Banjir: Lebih banyak cakap dari buat

Gambar UL 170315Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji kelemahan dan kekurangan dalam pengurusan banjir yang melanda negara pada Disember lepas. Bagaimanapun kerajaan akan mengkaji Peraturan Tetap Operasi (PGO), pengendalian bencana banjir dan Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan agensi kerajaan yang terlibat dalam bencana alam.

Mengulas isu yang sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyatakan bahawa kerajaan sedang melihat kemungkinan untuk mewujudkan struktur baharu dalam pengurusan bencana serta undang-undang khas bagi membolehkan isu bencana diuruskan dengan teratur dan tersusun. Ketika ini semua perkara berkaitan bencana adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia aspek keselamatan, tetapi bidang tugas MKN menjadi terlalu banyak ketika bencana berlaku, jelasnya.

Inilah sikap pemimpin Malaysia setelah lebih 3 bulan bencana berlaku. Sudahlah tidak mahu mengaku segala kesalahan dan kelemahan, sampai sekarang masih terkial-kial untuk mewujudkan kaedah baru dalam menangani bencana. Cakap sudah bermacam-macam-macam, cadangan sudah berlori-lori, tapi tindakan ketara masih tak nampak dan penyelesaian tuntas masih tak kunjung tiba.

Islam mengajar bahawa pemimpin itu adalah pemelihara/penjaga rakyat, tetapi semua orang tahu yang pemimpin hari ini lebih menjaga kepentingan sendiri berbanding rakyat. Kejadian banjir besar yang melanda Kelantan hujung tahun lalu membuktikan betapa pemimpin membiarkan rakyat dalam kesusahan dan ternyata sehingga kini, penderitaan mangsa banjir masih belum berakhir.

Pengkhianatan terhadap amanah dan birokrasi menjadi halangan utama dalam kes banjir di Kelantan. Pemimpin yang amanah pastinya akan menjalankan tanggungjawab dengan baik, apatah lagi di kala rakyat sedang menghadapi bencana dengan kekurangan kesemua keperluan hidup, tetapi tatkala itulah kelibat pemimpin tidak kelihatan.

Dan sampai sekarang rakyat, khususnya mangsa banjir masih marah dan kecewa dengan kerajaan yang tidak mengerahkan tentera, polis, pertahanan awam dan banyak lagi jabatan lainnya untuk membantu mereka semasa banjir walhal hal itu boleh dilakukan dengan mudah. Tiba-tiba kini, kerajaan menjadikan kesibukan MKN sebagai alasan. Dalam suasana darurat seperti itu, siapakah yang suruh kerajaan bergantung hanya kepada MKN, padahal banyak agensi kerajaan lainnya yang boleh dikerahkan tetapi sengaja tidak dikerahkan?

Berilah macam-macam alasan wahai mereka yang memegang kekuasaan, rakyat sudah semakin sedar dengan sikap kamu. Akan tiba satu masa sebelum Allah membalas lagi segala pengkhianatan yang kamu lakukan, rakyat terlebih dahulu akan membalasnya. Sesungguhnya kekuasaan itu ada di tangan umat (al-sulthan li al-ummah) dan umatlah yang akan memberinya kepada siapa yang mereka mahu. Apabila umat ini sedar siapakah orang yang sebenarnya layak memegang kekuasaan dan menjadi penjaga mereka, maka pada waktu itu, umat ini akan membuat pilihan yang benar.

Sumber: utusan.com.myutusan.com.my