Baitul Maqdis dan harapan Kekhilafahan

Tersebar luas berita sang presiden rasis negara “Uncle Sam”, Donald Trump yang mengisytiharkan Baitul Maqdis (Jerusalem – mengikut sebutan mereka), sebagai ibu negara “Israel”. Hal tersebut diikuti dengan tindakan untuk menukar lokasi kedutaan Amerika di Tel Aviv ke Baitul Maqdis (Al-Quds), walaupun memakan sedikit masa. Tetapi, dengan konsulatnya yang sudah tersedia di Al-Quds, prosesnya mungkin menjadi lebih mudah.

Semasa kempen presiden tahun lalu, pemindahan kedutaan AS ke Al-Quds merupakan modal Trump untuk meraih sokongan AIPAC (Komitee Perhubungan Awam Amerika-Israel). Trump sendiri yang mengutarakan hasrat tersebut dalam ucapannya semasa perjumpaan mereka pada bulan Mac 2016 (nytimes.com 5/12/2017). Dan hal itu kemudiannya berbangkit setelah lebih setahun, dan Trump sendiri menyatakan dia tidak melupakan agenda yang telah diucapkannya itu. Jadi, ini merupakan manifestasi janji sang presiden, mungkin boleh ditafsir sebagai bentuk lobi politik, juga boleh ditafsir sebagai suatu langkah strategis.

Ini adalah secebis peristiwa terkini yang berlaku dan melibatkan tanah suci umat Islam, daripada sekian banyak peristiwa yang telah, sedang dan bakal terjadi. Bumi yang disucikan ini telah melalui detik-detik kelam dan keemasannya dan kini kembali kelam di tangan entiti Yahudi.

Palestin Dahulu dan Kini

Sebelum Islam membuka wilayah Palestin, tanah ini berada di bawah kekuasaan Rom, sehingga boleh dikatakan agama rasminya adalah Kristian, berdasarkan anutan bangsa Rom. Kemudian, Palestin menjadi salah satu wilayah umat Islam, dengan berundurnya Rom selepas kekalahan pada perang Yarmuk dan Ajnadin. Wilayah Palestin yang merupakan sebahagian daripada Syam dibebaskan oleh panglima perang Abu Ubaidah Al-Jarrah. Al-Quds yang ketika itu dipanggil Iliya, didatangi sendiri oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a, demi memudahkan urusan kaum Muslimin yang telah lama mengepung kota tersebut. Sikap tegas, tawaduk dan rendah diri Umar r.a menjadikan penduduk Iliya tertarik dan dengan senang hati untuk menyerahkan kepemimpinan kepada Khilafah Islam. Maka, jadilah kota suci Baitul Maqdis sebagai tanah Umat Islam.

Seterusnya, Palestin bernaung di bawah pemerintahan Khilafah Umawiyyah, dan Khilafah Abbasiyah. Namun, kekuasaan Khilafah Abbasiyah terhadap kota ini tercabut dengan peristiwa Perang Salib pada tahun 1099M. Perang “suci” ini telah mengorbankan puluhan ribu umat Islam di tangan tentera yang kehausan darah dan penuh dendam. Palestin sekali lagi berubah menjadi darul (negeri) kufur di tangan para penguasa salib. Hampir seratus tahun Baitul Maqdis dijajah sebelum Allah menjulangkan kemenangan umat Islam di bawah pimpinan seorang panglima perang yang agung, Salahuddin Al-Ayyubi. Dengan kemenangan ini, tidak ada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan umat Islam bahkan bagi yang bukan Muslim sekalipun, melainkan kesyukuran yang mendalam. Sekali lagi, Baitul Maqdis merasai kesejahteraan di bawah naungan Islam.

Selepas bertukarnya Kekhilafahan Abbasiyah kepada Uthmaniyah, wilayah Syam (yang mana Palestin merupakan sebahagian daripadanya) dijaga dan dipimpin oleh para sultan yang menjadi khalifah umat Islam. Tetapi keinginan golongan Yahudi terhadap tanah Palestin membawa kepada pengakhiran yang memilukan. Kekalahan Khilafah Uthmaniyah pada Perang Dunia Pertama, seterusnya perjanjian Sykes-Picot pada 1916, membawa kepada Deklarasi Balfour 1917, yang dinamakan bersempena nama Menteri Luar Britain ketika itu, Arthur James Balfour yang menjanjikan tanah Palestin bagi orang Yahudi. Keruntuhan khilafah pada 1924, memudahkan cita-cita gerakan zionis dan akhirnya pada 1948, berdirilah negara haram entiti Yahudi secara rasmi. Sempadannya juga berkembang dari hari ke hari. Baitul Maqdis akhirnya menjadi kota yang didominasi oleh entiti Yahudi, sekalipun masih memberikan ruang ibadah untuk penduduk agama-agama lain termasuk Islam.

