Bakal Bekas Perdana Menteri Malaysia Memperkatakan Isu Penyatuan Barat dan Islam
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa dunia Islam dan Barat mengalihkan fokus kepada perkara yang boleh menyatukan mereka agar jurang yang wujud selama ini dapat di atasi. Perdana Menteri berkata, daripada hanya menumpukan kepada soal perbezaan, pemimpin dari kedua-dua dunia itu sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu-isu yang dapat menyatukan mereka.
“Agak jelas kepada saya bahawa dalam mendamaikan Amerika Syarikat (AS) atau Barat dengan dunia Islam kita tidak seharusnya melihat kepada penyelesaian terhadap perkara yang menjadi jurang sahaja sebaliknya ia perlu turut melibatkan faktor-faktor yang menyatukan. “Dengan hanya menyelesaikan satu isu dan mengabaikan isu yang satu lagi tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Serantau Amerika Syarikat (AS) dan Dunia Islam di sini hari ini.
Forum dua hari bermula hari ini yang dihadiri kira-kira 100 peserta dari dalam dan luar negara itu bertujuan membincangkan isu-isu yang relevan antara kedua-dua dunia. Sementara itu, Abdullah berkata, dunia Barat dan Islam seharusnya cuba berkongsi aspek yang menjadi persamaan bagi menjadikan usaha merapatkan jurang lebih efektif. “Kita perlu fokus pada banyak prinsip dan perkara yang menjadi kepentingan bersama. “Kita mesti elakkan kecenderungan untuk berfikir yang kita merupakan satu-satunya penjaga kepada apa yang baik, manakala lainnya tinggal di dunia yang gelap dan sengsara,” tegasnya. Abdullah berkata, sebagai contoh, walaupun daripada segi sejarah, penduduk Islam di Asia Tenggara pernah dijajah oleh kuasa Barat namun mereka menerima keadaan pada masa lalu itu dengan hati terbuka. “Apabila kita nilai keadaan hubungan antara negara penduduk majoriti Islam di Asia Tenggara dengan AS dan negara Barat yang lain pada hari ini, kita kurang dibebani jurang itu sebaliknya menjalin hubungan yang baik dengan mereka. “Ini dapat dilihat bagaimana AS dan Eropah merupakan antara rakan dagang dan pelabur paling penting bagi Indonesia, Malaysia dan Brunei,” katanya. Kata Abdullah, jurang antara dua dunia ini sebenarnya lebih terarah kepada faktor politik dan bukannya kerana agama. “Sebahagian besar disebabkan faktor politik, seperti isu Palestin dan pencerobohan di Iraq, yang kekal menjadi duri bagi hubungan kedua-dua pihak selagi ia berlarutan,” ujarnya. [Sumber : Utusan Malaysia ]
Perbezaan Doktrin Antara Barat dan Islam
Inilah di antara kelemahan ketara pemimpin umat Islam dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan atau isu, kita sering sahaja ingin mengajak serigala yang lapar dan buas itu untuk ke meja perundingan, melupakan segala kejahatan yang mereka lakukan dengan membuang sahaja ‘persengkataan’ itu. Al-Quran sendiri mengingatkan kita tentang sikap orang kafir ini;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka. Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar.” Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.” [TMQ Surah Al-Baqarah (2):120]
Jadi dengan kata lainnya kalau kita inginkan ‘penyatuan’ dunia seperti yang diimpikan oleh Barat, maka kita mestilah memeluk cara hidup mereka, itulah persamaannya. Tidak ada persamaan yang dapat dicari dalam dua ideologi yang berlainan, kerana asasnya berbeza. Islam yang sistem dan peraturan Illahi di atas segala-galanya, hadharah dan cara hidup (life style) yang tersendiri. Sedangkan Barat mengagungkan kebebasan manusia dan hadharahnya (budaya kuning) yang jelas berlainan sekali dengan Islam. Bagaimana mungkin dua ideologi (Islam dan kufur) ini bersatu apabila wahyu sendiri menyatakan sebaliknya?
Peperangan Barat Terhadap Islam kerana Aqidah Mereka
Syed Qutub pernah berkata, itulah kompleks jiwa mereka yang berterusan yang dapat kita lihat buktinya di setiap zaman dan tempat. Akidahlah yang menjadi persoalan utama. Dari dulu hingga sekarang, itulah hakikat pertarungan yang dilancarkan oleh kaum Yahudi dan Nasara di mana-mana negeri dan pada mana-mana waktu terhadap kaum Muslimin. Kenapa Barat menyerang Iraq dan Afghanistan, itu adalah kerana faktor akidah (agama) mereka iaitu cara hidup kapitalis yang mereka anuti berasaskan ‘kepentingan’ yang menjadikan mereka tamak untuk menguasai segala sumber yang ada.
Mereka tahu jika isu doktrin (aqidah) ditonjolkan untuk memerangi kaum Muslimin maka ini akan mencetuskan dan menaikkan semangat jihad kaum Muslimin, jadi mereka menamakan peperangan mereka adalah peperangan atas nama tanah air, ekonomi, politik, mempertahankan kedudukan-kedudukan yang strategik dan sebagainya. Mereka ini kemudian menipu umat Islam dengan kata-kata yang manis bahawa mereka berperang bukan faktor agama, tapi faktor lain seperti memerangi keganasan, diktator, mengambil semula tanah mereka yang dirampas dan sebagainya. Pemimpin umat Islam yang cetek akal pula dengan mudah tertipu oleh kata-kata Barat.
Umat Islam yang memiliki pemikiran yang sederhana sekalipun boleh memahami penipuan Barat ini, sebaliknya para pemimpin boleh tertipu dan keliru dengan penyatuan tajaan Barat. Kalau Barat ingin berdamai dan jujur berdamai kenapa mereka tidak membebaskan dulu bumi Palestin, Iraq dan Afghanistan, dan membayar wang diyat ke atas kematian lebih dari 2 juta umat Islam di sana? Kenapa dalam mereka mengajak berdamai dengan umat Islam mereka tetap menghina Nabi kita, ibu kita (Aisyah ra), kononnya atas dasar kebebasan bersuara dengan bahan seperti kartun, filem pendek dan buku seperti The Jewel of Medina? Tidakkah mereka menghina Islam atas dasar aqidah mereka? Sekarang Pak Lah nak mengajak Barat meninggalkan faktor agama dan merujuk kepada faktor politik, sungguh naïf pemikiran sedemikian!
Tidakkah yang lebih aula kepada kaum Muslimin mewujudkan balik institusi politiknya dengan mendirikan semula Khilafah di mana seluruh dunia Islam disatukan untuk melawan propaganda jahat kuffar ini dan seterusnya Khalifah nanti akan melancarkan dakwah dan jihad ke atas mereka, sehingga bumi Allah ini diliputi rahmat dan berkat?