliau juga adil terhadap semua warga Muslim mahupun bukan Muslim. Tidak dilupakan, tokoh yang selalu disebut-sebut, Khalifah Umar Abdul Aziz. Masyarakat di zamannya hidup Makmur.
Setiap kali menjelang PRU, parti politik akan mengenengahkan manifesto mereka. Apakah yang pemimpin Malaysia akan jalankan selepas menang pilihanraya? Pastinya mereka akan cuba menunaikan manifesto pilihan raya tersebut. Biasanya pasti selalu terkait dengan ekonomi dan kebajikan. Dalam kerangka sistem kapitalisme sekarang, isu sara hidup pasti akan ditimbulkan. Isu ekonomi antarabangsa, pelaburan asing tentu menjadi target. Jangan lupa, setiap parti ada tajaan politik. Ada kepentingan yang perlu ditunaikan. Ruang lingkup aktiviti ekonomi pula harus patuh kepada lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang. Undang-undang yang sama ini mewajibkan faedah (riba) bagi pinjaman kewangan, memberi ruang kepada lesen perjudian dan arak dan macam-macam lagi yang bertentangan dengan ketentuan syarak. Semua ini dikatakan sebahagian bentuk aktiviti ekonomi. Jika kita menginginkan kepimpinan seperti Abu Bakar atau Umar radiyallhu anhuma, di dalam era ini, tidak mungkin hendak dicapai target pelaburan asing dan kerancakan aktiviti ekonomi. Fikir mereka, ini mudarat.
Cuba kita amati firman Allah (swt):
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian ikuti langkah-langkah syaitan. Sesuungguhnya, ia musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah (2): 208].
Melalui ayat ini, dapat difahami bahawa seruan ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Maka sebagai umat Islam, seruan ini ditujukan kepada kita untuk beramal dengan Islam sepenuhnya. Imam Jalaludin as-Suyuti menyebutkan dalam Tafsir Jalalain makna sifat kaffah sebagai seluruh syariat [Al-Quran dengan catatan Tafsir Jalalain, juzuk 1]. Maka setiap orang yang mengaku beragama Islam mesti mengamalkan ajarannya sesuai taklif atau bebanan hukum masing-masing, berhukumkan hukum Islam dalam kehidupannya secara menyeluruh.
Marilah kita renungkan pula bagaimana ancaman Allah:
وَمَنْ لَّمْ يَحْكُمْ بِمَآ اَنْزَلَ اللّٰهُ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الظّٰلِمُوْنَ
“Dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Maidah (5):44].
Begitu juga ancaman yang hampir sama pada ayat ke 45 dan 47:
“…mereka adalah orang-orang zalim” [TMQ al-Maidah (5):45],
“…mereka adalah orang-orang fasik” [TMQ al-Maidah (5):47].
Lafaz “ مَنْ ” pada ayat ini tertuju pada kita semua, walaupun naratif awal cerita pada ayat ini berkenaan kaum Yahudi dan Nasrani yang menerima Taurat dan Injil. Ini adalah kerana hukum Allah itu wujud sesuai apa yang disebutkan setiap wahyu. Semuanya termasuk syariat Allah bagi umat manusia. Orang zaman dahulu wajib berhukum dengan hukum Allah, orang zaman kini juga wajib berhukum dengan hukum Allah. Jadi, seruan untuk menjalankan syariat-Nya secara menyeluruh juga datang dengan ancaman kefasikan, kezaliman bahkan sampai kepada kekafiran bagi yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah. Jalankan syariat, jika tidak, amaran Allah ini akan menimpa kita samada di dunia atau di akhirat kelak. Dan masih banyak lagi ayat-ayat lain di dalam Al-Quran dengan tema yang senada.
