Bantah Kezaliman Rejim China: Solidariti Umat bersama Uighur

Umat Islam wajib bertindak membantah kezaliman yang diperlakukan ke atas Muslim Uighur oleh rejim komunis China. Sehingga kini, jutaan umat Islam ditahan dan berdepan dengan seksaan di kem-kem “pendidikan semula” yang dibina khusus bagi memastikan mereka tunduk kepada doktrin komunis. Komuniti Muslim Uighur turut dipantau serta dinafikan sebahagian hak untuk menjalani kehidupan sebagai Muslim di tanah air sendiri.

Malangnya, kemelut yang melanda Muslim Uighur seolah-olah tidak dipedulikan dunia, termasuklah dalam kalangan penguasa Muslimin. Mereka seolah-olah memandang sepi kekejaman rejim Komunis China semata-mata demi mengejar manfaat yang ingin diraih daripada kerjasama perdagangan dengan negara komunis tersebut.

Atas dasar itu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) menganjurkan kempen Solidariti Umat Islam bersama Uighur bagi meningkatkan kesedaran mengenai kebersamaan kita dengan Muslim Uighur yang disatukan atas dasar aqidah Islamiyah. Di samping itu, kempen ini juga bertujuan untuk mendesak agar pihak kerajaan Malaysia mengambil tindakan tuntas bagi menekan rejim komunis China agar menamatkan segala bentuk penindasan  terhadap Muslim Uighur. Kebiadapan rejim komunis wajib ditamatkan, dan tidak selayaknya kita menyambut mesra dan menjalin hubungan dengan rejim yang menindas saudara seakidah kita.

Bersempena kempen ini, HTM telah menganjurkan siri seruan di beberapa buah masjid di seluruh negara dan mengumpulkan tandatangan umat Islam sebagai tanda solidariti setelah solat Jumaat semalam.