Bahaya Menghasut
Perbuatan menghasut bermaksud menjadikan seseorang itu sakit hati atau marah kepada orang yang lain. Perbuatan yang dimaksudkan termasuklah apa jua perbuatan yang membangkitkan kemarahan dan kebencian seseorang terhadap orang lain [Kamus Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka]. Termasuk juga di dalam kategori ini adalah perbuatan mencetuskan kekacauan/mengapi-apikan sekelompok orang supaya berlaku pergaduhan/pergeseran di kalangan masyarakat.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jika dua hamba Allah bergaduh dan saling mencaci, dosa mereka akan kembali kepada si penghasut selagimana kedua-dua mereka yang berkelahi itu tidak melampaui batas” [HR Muslim]
Abdullah Ibn Abbas RA pula meriwayatkan “Nabi SAW melewati dua buah kubur, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang diseksa kerana suka mengadu domba (menghasut/mengapi-apikan) dan tidak menjaga diri dari sisa air kencing selepas membuangnya” [HR Bukhari dan Muslim]
Kedua-dua dalil ini menjadi bukti bahawa di dalam Islam, kebebasan bersuara mutlak tidak pernah wujud. Ini bermaksud, seseorang itu tidak dibenarkan sama sekali bersuara, menulis atau melakukan apa jua perbuatan yang boleh menimbulkan penghinaan, fitnah, mengumpat, memaki hamun, mengeluarkan kata-kata keji, lucah dan sebagainya. Dengan kata lain, Islam tidak membenarkan seseorang melakukan sesuatu dengan niat menyakiti orang lain. Lebih serius lagi apabila perbuatan tersebut membawa kepada perpecahan umat seperti yang dinyatakan di dalam hadis berikut:
“Sesiapa yang datang kepada kalian sementara kalian telah sepakat menyokong seorang pemimpin, lalu ia bertujuan merosakkan kesepakatan kalian atau ingin memecah belahkan penyatuan kalian, maka bunuhlah dia.” [HR Muslim]
Hadis ini mengandungi arahan kepada kita untuk memerangi para penghasut dan orang-orang yang bertujuan memecah belah persatuan kaum Muslimin setelah mereka bersatu dan taat kepada seorang penguasa. Hadis ini menunjukkan bahawa apabila umat Islam telah bersepakat melantik seorang pemimpin, kemudian datang kepada mereka seseorang yang ingin menjatuhkan pemimpin yang telah mereka sepakati itu, maka mereka wajib menghukumnya sekalipun dengan hukuman bunuh, demi menghindari pertelingkahan dan pertempuran untuk melindungi darah kaum Muslimin. Jika yang muncul itu adalah berupa sekelompok orang yang ingin menghasut dengan tujuan tersebut, mereka akan dihukum berdasarkan hukuman ta’zir di mana pelaksanaannya diserahkan kepada (ijtihad) Imam. Di dalam kitab Nizam al-Uqubat karya Syeikh Abdrurrahman al-Maliki ada menjelaskan bahawa para penghasut dan penyebar propaganda yang salah boleh dikenakan hukuman ta’zir. Menghasut orang lain dengan tujuan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam merupakan satu kesalahan dan dosa yang besar. Kesan yang cukup buruk akibat dari hasutan yang dilakukan melayakkan para penghasut ini dihukum dengan sekeras-keras hukuman yang dibenarkan syariat Islam.