Banjir: Sejauh mana kerajaan “caretaker” akan take care?

Setelah pembubaran parlimen, Malaysia sekarang sedang ditadbir oleh kerajaan sementara atau lebih dikenali sebagai caretaker government, yang hakikatnya ia adalah kerajaan sedia ada tanpa ada perubahan sedikit pun.

Di sebalik rungutan dan kecaman rakyat terhadap keputusan UMNO untuk membubarkan parlimen di musim tengkujuh, parti Melayu terbesar itu langsung tidak mengendahkannya.

Antara sebab utama bantahan dan kerisauan rakyat ialah kerana banjir besar yang diramal akan berlaku bermula pertengahan November ini sehingga Mac tahun depan.

Rakyat telah menyaksikan kegagalan kerajaan dalam menangani banjir sejak sekian lama, termasuk semasa banjir besar yang melanda beberapa daerah di Selangor Disember tahun lepas, dia ia merupakan sebuah kegagalan yang fatal.

Banjir tersebut menyaksikan kemusnahan harta benda yang begitu banyak termasuklah kehilangan nyawa akibat kecuaian kerajaan, dan kecuaian itu berlaku sebelum, semasa dan juga sesudah banjir!

Baik banjir di musim tengkujuh mahupun banjir kilat, rakyat sentiasa menyaksikan kegagalan kerajaan secara berulang-ulang, padahal fenomena banjir di Malaysia bukanlah suatu yang baru, malah sudah terjadi sejak puluhan tahun.

Melihat kepada kepentingan peribadi dan kerakusan kuasa oleh parti pemerintah untuk mengadakan PRU di musim tengkujuh ini, maka tidak mustahil rakyat akan mengalami nasib malang yang sama jika benar-benar berlaku banjir besar kali ini.

Jika semasa menjadi kerajaan pun, caretaker government ini telah terbukti cuai dalam mengambil peduli urusan rakyat, apa jaminan yang ada bahawa mereka akan “take care” urusan rakyat dalam banjir kali ini?

Mereka lupa bahawa rakyat boleh “menghukum” mereka, dan jauh lebih dahsyat daripada itu, mereka lupa yang Allah akan menghukum mereka atas kelalaian mereka itu.

Wallahu a’lam.