Secara aktualnya, Baitul Maqdis atau Jerusalem masa kini menjadi kota terpenting bagi entiti Yahudi walaupun pemerintahan moden mereka berpusat di Tel Aviv. Ini boleh dilihat melalui kawalan keselamatan, pencerobohan berkala tentera mereka ke dalam masjid, dan undang-undang pentadbiran serta permit lawatan yang dikenakan oleh entiti Yahudi. Tidak ada yang luar biasa dengan pemindahan pusat pemerintahan mereka melainkan manifestasi kekuasaan penjajahan entiti Yahudi yang didukung oleh kuasa besar khususnya Amerika Syarikat.

Baitul Maqdis dan Nilainya Kepada Umat Islam

Sesungguhnya Baitul Maqdis merupakan bumi yang diberkati. Tanah ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan umat Islam, bukan sekadar romantisme atau nilai sentimental. Tetapi ianya adalah hubungan yang berasaskan pada akidah, syariah dan persaudaraan. Hal ini boleh dilihat dari pelbagai aspek.

Pertama, Israk dan Mikraj Rasulullah SAW berlaku di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis. Rasulullah SAW diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa, kemudian dibawa naik ke langit. Ini termaktub dalam firman Allah SWT:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (TQ Surah Al-Israk :1)

Kedua, Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam dan terletak di Baitul Maqdis. Bahkan selepas syariat solat diturunkan, kiblat umat Islam masih lagi mengarah ke Masjid Al-Aqsa sebelum diperintahkan untuk mengadap Masjidil Haram di Mekah.

Ketiga, Baitul Maqdis juga merupakan tanah suci ketiga umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Sabda Rasulullah SAW:

Janganlah kalian berniat untuk bepergian (secara khusus) kecuali ke tiga masjid: Masjid ini (Masjid Nabawi), Masjidil Haram, dan Masjid Al-Aqsha. (Hadis Riwayat Muslim dan At-Tirmidzi).

Solat di dalam Masjid Al-Aqsa juga lebih afdal berbanding tempat lain, kecuali di dua tanah haram. Ini seperti termaktub dalam hadis yang berbunyi:

“Solat di dalam Masjidil Haram seratus ribu kali ganda, di Masjidku seribu kali ganda dan di Baitul Maqdis lima ratus kali ganda”. (Hadis Riwayat Baihaqi)

Keempat, Baitul Maqdis adalah tanah umat Islam, dan hubungan umat Islam pula diikat dengan persaudaraan akidah yang satu. Dari sudut sejarahnya, tanah ini telah bernaung di bawah pemerintahan Islam selama berbelas abad. Secara politiknya kini, Baitul Maqdis telah menjadi wilayah terjajah oleh kuasa imperialis yang mana ia menuntut pembebasan melalui jalan jihad oleh umat Islam. Jadi, tanggungjawab tersebut terletak di atas bahu umat Islam dan sudah pasti ia tidak akan dipikul oleh Liga Arab yang ditubuhkan atas dasar nasionalisme dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya menjadi alat kepentingan kuasa-kuasa besar kuffar yang sentiasa memusuhi Islam. Sementara hal ini tidak dapat dilaksanakan tanpa adanya kekuasaan Islam yang dipimpin oleh seorang Khalifah sepertimana yang telah terjadi sebelum ini.

Bisyarah, Khilafah Akan Menaungi Baitul Maqdis

Kalau dibicarakan kepentingan masa akan datang Baitul Maqdis, kita tidak akan lepas daripada membaca khabar gembira daripada Nabi SAW tentang bumi Syam secara umum dan hadis berkenaan nasib Baitul Maqdis secara khusus. Sebelumnya, di dalam Al-Quran pula, tercerakin kisah Yahudi yang berkhianat dan membuat kerosakan di atas muka bumi, dan kisah-kisah mereka yang telah berlaku dan balasan kejahatan mereka yang bakal berlaku suatu masa nanti. Surah Al-Israk dari ayat 4-8 menceritakan hal tersebut, dan diterangkan bahawa, setiap kali mereka melakukan kejahatan, Allah SWT mendatangkan tenteraNya yang akan menghancurkan kekuatan mereka. Di dalam ayat kelapan Allah SWT menjelaskan:

Jika kalian kembali (melakukan kerosakan) maka Kami akan kembali mengazab kalian (TQ Surah Al-Israk :8).

As-Syahid Sayid Qutub Rahimahullah mengomentari perilaku Yahudi moden masa kini berkenaan ayat 8 di atas dalam karyanya Fi Zhilal Al-Quran:

“Pada hari ini pula, mereka (Yahudi) kembali melakukan kerosakan dalam bentuk negara “Israel” yang telah menimpakan pelbagai kecelakaan ke atas orang-orang Arab yang menjadi penduduk Palestin, dan sudah tentu Allah akan membangkitkan satu kaum yang akan bertindak menimpakan ke atas mereka azab keseksaan yang dahsyat tepat dengan janji Allah yang tegas dan pasti akan terjadi. Sesungguhnya, hari esok amatlah dekat kepada yang menunggunya.”

