Bantahan Fatwa Johor – 4.1d

Muat turun PDF
Isi kandungan

(d) Hidayah dan dholal bukan dari Allah tetapi dari manusia (al-Nabhani: al-Shaksiah al-Islamiyyah jilid 1, cetakan keenam, tahun 2003, halaman: 98).

Pada Butiran ini, JFNJ sekali lagi telah memetik dan menyebut secebis daripada pembahasan yang terdapat dalam kitab asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jilid 1 tersebut, lalu memasukkannya ke dalam fatwa dalam bentuk yang sengaja memberi kefahamanan yang salah kepada umat Islam mengenai apa yang dibincangkan oleh Hizbut Tahrir. Sekali lagi kami ingin menyatakan kehairanan kami dengan apa yang diungkapkan oleh JFNJ melalui Butiran ini, kerana apa yang dibincangkan dalam bab al-Huda wa adh-Dhalal  (Petunjuk dan Kesesatan) itu amat jelas dan mudah untuk difahami bagi setiap orang yang membacanya, kecuali bagi mereka yang ada penyakit di dalam hatinya.

Kami akui bahawa memang pada muka surat 98 dalam kitab tersebut disebutkan:

فتعليق المثوبة أو العقوبة بالهدى والضلال يدل على أن الهداية والضلال هما من فعل الإنسان وليس من الله.

Dikaitkan pahala dan seksa dengan petunjuk dan kesesatan menjadi dalil bahawa petunjuk dan kesesatan itu kedua-duanya termasuk perbuatan manusia dan bukan datang dari Allah.

Namun, perenggan yang selengkapnya adalah seperti berikut:

Terjemahan:

Petunjuk (al-huda) menurut makna bahasa sama dengan ar-rasyad (petunjuk) dan ad-dilalah (petunjuk). Orang sering mengatakan hudaahu liddin (dia menunjukkan kepada petunjuk) atau hadaituhu ath-thariiqi wa al-baiti hidaayatan ‘arraftuhu (aku menunjukinya jalan dan rumah sesuai dengan petunjuk yang telah aku ketahui). Sedangkan kesesatan (adl-dhalal) adalah pembalikan dari ar-rasyad (petunjuk). Manakala makna hidayah menurut syarak adalah mendapat petunjuk dari Islam dan beriman dengannya. Sementara makna dhalal menurut syarak adalah menyimpang dari Islam, sebagaimana sabda Rasulullah (saw) “Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku dalam kesesatan” (Dikeluarkan oleh Ahmad). Allah (swt) menjadikan syurga untuk orang-orang yang mendapat petunjuk, manakala neraka untuk orang-orang yang sesat. Ertinya, Allah memberi pahala kepada orang-orang yang memperoleh petunjuk dan menyeksa orang-orang yang sesat. Sekiranya petunjuk dan kesesatan itu dari Allah, maka Dia tidak memberi pahala terhadap petunjuk dan tidak menyeksa terhadap kesesatan, kerana hal tersebut akan menisbahkan kezaliman kepada-Nya, kerana ketika Dia menyeksa orang yang disesatkannya, maka Dia benar-benar telah menzaliminya, Maha Luhur Allah dari hal yang demikian. Firman-Nya, “Dan Tuhanmu tidak menzalimi hamba-hamba-Nya” [Fushshilat (41): 46], dan firman-Nya, “Dan Aku tidak menzalimi hamba-hambaKu” [Qaaf (50): 29].

Selanjutnya Hizbut Tahrir menjelaskan bahawa terdapat ayat-ayat yang menunjukkan penisbahan petunjuk dan kesesatan itu kepada Allah (swt), sehingga dapat difahami dari ayat-ayat tersebut bahawa petunjuk dan kesesatan bukanlah dari hamba melainkan dari Allah (swt). Dalam pada itu, ada pula ayat-ayat lain yang menunjukkan penisbahan petunjuk dan kesesatan itu kepada hamba (manusia) sehingga dapat difahami dari ayat-ayat tersebut bahawa petunjuk dan kesesatan adalah dari hamba. Oleh kerana kenyataannya sedemikian, maka ayat-ayat dalam kategori pertama dan kategori kedua hendaklah difahami dengan pemahaman yang syarie iaitu dengan memahami hakikat penetapan yang telah disyariatkan.

