BANGGA UNTUK APA?

Vienna BoysKUALA LUMPUR 30 Nov. – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia apabila terpilih menjadi ahli kumpulan koir tersohor, Vienna Boys di Austria.

Amir Adrian Amir Hamzah dipilih menyertai kumpulan koir tersebut selepas menjalani beberapa ujian yang ketat.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, dengan pemilihan tersebut, Amir Adrian menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjadi ahli kumpulan koir tersohor dunia itu.

Sehubungan itu katanya, Amir Adrian akan mengikuti pengajian empat tahun di Augarten Palace Vienna iaitu institusi pengajian yang khusus untuk melatih kumpulan koir tersebut. “Saya benar-benar bangga dengan pencapaian Amir (Adrian),” katanya pada sidang akhbar pelancaran Festival Kesenian Kanak-kanak Antarabangsa dan Ekspo Permata di sini, hari ini. Turut hadir isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani Pada majlis itu, Rosmah juga menyampaikan cek kepada balu pegawai sukan, Allahyarham Harun Osman yang meninggal dunia di Palembang ketika Sukan SEA baru-baru ini.

Sementara itu, bapa kepada Amir Adrian, Amir Hamzah Shamsuddin, 44, berkata, bakat anak pertamanya daripada tiga beradik itu terserlah sejak dia berusia lima tahun lagi. Menurutnya, selain bakat berkoir, Amir Adrian juga pandai bermain piano. “Dia pernah ke Austria untuk menduduki ujian bagi membolehkan dia dipilih menyertai kumpulan tersebut pada awal tahun ini tetapi gagal. “Dia tidak putus asa, malah sekali lagi menduduki ujian saringan yang diadakan di Malaysia beberapa minggu lepas dan dia terpilih,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia 1/12/2011
 

KAEDAH BERFIKIR BARAT MASIH KUAT MENGHANTUI SEBAHAGIAN UMAT ISLAM
Nampaknya kesan serangan pemikiran barat ke atas kaum muslim masih menebal dan terus berpaksi di dalam benak pemimpin umat Islam di dalam semua aspek kehidupan. Apa yang dipaparkan di dalam berita di atas menggambarkan bertapa bangganya Penaung Permata Negara, yang juga isteri kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai kejayaan adik Amir Adrian Amir Hamzah (anak didik koir Permata), berusia 10 tahun yang dapat memasuki Vienna Boys Choir yang berpusat di Augarten Palace, Vienna, Austria.

Persoalannya adalah; kenapa kita perlu mengikut rentak atau acuan yang direka oleh barat. Dan seolah-olah kita perlu meletakkan nilai, budaya serta kehidupan barat sesuatu yang mesti dibanggakan dan mesti diteladani dan diikuti supaya kita nampak maju dan diiktiraf bertamadun.

Firman Allah dalam surah Al Maidah (5) ayat ke 49 :

Dan hendaklah engkau memutuskan perkara diantara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikut keinginan mereka. Dan waspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling ( dari hukum yang telah diturunkan oleh Allah), maka ketahuilah sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik

Akidah islam membentuk tsaqafah dan tariqah yang akan membangun tamadun islam itu sendiri tanpa perlu merujuk selain daripada Islam. Nampaknya usaha menghantar adik Amir Adrian Amir Hamzah untuk belajar koir di Austria tentu akan memberi pengaruh dan impak yang besar dalam kehidupannya. Sebagai seorang kanak-kanak yang masih muda dia bukan sahaja akan belajar koir, bahkan ia akan terdedah kepada pemikiran, nilai, budaya dan cara hidup barat.

Sedangkan Islam telah menegaskan peranan ibu bapa dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka daripada usia muda semenjak bayi lagi. Sabda Rusullah S.A.W

“ Setiap bayi yang dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka ibu-bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikanya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”.

Wahai kaum muslimin, Allah menjanjikan kekuasaan dan limpahan rahmatnya jika kita beriman dan melaksanakan hukum-hakamnya secara kaffah. Ini telah terbukti pada zaman kegemilangan Islam yang mana Syariat Islam diterapkan selama hampir 1300 tahun dahulu tanpa perlu meniru nilai-nilai dan budaya barat. Ketinggian dan kemulian tamadun yang wujud pada masa itu, jika dibandingkan dengan Vienna Boys Choir adalah seumpama satu zarah air dibandingkan dengan segala isi lautan muka bumi ini.