Ternyata, balasan kepada kejahatan Yahudi pasti akan tiba, dan sudah pasti dengan kekuasaan dan kekuatan. Kekuasaan itu jugalah yang akan menaungi Baitul Maqdis dan kemudiannya bakal menjadi pusat negara Islam. Rasulullah SAW di dalam khabarnya telah menyampaikan beberapa hadis berkaitan kekuasan Islam di Baitul Maqdis.

Pertama adalah hadis-hadis yang terkait bumi Syam menjadi pusat negara Islam atau pujian ke atasnya secara umum seperti:

أَلاَ إِنَّ عُقْرَ دَارِ الْمُؤْمِنِينَ الشَّامُ

Ingatlah, ibu kota negeri orang-orang beriman adalah Syam (HR Ahmad, Ibnu Hibban dan Ibnu Asakir dalam Kanzul Ummal).

Ibnu Hibban menceritakan dalam kitab Shahîh Ahâdîs, bahwa asy-Syâm (daerah yang mencakupi Jordan, Syria, Palestin, Lubnan dan sebahagian daripada Iraq. Banyak hadis-hadis lain yang menyatakan Syam sebagai tempat beruntung, selamat, dan utama pada akhir zaman.

Kedua, tidak cukup dengan hadis-hadis bumi Syam yang luas, terdapat hadis yang memfokuskan wilayah Syam yang lebih khusus iaitu Baitul Maqdis atau Al-Quds. Antaranya hadis Ibnu Hawalah yang berbunyi:

لَتُفْتَحَنَّ لَكُمْ الشَّامُ ثُمَّ لَتُقْسَمَنَّ لَكُمْ كُنُوْزُ فَارِسِ وَالرُّوْمِ وَلَيَكُوْنَنَّ ِلأَحَدِكُمْ مِنَ الْمَالِ كَذَا وَكَذَا حَتَّى إِنَّ أَحَدَكُمْ لِيُعْطَى مِائَةَ دِيْنَارٍ فَيَتَسَخَطَهَا ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ عَلَى رَأْسِى فَقَالَ يَا اِبْنَ حَوَالَةَ إِذَا رَأَيْتَ الْخِلاَفَةَ قَدْ نَزَلَتِ اْلأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ فَقَدْ أَتَتْ الْزَلاَزِلُ وَالسَّلاَسِلُ وَاْلبَلاَبِلُ وَالْفِتَنُ وَاْلأُمُوْرُ اْلعِظاَمُ وَالسَّاعَةُ أَقْرَبُ إِلَى النَّاسِ مِنْ يَدِي هَذِهِ إِلَى رَأْسِكَ

“Sungguh Syam akan ditaklukkan untuk kalian. Kekayaan Parsi dan Rom akan diberi kepada kalian. Kemudian salah seorang daripada kalian akan memiliki harta begini dan begini hingga salah seorang akan diberi harta seratus dinar, tetapi ia marah kerananya.” Kemudian Baginda meletakkan tangannya di kepalaku dan bersabda, “Wahai Ibnu Hawalah, jika engkau telah melihat Khilafah turun ke tanah yang disucikan (Baitul Maqdis) maka akan datanglah saatnya banyaknya gempa bumi, musibah, fitnah dan perkara-perkara besar. Ketika itu kiamat lebih dekat dengan manusia berbanding dekatnya tanganku ini dari kepalamu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Al-Thabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Al-Dhiya’).

Hadis ini menunjukkan khilafah yang muncul di Baitul Maqdis bukanlah ketika kekhilafahan Umar al-Khattab r.a. Hal ini kerana tidak terdapat gempa bumi yang mengikuti kekhilafahan Umar r.a. ketika dibukanya Baitul Maqdis. Peristiwa-peristiwa besar ini Insya Allah bakal berlaku pada waktu kekhilafahan yang kedua kalinya.

Walaupun terdapat hadis-hadis lain, dua hadis yang disebutkan sudah mencukupi untuk memberikan kita harapan, dan meneguhkan kita di atas usaha menegakkan khilafah. Kerana sudah menjadi sunnatullah, setiap akibat terhasil daripada sebab. Kewujudan Khilafah Rasyidah buat kali keduanya bukanlah perkara luar biasa atau silap mata yang dianugerahkan dari langit semata-mata. Khilafah kedua kalinya adalah bentuk pertolongan Allah, dan Allah akan menolong hambaNya yang menolong agamaNya. Maka bergembiralah kaum mukmin dengan pertolongan tersebut.