Dengan penelitian dan pemahaman yang benar, tampak jelas bahawa penisbahan petunjuk dan kesesatan kepada Allah (swt) itu memiliki pengertian yang berbeza dengan pengertian penisbahan petunjuk dan kesesatan kepada hamba. Masing-masing dari keduanya menguasai sisi yang berbeza dengan sisi yang dikuasai oleh yang lain.

Bagi mereka yang ikhlas membaca kitab tersebut dan ingin mencari kebenaran, mereka akan tahu bahawa perbincangannya bukan hanya sampai di situ. Hizbut Tahrir seterusnya memberikan sederet dalil daripada al-Quran, baik dalil-dalil yang menunjukkan penisbahan petunjuk dan kesesatan kepada Allah (yang memberi pengertian bahawa petunjuk dan kesesatan itu bukan dari hamba, tetapi dari Allah semata-mata), mahu pun dalil-dalil yang menunjukkan penisbahan petunjuk dan kesesatan kepada hamba (yang memberi pengertian bahawa petunjuk dan kesesatan itu datangnya dari hamba, bukan dari Allah). Kesemua dalil ini dianalisis dan dibahas oleh Syeikh Taqiyuddin (rahimahullah) selaku penulis kitab tersebut, sehingga sampai kepada satu kesimpulan dan natijah yang sangat jernih dalam memahami persoalan petunjuk dan kesesatan dan dalam memahami ayat-ayat al-Quran yang dilihat sebagai berlawanan, tetapi hakikatnya tidak berlawanan. Berikut adalah dalil-dalil yang menunjukkan penisbahan petunjuk dan kesesatan kepada Allah:

﴿ قُلْ إِنَّ اللَّهَ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَنْ أَنَابَ ﴾

“Katakanlah: “Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan menunjuki orang-orang yang bertaubat kepada-Nya”“ [Ar-Ra’d (13): 27]

 ﴿ فَإِنَّ اللَّهَ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ﴾

“Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya” [Fatir (35): 8]

 ﴿ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ﴾

“Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki” [Ibrahim (14): 4]

 ﴿ وَلَكِنْ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ﴾

“Tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya” [An-Nahl (16): 93]

 ﴿ فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإِسْلاَمِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقاً حَرَجاً كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ﴾

“Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit” [Al-An’am (6): 125]

 ﴿ مَنْ يَشَإِ اللَّهُ يُضْلِلْهُ وَمَنْ يَشَأْ يَجْعَلْهُ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ ﴾

“Barangsiapa yang dikehendaki Allah (kesesatannya), nescaya disesatkan-Nya. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah (untuk diberi-Nya petunjuk), nescaya Dia menjadikan-Nya berada di atas jalan yang lurus” [Al-An’am (6): 39]

 ﴿ قُلِ اللَّهُ يَهْدِي لِلْحَقِّ ﴾

“Katakanlah ‘Allah-lah yang menunjuki kepada kebenaran’” [Yunus (10): 35]

 ﴿ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلاَ أَنْ هَدَانَا اللَّهُ ﴾

“Dan mereka berkata: ‘Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (syurga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk’” [Al-A’raf (7): 43]

 ﴿ مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُرْشِدًا ﴾

“Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.” [Al-Kahfi (18): 17]

 ﴿ إِنَّكَ لاَ تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ﴾

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” [Al-Qasas (28): 56]

Syeikh Taqiyuddin (rahimahullah) menjelaskan bahawa manthuq (teks) kesemua ayat di atas menunjukkan dengan jelas bahawa yang memberi petunjuk dan kesesatan itu ialah Allah (swt), bukannya hamba (manusia). Ini bererti bahawa manusia tidak dapat memberi petunjuk untuk dirinya sendiri, tetapi ketika Allah (swt) memberinya petunjuk, maka ia mendapat petunjuk, dan ketika Allah menyesatkannya, maka ia tersesat.

