Bantahan awal: Cubaan Mufti dan pihak berkuasa agama untuk tidak teruskan kes
SHAH ALAM 25 Jan – Mahkamah Tinggi Syariah hari ini membenarkan Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid dan dua lagi Responden, Jawatankuasa Fatwa Selangor (JFS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memfailkan bantahan awal (preliminary objection) terhadap permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Review) yang difailkan oleh Hizbut Tahrir pada November lepas. Pada tarikh sebutan terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), melalui peguam mereka, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, telah memohon perkara yang sama, yang juga dibenarkan oleh mahkamah.
Dalam permohonan lisannya ke mahkamah, peguam syarie, Pn Wan Aizaa Wan Abdullah, yang mewakili Mufti Selangor, JFS dan JAIS, memberikan lima alasan untuk memohon bantahan awal yang antara lain adalah kerana mahkamah tidak ada bidangkuasa untuk mendengar kes semakan ini, Tamyes tidak mempunyai locus standi untuk dijadikan Responden dan JFS tidak mempunyai legal entity (badan yang sah) untuk disaman.
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman sebagai pemohon yang mewakili Hizbut Tahrir dalam kes ini, meminta mahkamah untuk mengenepikan permintaan Responden, tetapi ditolak oleh mahkamah. Dalam penghujahan lisannya ke mahkamah, Abdul Hakim menjelaskan bahawa bantahan awal yang cuba difailkan oleh Responden-responden hanyalah usaha pihak Responden supaya permohonan Semakan Kehakiman tidak berjalan, dan akan hanya melengahkan masa mahkamah pada perkara yang tidak sepatutnya.
“Persoalan asal dalam kes ini ialah tentang kedudukan fatwa yang dikeluarkan pihak Responden yang menyesatkan Hizbut Tahrir, persoalan inilah yang perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah. Mereka telah menyesatkan Hizbut Tahrir dan ini merupakan satu persoalan akidah yang sangat penting yang perlu diselesaikan. Bantahan awal ini, yang merupakan cubaan Responden agar permohanan asal tidak didengar oleh mahkamah, membuktikan yang pihak Responden tidak serius dalam menangani masalah akidah”, tegas Abdul Hakim yang tidak diwakili oleh peguam.
“Selain itu, bantahan awal ini hanyalah akan membuang masa mahkamah kerana ia melibatkan persoalan teknikal undang-undang yang sejati, yang sepatutnya boleh dielakkan”, ujar Jurucakap HTM itu kepada mahkamah. “Kita sepatutnya fokus kepada masalah fatwa, bukannya kepada masalah teknikal undang-undang yang hanya akan melengahkan masa mahkamah,” tegas beliau kepada mahkamah.
Bercakap kepada media di luar mahkamah, Abdul Hakim mengungkapkan kekecewaannya terhadap permohonan bantahan awal tersebut, kerana ia menunjukkan usaha pihak Responden agar permohonan Semakan Kehakiman tidak didengar oleh mahkamah. “Jika mereka menang dalam bantahan awal, ini bermakna saya tidak mempunyai locus standi, Mufti pula tidak boleh dijadikan Responden, JFS tidak ada legal entity, manakala mahkamah pula tidak ada bidangkuasa mendengar kes. Jadi, kesemua pihak tadi seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan undang-undang dan tiada apa-apa lagi yang saya dapat lakukan kerana pintu mahkamah pun turut tertutup. Di mana letaknya keadilan kalau begitu?”, soal Jurucakap HTM itu.
“Apa pun, kita (HTM) tunggu permohonan mereka dan kita akan jawab”, jelas Abdul Hakim di akhir sidang media.
Mahkamah menetapkan 24 Februari untuk kesemua Responden memfailkan bantahan dan 24 Mac untuk HTM menjawabnya, manakala 25 April ditetapkan untuk penghujahan daripada kedua-dua pihak.