Bahasa Jambatan Ilmu Bukan Penyebab Kemajuan Dan Keintelektualan

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin membuat kenyataan bahawa bahasa Arab bukanlah bahasa ilmu. Beliau mendakwa bahawa tiada dalam kalangan ahli profesional terkemuka dunia yang terhasil menerusi pendidikan yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantara. Menurutnya, bahasa Arab tidak digunakan dalam ilmu sains, teknologi dan ekonomi yang mempunyai nilai untuk menyumbang kepada kemajuan serta pemodenan. Menurutnya lagi, bahasa Arab tidak lagi mempunyai nilai sebagai bahasa ilmu kecuali dalam bidang agama, ketika cuba mempertahankan cadangan beliau supaya sekolah tahfiz ditutup selepas dikritik oleh beberapa pihak [Rujukan: Utusan Malaysia, 16 Julai 2018].

Bahasa bukanlah penyebab kemajuan sains dan teknologi, dan juga bukan penyebab kepada tahap kemajuan dan intelektual seseorang itu. Bahasa hanyalah jambatan untuk mengkaji ilmu dan seseorang yang mengkaji sesuatu ilmu dengan bahasa tertentu tidak semestinya boleh memahami ilmu yang dikaji itu. Ini bermakna seseorang boleh mengkaji ilmu mengikut bahasa yang dia suka tetapi ia tidak memastikan orang tersebut boleh memahami apa yang dikajinya itu.

Penggunaan bahasa dan kefahaman tentang ilmu ialah dua perkara yang berlainan sekali dan tidak bergantung kepada satu sama lain. Tamadun manusia yang terawal seperti Mesir kuno walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Eropah yang lain, tetapi mereka berjaya mencipta piramid dan pengawetan mayat Raja (Firaun) mereka. Malah, sehingga kini tidak dapat diketahui oleh sarjana Barat kaedah apakah yang digunakan oleh tamadun Mesir kuno untuk membina piramid dan mengawet mayat (mumia) dengan begitu berjaya sekali yang boleh bertahan beribu-ribu tahun lamanya. Begitu juga dengan pelancaran roket pertama Sputnik ke angkasa lepas pada tahun 1950an, pembuatan kereta pertama Mercedes Benz, kamera Sony dan telefon pintar Samsung. Apa yang dapat dilihat daripada teknologi ini ialah kesemua manual tersebut ditulis dalam bahasa Rusia, Jerman, Jepun dan Korea iaitu merupakan bahasa ibunda untuk negara tersebut. Tahap kemajuan sains dan teknologi disertai oleh ekonomi yang menjanakan Keluaran Negara Kasar (GDP) yang tinggi bagi Jepun dan Korea yang menggunakan bahasa ibunda jauh mendahului negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda seperti Australia dan New Zealand.

Mengenai bahasa Arab pula, ia merupakan bahasa al-Quran yang di dalamnya ada fakta-fakta tentang kejadian alam semesta dan kehidupan di bumi ini secara amnya. Maka untuk memahami kandungan ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam, seseorang itu mestilah menguasai bahasa Arab. Para saintis yang mengkaji fenomena kejadian alam sambil merujuk kepada al-Quran merasa takjub tentang kebenaran yang terkandung di dalam al-Quran. Al-Quran sudah memberikan suatu fakta tentang alam nyata ini sebelum para saintis menemuinya lagi sama ada tentang kejadian alam semesta, pertumbuhan embrio, geologi, astronomi dan lain lain. Bacaan lebih lanjut, pembaca bolehlah merujuk kepada buku karangan Maurice Bucaille “The Bible, the Quran and Science” pada 1976.

Penulis merupakan seorang pakar bedah Perancis yang mempelajari bahasa Arab dan mengkaji ayat-ayat di dalam al-Quran yang menceritakan fenomena alam tanpa sebarang prejudis. Beliau akhirnya memeluk Islam kerana mengakui kebenaran al-Quran. Malah bukan beliau sahaja yang membuat kajian tentang fakta-fakta sains di dalam ayat-ayat al-Quran, tetapi ramai ahli sains dalam bidang geologi, fizik, biologi dan astronomi yang turut mengakui bahawa al-Quran memberikan kebenaran fakta tentang sains sebelum ditemui oleh para saintis.