Akan tetapi telah datang sejumlah qarinah (indikasi) yang memalingkan makna manthuq ayat-ayat tadi, dari menjadikan “pelaksanaan” petunjuk dan kesesatan itu daripada Allah (swt), kepada makna lain, iaitu menjadikan “penciptaan” petunjuk dan kesesatan itu daripada Allah (swt). Manakala yang “melaksanakan” petunjuk dan kesesatan, termasuk idhlal (penyesatan) itu adalah daripada hamba. Maksudnya, Allah-lah yang mencipta petunjuk dan kesesatan, dan manusialah yang mengusahakan dirinya untuk mendapat petunjuk dan kesesatan itu. Begitu juga, manusialah yang mengusahakan untuk menyampaikan petunjuk dan menyesatkan orang lain.

Dan sejumlah qarinah yang menunjukkan hal tersebut, ada yang bersifat syar’iyyah dan ada yang bersifat aqliyyah. Qarinah yang bersifat syar’iyyah diperolehi daripada banyak ayat yang menisbahkan petunjuk, kesesatan dan penyesatan kepada hamba (manusia). Antaranya:

 ﴿ فَمَنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ﴾

“Sebab itu barangsiapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya (petunjuk itu) untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang sesat, maka sesungguhnya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri” [Yunus (10): 108]

 ﴿ لاَ يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ﴾

“Tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk” [Al-Ma’idah (5): 105]

 ﴿ فَمَنِ اهْتَدَى فَلِنَفْسِهِ ﴾

“Siapa yang mendapat petunjuk maka (petunjuk itu) untuk dirinya sendiri” [Az-Zumar (39): 41]

 ﴿ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ ﴾

“Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” [Baqarah (2): 157]

 ﴿ وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا رَبَّنَا أَرِنَا الَّذَيْنِ أَضَلاَّنَا مِنْ الْجِنِّ وَالإِنْسِ ﴾

“Dan orang-orang kafir berkata: ‘Ya Rabb kami perlihatkanlah kepada kami dua jenis orang yang telah menyesatkan kami (iaitu) sebahagian dari jin dan manusia‘” [Fushshilat (41): 29]

 ﴿ قُلْ إِنْ ضَلَلْتُ فَإِنَّمَا أَضِلُّ عَلَى نَفْسِي ﴾

“Katakanlah: ‘Jika aku sesat maka sesungguhnya aku sesat atas kemudharatan diriku sendiri’” [Saba’ (34): 50]

 ﴿ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِباً لِيُضِلَّ النَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ ﴾

“Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia tanpa pengetahuan?” [Al-An’am (6): 144]

 ﴿ رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَنْ سَبِيلِكَ ﴾

“Ya Tuhan Kami akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau” [Yunus (10): 88]

 ﴿ وَمَا أَضَلَّنَا إِلاَّ الْمُجْرِمُونَ ﴾

“Dan tiadalah yang menyesatkan kami kecuali orang-orang yang berdosa”  [Asy-Syu’ara’ (26): 99]

 ﴿ وَأَضَلَّهُمْ السَّامِرِيُّ ﴾

“Dan mereka telah disesatkan oleh Samiri” [Taha (20): 85]

 ﴿رَبَّنَا هَؤُلاَءِ أَضَلُّونَا ﴾

“Ya Tuhan kami, mereka telah menyesatkan kami” [Al-A’raf (7): 38]

 ﴿وَدَّتْ طَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلاَّ أَنْفُسَهُمْ ﴾

“Segolongan dari Ahli Kitab ingin menyesatkan kamu, padahal mereka (sebenarnya) tidak menyesatkan melainkan diri mereka sendiri” [Ali ‘Imran (3): 69]

 ﴿ إِنَّكَ إِنْ تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ ﴾

“Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu” [Nuh (71): 27]

 ﴿مَنْ تَوَلاَّهُ فَأَنَّهُ يُضِلُّهُ وَيَهْدِيهِ إِلَى عَذَابِ السَّعِيرِ ﴾

“Barangsiapa yang berkawan dengannya, tentu dia akan menyesatkannya, dan membawanya ke azab neraka” [Al-Hajj (22): 4]

 ﴿وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ﴾

“Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka” [An-Nisa’ (4): 60]

Syeikh Taqiyuddin (rahimahullah) menjelaskan yang manthuq ayat-ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa manusia adalah pihak yang mengusahakan petunjuk dan kesesatan, lalu dengan usahanya itu, ia menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain, sama sebagaimana syaitan yang juga tersesat atas usahanya sendiri. Inilah penisbahan petunjuk dan kesesatan kepada manusia (dan juga kepada syaitan), yakni manusia mendapat hidayah kerana usahanya sendiri dan tersesat kerana usahanya sendiri.

