Bai’ah Bukan Hanya Wajib Untuk PAS Tetapi Juga Wajib Bagi UMNO
Pengakuan Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar – isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad
KUALA LUMPUR: Sumpah taat setia atau baiah jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati parti adalah rahsia dalaman parti itu, kata Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar – isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
“Saya tak pernah menghadiri majlis itu, kerana ia adalah rahsia dalaman parti. Saya tidak tahu apakah ungkapan yang dibaca, tapi suami saya memberitahu mereka perlu mengangkat tangan dan melafazkan baiah itu,” katanya. Pensyarah sebuah universiti swasta di sini itu, berkata sepanjang pengetahuannya, Khalid mengangkat baiah sebanyak lima kali dengan kali pertama ketika bertanding atas tiket Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Krai pada 1986.
“Bagaimanapun, baiah talak tiga suami saya itu dilakukan buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu. Saya tak tahu sama ada wakil rakyat lain pun buat perkara sama,” katanya.
Zaitun yang dihubungi Berita Harian, semalam, berkata beliau tidak takut dengan tindakan suaminya melafazkan baiah talak tiga itu kerana percaya Khalid tidak akan mengkhianati parti. “Saya tidak takut… dia bukannya nak tukar parti… dia serius dan mengambil berat mengenai hal itu.
“Sebab itu dia mempertaruhkan sesuatu yang berharga… itu adalah antara dia dan Allah,” katanya ketika ditanya sama ada beliau sedar mengenai kesan baiah itu yang mengakibatkan talak tiga jatuh dengan sendirinya ke atasnya jika Khalid melompat parti.
Kelmarin, Khalid mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung kewujudan amalan baiah talak tiga dalam Pas, yang dinafikan pucuk pimpinan parti itu.
Ditanya sama ada isteri wakil rakyat Pas lain pernah menghadiri majlis baiah itu, Zaitun berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan sesama mereka. Beliau juga berkata, baiah talak tiga diperkenalkan bagi menghalang wakil rakyat melompat parti kerana ada percubaan ‘membeli’ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 yang ketika itu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di negeri itu.
Sumber : Berita Harian, 12/11/09
Bai’ah Bukan Hanya Wajib Untuk PAS Tetapi Juga Wajib Bagi UMNO
Isu baiah terus menjadi isu panas yang diperdebatkan oleh umat Islam samada dari pihak UMNO mahupun PAS. Di samping mempunyai makna bahasa baiah juga mempunyai makna syar’i. Ianya bukanlah suatu istilah yang boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya. Dari segi istilah, bai’ah merupakan ketaatan kepada seorang khalifah yang wajib menerapkan Islam secara menyeluruh. Dalam ertikata lain, bai’ah merupakan akad perlantikan (restu) dari umat kepada seorang calon Khalifah bagi melestarikan kehidupan Islam di bawah sistem Khilafah. Baiah adalah satu-satunya metode yang diakui sah oleh Islam dalam proses pengangkatan ketua negara bagi seluruh umat Islam. Umat Islam telah diancam dengan suatu peringatan yang cukup tegas oleh Rasulullah SAW bahawa mereka yang tidak ada baiah ditengkuknya maka matinya adalah mati jahiliyyah. Justeru itu istilah bai’ah yang telah digunakan oleh pihak PAS sebagaimana yang diperkata oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, adalah suatu tindakan yang tidak menepati makna syar’i bai’ah itu sendiri. Ini adalah kerana PAS tidak meletakkan makna bai’ah dengan makna syar’i.
Hakikatnya, adalah merupakan suatu kewajiban bagi seluruh umat Islam saat ini termasuklah ahli-ahli PAS, UMNO mahupun ahli mana-mana parti politik yang beragama Islam untuk mewujudkan seorang Khalifah bagi memastikan kewajiban bai’ah itu disempurnakan. Jika ini tidak berlaku maka semua umat Islam akan memikul dosa kerana ketiadaan seorang Khalifah yang wajib dibai’ah oleh umat. Hadith Rasulullah SAW:
“Barang siapa yang mati dalam keadaan tidak ada ba’iah kepada khalifah maka matinya mati jahiliyyah”.
“Abdullah bin Umar pernah berkata kepadaku: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa saja yang melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, nescaya dia akan bertemu dengan Allah dihari kiamat tanpa memiliki hujjah. Dan siapa saja yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada bai’ah, maka matinya adalah mati jahiliyah.”
Penjelasan kepada hadith di atas antaranya ialah: Nabi SAW telah memfardhukan kepada seluruh kaum Muslimin agar di atas pundak mereka terdapat bai’ah. Beliau mensifati orang yang meninggal sedangkan di atas pundaknya tidak terdapat bai’ah, matinya adalah dalam keadaan mati jahiliyah (dosa besar). Dan bai’ah itu hanya diberikan kepada Khalifah, bukan kepada yang lain. Rasulullah SAW telah mewajibkan kepada seluruh kaum Muslimin agar di atas pundak mereka terdapat bai’ah kepada seorang khalifah, dan bukannya mewajibkan mereka semua melakukan proses bai’ah secara langsung. Ini adalah kerana yang wajib hanyalah adanya bai’ah di atas pundak setiap kaum Muslimin, iaitu adanya seorang khalifah yang mempunyai hak bai’ah dari setiap muslim.
Dengan adanya seorang khalifah, maka di atas pundak kaum Muslimin akan ada bai’ah. Adanya khalifahlah yang menentukan ada atau tidak adanya bai’ah di atas pundak kaum Muslimin tidak kira samada mereka membai’ah secara langsung atau tidak. Oleh kerana itu, hadith di atas merupakan dalil yang menunjukkan wajibnya mengangkat seorang khalifah, dan bila ada khalifah, maka wajib melakukan bai’ah. Jelas, isu bai’ah adalah isu penting bagi kaum Muslimin di seluruh dunia. Oleh itu, penggunaannya haruslah benar dan kesedaran akan kepentingannya haruslah ada pada setiap muslim, tidak kira dari PAS, UMNO, PKR mahupun yang lainnya.