Tamadun Islam pula telah melahirkan ramai para saintis dan ahli matematik yang hidup semasa zaman Khilafah Islam Umaiyyah, Abbasiyyah dan Andalusia (Sepanyol dan Portugal) yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda. Ahli perubatan seperti Ibnu Sina dan al-Razi yang telah membina hospital untuk pertama kali telah disanjung oleh Barat sendiri. Jabbir al-Hayyan yang tinggal di kota Kufa di Irak (semasa Daulah Abbassiyah) pada kurun ke lapan Masihi diiktiraf sebagai ahli Kimia yang pertama apabila beliau mengembangkan bidang tersebut. Perkataan Chemistry dalam bahasa Inggeris (Kimia di dalam bahasa Melayu) ialah terbitan daripada perkataan Alchemy dalam bahasa Latin, yang merupakan terbitan daripada perkataan al-Kimiya dalam bahasa Arab. Ini disebabkan penulisan Jabbir al-Hayyan tentang ilmu Kimia dialih-bahasakan kepada bahasa Latin sebelum diterjemah dalam bahasa Inggeris. Perkataan algebra (aljabar dalam Arab), algorithm dan alkali yang digunakan dalam ilmu matematik dan kimia pada zaman ini sebenarnya berasal daripada perkataan Arab disebabkan oleh pencipta dan penemunya ialah orang berbangsa Arab yang hidup semasa zaman Khilafah Islam.

Sebuah komputer tidak boleh berfungi tanpa algorithm, ilmu matematik dan fizik mustahil boleh dikembangkan tanpa adanya algebra (aljabar). Perakaman imej dengan menggunakan kamera atau telefon pintar bergantung kepada kefahaman tentang optik, yang dipelopori oleh seorang saintis Arab bernama Ibnu Haytham. Badan dunia UNESCO telah memberikan penghormatan kepada Ibnu Haytham menerusi suatu artikel yang diterbitkan oleh Elsevier (penerbit jurnal-jurnal sains terkemuka) pada tahun 2015 yang telah diisytiharkan sebagai tahun cahaya atau International Year of Light and Light-Based Technologies sebagai pengiktirafan kepada hasil kajian beliau dalam bidang optik.

Pengiraan dengan menggunakan nombor 1,2,3,4,5,6,7,8,9 dan konsep sifar (0) merupakan hasil ciptaan al-Khawarizm, seorang pakar matematik Arab yang hidup semasa zaman Khilafah Abbasiyyah. Banyak lagi penemuan-penemuan yang dilakukan oleh ahli sains dan matematik muslim yang hidup semasa era Khilafah Islam yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda.

Di samping itu, pembinaan universiti dan perpustakaan yang pertama terletak di Fes, Maghribi. Universiti tersebut dikenali sebagai Universiti al-Qarawiyyin yang dibina pada tahun 859 Masihi oleh seorang wanita Arab bernama Fatimah al-Fihri. Semasa umat Islam menguasai Andalusia (Sepanyol dan Portugal) pada kurun ke-8 sehingga ke-14 Masihi, ramai orang Eropah berhijrah ke sana untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang diajarkan dalam bahasa Arab [Rujukan: When The World Spoke Arabic: The Forgotten Legacy of Arabic Science, oleh Professor Dr. Jim al-Khalili, https://www.youtube.com/watch?v=6nG6EuzCdx0].

George Sarton, seorang pakar matematik dan kimia dari Belgium yang kemudiannya menjadi pensyarah dan professor sejarah sains di Universiti Harvard di Amerika Syarikat dari tahun 1940 sehingga 1951 telah menulis tiga jilid buku tentang “Introduction to the History of Science” yang memberikan bukti penglibatan ahli sains dan matematik muslim Arab. Semasa ingin menulis jilid kedua, George Sarton telah mempelajari bahasa Arab untuk mengembara di Timur Tengah sambil mempelajari manuskrip lama oleh ahli sains dan matematik Arab, dan di antara isi penulisannya menyatakan: “Mencukupi di sini untuk diberikan beberapa nama terkemuka yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana tokoh di Barat: Jabir ibn Hayyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Fargani, al-Razi, Thabit ibn Qurra, al-Battani, Hunain ibn Ishaq, al-Farabi, Ibrahim ibn Sinan, al-Masudi, al-Tabari, Abul Wafa, ‘Ali ibn Abbas, Abul Qasim, Ibn al-Jazzar, al-Biruni, Ibn Sina, Ibn Yunus, al-Kashi, Ibn al-Haitham, ‘Ali Ibn ‘Isa al-Ghazali, al-Zarqab, Omar Khayyam. Nama-nama yang hebat, bahkan senarai ini boleh diteruskan dengan mudah sekali. Oleh itu, sekiranya ada yang mengatakan bahawa Zaman Pertengahan merupakan zaman yang jumud atau mandul, nyatakan sahaja nama-nama sarjana hebat ini yang hidup antara 750 sehingga 1150 Masihi.” [Rujukan: George Sarton’s Tribute to Muslim Scientists in the “Introduction to the History of Science]