Justeru, qarinah bahawa penisbahan petunjuk dan kesesatan kepada Allah (swt), itu bukanlah penisbahan yang bersifat langsung (mubasyarah), atau penisbahan “usaha/perbuatan”, akan tetapi penisbahan “penciptaan” (khalq). Dengan kata lain, Allah (swt) adalah Pencipta petunjuk dan kesesatan, sedangkan manusia adalah pihak yang mengusahakan untuk mendapatkannya.

Apabila kita merujuk dan membanding-bandingkan kesemua ayat yang berkenaan dengan petunjuk dan kesesatan, maka menjadi jelas dan jernih apa yang disebutkan oleh Hizbut Tahrir mengenai perkara ini. Jika kita menyusun sebahagian ayat dengan sebahagian (ayat) yang lain dan memahaminya dengan pemahaman yang bersifat tasyri’, maka jelas bagi kita adanya pemalingan masing-masing ayat tersebut kepada sisi yang lainnya. Contoh ayat:

﴿ قُلِ اللَّهُ يَهْدِي لِلْحَقِّ ﴾

“Katakanlah: ‘Allah-lah yang menunjuki kepada kebenaran’” [Yunus (10): 35].

dan ayat yang lain:

﴿  فَمَنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ ﴾

“Maka barang siapa mendapat petunjuk, maka ia hanya mendapat petunjuk bagi dirinya” [Yunus (10): 108].

Ayat yang pertama menunjukkan bahawa Allah-lah yang memberi petunjuk, sedangkan ayat yang kedua menunjukkan bahawa manusialah yang mendapatkan petunjuk. Hidayah Allah pada ayat

yang pertama adalah “penciptaan” hidayah pada diri manusia, maksudnya menjadikan kecenderungan untuk mendapatkan hidayah. Sementara pada ayat yang kedua menunjukkan bahawa manusialah yang menjadi pelaku secara langsung terhadap sesuatu yang diciptakan oleh Allah (swt), berupa kecenderungan untuk mendapatkan hidayah sehingga hidayah diperolehi. Kerana itu, Allah (swt) berfirman dalam ayat yang lain:

 ﴿ وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ ﴾

“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan” [Al-Balad (90): 10].

Iaitu jalan kebaikan dan jalan kejahatan. Maksudnya, Kami (Allah) menjadikan pada manusia kecenderungan untuk memperoleh hidayah dan Kami biarkan dia untuk memperoleh (mengusahakan untuk mendapatkan)nya sendiri. Ayat-ayat yang menisbahkan hidayah dan idhlal kepada manusia merupakan qarinah syar’iyyah yang menunjukkan pada pemalingan hidayah secara langsung daripada Allah (swt) kepada hamba.

Adapun dari segi qarinah aqliyyah, sesungguhnya Allah (swt) menghisab manusia sehingga Dia memberikan pahala kepada orang yang memperoleh hidayah dan menyeksa orang yang melakukan kesesatan serta menghisab perbuatan-perbuatan manusia. Mengenai qarinah aqliyyah yang boleh mengubah konotasi hidayah dan dhalalah yang langsung dari Allah (swt), menjadi konotasi hidayah dan dhalalah sebagai “ciptaan” Allah, adalah ayat-ayat hisab yang meminta akauntabiliti (pertanggungjawaban) manusia atas segala tindakannya semasa di dunia.  Allah (swt) berfirman:

﴿ مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاء فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ ﴾

“Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka (dosanya) untuk dirinya sendiri; dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menganiaya hamba-hamba-Nya” [Fushshilat (41): 46].

﴿ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ(7) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ(8) ﴾

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat pula (balasan)nya” [Al-Zalzalah (99): 7-8].

﴿ مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِه ﴾

“Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu” [An-Nisa’ (4): 123].

