Bahaya Pornografi dan Seks Bebas, Di mana Silapnya?
Forum yang bermula pada jam 0900 pagi hingga 0100 petang ini telah diadakan di Dewan Seminar, Jalan Sri Putra 1, Taman Sri Putra, Johor Bahru. Forum ini menampilkan dua ahli panel iaitu Cik Iman dan Ustz. Hjh. Nurul Ilmi. Kedua-dua mereka merupakan aktivis Hizbut Tahrir Malaysia.
Forum yang berkaitan pornografi dan seks bebas ini telah mengetengahkan permasalahan sosial yang sedang membelenggu masyarakat masa kini yang semakin parah dan amat memerlukan penyelesaian yang dapat merungkai permasalahan ini sehingga ke akar umbinya.
Pada sesi pertama, Cik Iman selaku panel pertama telah menjelaskan maksud pornografi dan seks bebas serta kayu ukur sejauh mana yang dikatakan pornografi dan seks bebas itu. Ahli panel kedua kemudian menyambung dengan menjelaskan golongan yang terdedah dengan bahaya pornografi dan seks bebas ini. Disebabkan zaman teknologi yang semakin canggih serta dunia tanpa sepadan, tidak kira golongan remaja, dewasa malah kanak-kanak akan terdedah dengan dunia pornografi melalui paparan di internet sehingga menimbulkan dorongan untuk melakukan seks bebas dalam kalangan mereka.Soalan seterusnya meminta ahli panel pertama memberikan gambaran realiti hari ini, sama ada fenomena songsang ini berada pada tahap yang semakin serius atau sebaliknya. Ahli panel kedua pula menjelaskan punca sebenar mengapa fenomena ini semakin berleluasa.
Pada sesi kedua, ahli panel pertama dan ahli panel kedua memberi penjelasan tentang cara-cara penyelesaian bahaya pornografi dan seks bebas mengikut pandangan Islam, serta hubungan masalah ini dengan negara yang mengamalkan demokrasi. Kedua-dua ahli panel turut menjelaskan peranan individu dalam menjaga pandangan dan kehormatan (kaum wanita menutup aurat, tidak rela kecantikan dipertontonkan, tidak membiarkan diri menjadi bahan hiburan lelaki), peranan masyarakat dalam menegur dan menasihati golongan yang terjebak dalam gejala ini serta peranan utama negara dalam membendung masalah ini seperti tidak membiarkan majalah dan bahan-bahan lucah membanjiri pasaran, laman-laman web porno disekat, hukuman dijalankan mengikut peraturan Islam ke atas mereka yang ber ‘couple’ dan melakukan seks luar nikah.
Seminar diakhiri dengan soal jawab, antara soalan yang diajukan ialah bagaimana cara untuk menyekat pornografi dan seks bebas dalam kalangan masyarakat majmuk yang berbilang agama di Malaysia, apakah kesan-kesan ke atas mereka yang melakukan seks bebas dan bagaimana cara untuk menghilangkan ketagihan seks. Demi kepuasan peserta, MC turut membuka peluang kepada peserta berinteraksi secara bebas dengan ahli panel
Dikesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir serta jawatankuasa yang bertugas.Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh sebagaimana firmanNya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad(47):7].