Dalam ayat surah al-Maidah di atas, lafaz “مَنْ” pada ayat tersebut terkena juga pada seseorang dalam posisi yang pelbagai. Dengan kata lain, dalam posisi yang berbeza, kita perlu menerapkan kewajiban yang berbeza. Tanggungjawab seorang pemimpin, sebagai contoh, adalah jauh lebih luas berbanding tanggungjawab kita sebagai rakyat. Maka di sinilah relevannya ayat ini dihubung kaitkan dengan pemimpin. Pemimpin itu satu jawatan, satu posisi dan situasi yang wujud di kalangan manusia manakala bebanan (taklif) dan tanggungjawab hukum pula datang dengan pelbagai ragam. Ada syariat yang datang khusus bagi lelaki, ada syariat yang khusus bagi perempuan. Ada yang tertuju kepada semua manusia, ada untuk sebahagian manusia. Begitu juga, terdapat syariat bagi para pemimpin sebagai mana terdapatnya syariat bagi para rakyat.
Taklif kepada pemerintah
Siapa yang hendak menjadi pemimpin, bahkan siapa yang mahu memilih para pemimpin haruslah mengerti hadis ini:
الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Imam (Khalifah) adalah raa’in (pengurus rakyat) dan ia bertanggung jawab atas pengurusan rakyatnya” [HR al-Bukhari].
Posisi pemerintah itu sebagai pemimpin. Dengan posisi ini, dia akan dipersoalkan oleh Allah tentang apa yang diuruskan dalam kepimpinannya. Segala kemaslahatan rakyat berada pada tangannya.
Berbalik pada seruan menerapkan syariat dan ancaman tidak berhukum dengan hukum Allah, maka posisi pemerintah mempunyai taklif khas. Sebagai contoh, orang yang melakukan jenayah misalnya tidak boleh diputuskan hukumannya oleh masyarakat. Bahkan haram sama sekali masyarakat menerapkan hukuman pada mereka. Tanggungjawab itu ada pada para penguasa atau pemerintah. Pemimpin melantik para Qadhi bagi memutuskan persoalan ini. Qadhi pula akan memutuskan dengan keputusan yang sesuai daripada wahyu. Ini tidak dapat dilakukan oleh orang kebanyakan. Itu baru sisi uqubat atau kanun jenayah.
Bagaimana dengan politik, ekonomi, pendidikan? Atau polisi luar negara, sistem sosial dan lain-lain? Yang mengatur asas perjalanan sistem ini semua adalah pemerintah. Jika seseorang itu faham dengan untuk menjalankan syariat, maka isu pelaburan asing perlu dinilai dengan timbangan yang benar. Pelbagai akta yang merancakkan maksiat perlu dihapuskan. Maksiat politik, ekonomi, sosial, pendidikan atau undang-undang bukan sekadar maksiat peribadi. Berat? Ya, sememangnya berat jika nuansa kita masih tetap dengan arus kepimpinan semasa yang selari dengan arus dunia hari ini. Tetapi jika utuh mahu melihat wahyu, maka jawaban kita cuma satu, iaitu para pemerintah itu wajib menerapkan syariat Islam. Sebagaimana orang biasa wajib bersolat, wajib jujur, wajib patuh pada perintah dan larangan Allah, begitu juga pemimpin. Ikut pada level posisinya. Syariat itu maslahat, bukan mudarat. Cuma memang perlukan kebijaksanaan.
Akhirul kalam, buat umat Islam yang sedang memikirkan siapakah gerangan calon pemimpin mereka, ingatlah bahawa Islam itu mengatur seluruh urusan hidup kita. Tidak ada waktu yang kita terpisah daripada agama. Islam juga datang dengan syariat yang mengandungi penyelesaian, daripada urusan individu hinggalah urusan negara. Semuanya sudah sedia ada, hanya tinggal mahu digunapakai atau tidak. Yang kita perlukan adalah tekad yang teguh menongkah arus sistem semasa. Jika kita tahu penyelesaian itu ada dalam Islam, maka kita perlukan kuasa yang dapat menerapkan Islam. Kita jalankan kewajiban yang fardhu pada diri kita, pemimpin jalankan kefardhuan mereka. Wajib terapkan syariah, yang kita tuai pastinya adalah kesejahteraan hidup di bawah sistem Islam.