 ﴿ وَعَدَ الله الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا ﴾ 

“Allah mengancam orang-orang munafik lelaki dan perempuan, dan orang-orang kafir dengan neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya” [At-Taubah (9): 68].

Jikalau pengertian hidayah dan idhlal dinisbahkan kepada Allah (swt) secara langsung (dari sisi pelaksanaan), maka ini bermakna segala seksa yang diberikan-Nya kepada orang kafir, munafik dan pelaku maksiat (dalam ayat-ayat di atas) merupakan sebuah kezaliman. Maha Besar dan Maha Suci Allah dari yang demikian. Firman-Nya:

﴿ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ ﴾

“Dan sekali-kali Tuhanmu tidak pernah berbuat zalim kepada hamba-Nya.” [Fushshilat (41): 46].

Oleh itu, wajib memalingkan maknanya kepada hal yang tidak langsung (yakni) bahawa Allah-lah yang menciptakan hidayah dari tidak ada dan memberikan taufik kepadanya. Manakala, yang melangsungkan (pelaksanaan) hidayah dan idhlal tersebut adalah hamba. Atas dasar itu seluruh perbuatan hamba akan dihisab (atas pelaksanaannya itu).

Sesungguhnya Allah Maha Adil, dan Allah (swt) tidak akan menyeksa atau memberi pahala kepada manusia, kecuali setelah Dia menunjukkan jalannya, iaitu jalan ke syurga dan neraka. Kedua-dua jalan itu ditunjukkan oleh Allah (swt) kepada manusia, dan manusia itu sendirilah yang memilih jalan yang dia kehendaki. Manusia secara fitrah telah diberi kecenderungan oleh Allah (swt) untuk beriman atau kufur, untuk berbuat baik atau jahat. Inilah pengertian bahawa Allah (swt) adalah Dzat Pencipta hidayah dan dhalalah. Maka, ketika manusia memilih jalan sesat, dan Allah (swt) menyeksanya atas kesesatannya itu, itu bukan “kesalahan” atau kezaliman Allah, tetapi kesalahan manusia itu sendiri yang telah memilih jalan kesesatan.

Inilah hakikat hidayah dan dhalalah yang disampaikan oleh Hizbut Tahrir, yakni dari aspek “penciptaan”, ia diciptakan oleh Allah, sementara yang mengusahakannya (berusaha untuk mendapatkannya) adalah manusia, kerana manusia telah diberi potensi untuk mendapatkan kedua-duanya.

Bahkan Allah (swt) juga menurunkan Rasul yang diberi tugas untuk menjelaskan lagi kepada manusia akan kedua-dua jalan tersebut, sehingga setelah diutusnya Rasul, tidak ada lagi manusia yang boleh mempersalahkan Allah (swt) apabila Allah (swt) menyeksanya kelak. Firman Allah:

 ﴿ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً ﴾

“Dan Kami tidak akan menyeksa (siapa pun) sebelum Kami mengutus Rasul” [Al-Isra’ (17): 15].

Jadi, apa yang disebut oleh Hizbut Tahrir bahawa petunjuk dan kesesatan itu, kedua-duanya termasuk perbuatan manusia dan bukan datang dari Allah (swt), bermaksud Allah (swt) adalah pihak yang menciptakan (al-Khaliq) petunjuk dan kesesatan, bukannya manusia. Sedangkan manusia adalah pihak yang mengerjakan (al-Mubasyir) atau mengusahakan untuk mendapat petunjuk dan kesesatan, bukannya Allah (swt). Maka manusia diberi pahala atau dosa, dan kelak pada hari kiamat akan dihisab dengan apa yang mereka usahakan.

Inilah apa yang tercatat dalam kitab asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jilid 1 tersebut, yang sangat terang dan jernih penjelasannya bagi setiap yang membaca. Inilah pandangan Hizbut Tahrir, yang kesemuanya merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, dan tidak satu pun keluar daripada kedua-duanya. Setiap yang mempunyai mata pasti dapat melihat, dan setiap yang mempunyai hati pasti dapat memahami akan apa yang ditulis oleh Hizbut Tahrir, kecuali mereka yang mempunyai hati yang busuk, yang tidak mahu memahami dan hanya mahu memfitnah!