Bantahan Fatwa Johor – 4.2c & e

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(c) Fatwa an-Nabhani boleh bercumbuan dengan wanita ajnabiah.
(e) Harus mencium wanita bukan mahram tanpa maksud berzina.

Kami gabungkan jawapan kami untuk Butiran (c) dan (e) kerana tuduhannya hampir sama.

Untuk Butiran (c), ingin kami tegaskan betapa JFNJ tidak tahu membezakan antara pandangan Hizbut Tahrir dan pandangan an-Nabhani! Pandangan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (rahimahullah) hanya menjadi pandangan Hizbut Tahrir apabila ia ditabanni oleh Hizbut Tahrir, baik berupa kitab-kitab karangannya, atau apa jua penulisannya yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir. Dengan kata lain, tidak semua penulisan an-Nabhani menjadi pendapat atau pegangan Hizbut Tahrir, tetapi hanya yang ditabanni sahaja yang akan menjadi pendapat dan pegangan Hizbut Tahrir. Ini dari satu sisi.

Dari sisi lain, kami tidak pernah tahu dan tidak pernah terbaca di mana-mana bahawa an-Nabhani berpandangan atau mengeluarkan fatwa sedemikian. Jika ada sekali pun, ia hanyalah pendapat peribadi an-Nabhani. Kami ulangi, itu pun jika ada!

Kesalahan fatal yang dilakukan oleh JFNJ dalam kedua-dua Butiran di atas ialah tidak memberikan sebarang rujukan! Tanpa rujukan, sememangnya manusia bebas melontarkan apa jua fitnah yang mereka kehendaki, seperti mana yang dilakukan oleh JFNJ ini. Tanpa rujukan, boleh sahaja Hizbut Tahrir dituduh membenarkan zina, membenarkan riba, membenarkan bunuh pemerintah dan membenarkan pelbagai lagi perkara yang tidak pernah disebut oleh Hizbut Tahrir.

Dengan ada rujukan sekali pun, ternyata sudah berapa banyak fitnah yang dilontarkan oleh JFNJ, apatah lagi tanpa sebarang rujukan! Tidak ada rujukan bermaksud tidak ada apa-apa bukti, kecuali semuanya hanyalah tuduhan! Tidakkah JFNJ mengambil pengajaran daripada al-Quran berkenaan orang yang melontarkan tuduhan ke atas perempuan suci, berzina, maka Allah (swt) memerintahkan mereka untuk mendatangkan saksi (bukti) atas tuduhan mereka. Ini menunjukkan betapa pentingnya bukti jika seseorang itu ingin melontarkan tuduhan ke atas orang lain. Apabila tidak ada bukti, atau gagal dibuktikan, maka si penuduh-lah yang sebenarnya bersalah kerana telah melontarkan satu tuduhan (tanpa bukti). Nah inilah apa yang dilakukan oleh JFNJ sekarang, yakni melontarkan tuduhan ke atas Hizbut Tahrir (dan ke atas an-Nabhani) tanpa sebarang bukti!

Sesungguhnya apa yang disebut oleh JFNJ dalam kedua-dua Butiran di atas tidak ada nilai walau sebesar sayap nyamuk sekalipun, kerana tidak ada apa-apa rujukan yang diberikan. Atas dasar ini sahaja, kami sudah boleh mengabaikan Butiran ini dan berpindah ke Butiran yang lain. Namun, oleh kerana kami tidak mahu fitnah keji seumpama ini terus berlegar di muka bumi, maka kami jelaskan juga di sini pegangan kami dalam hal ini. Kami ingin tegaskan bahawa tuduhan sebegini sangatlah keji dan hakikatnya, merupakan satu tuduhan yang langsung tidak berasas. Hizbut Tahrir, telah menerangkan dengan sejelas-jelasnya, sehingga anak-anak kecil sekalipun boleh memahami, bahawa perbuatan bercumbuan antara lelaki dan wanita asing ini adalah haram, kerana ia termasuk di dalam perbuatan yang membawa kepada perzinaan. Berikut ialah penjelasan kami dalam kitab an-Nidzam al-Ijtimaie fi al-Islam, hal 58.

Terjemahan:

Ciuman seorang lelaki terhadap wanita asing yang diingininya dan ciuman seorang wanita terhadap lelaki asing yang diingininya adalah ciuman yang diharamkan kerana ini termasuk pendahuluan kepada zina. Ciuman seperti ini biasanya memang termasuk dalam pendahuluan zina (tetap haram), meskipun ciuman tersebut berlaku tanpa syahwat dan tidak membawa kepada zina. Ini kerana ketika Ma’iz datang kepada Rasulullah dan meminta agar baginda membersihkannya kerana dia (Ma’iz) telah berzina, baginda bersabda, “Barangkali kamu hanya menciumnya….”. Ini menunjukan bahawa ciuman adalah termasuk pendahuluan zina. Banyak ayat dan hadis yang mengharamkan zina mencakupi pengharaman semua pendahuluannya meskipun hanya rabaan yang berbentuk pendahuluan zina. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menginginkan seorang perempuan dan merayunya, atau menciumnya dengan penuh cinta dan syahwat, atau menariknya kepadanya, atau memeluknya, atau hal-hal yang sejenis dengannya, sebagaimana yang boleh terjadi dalam kalangan orang yang tidak memiliki akhlak dari golongan muda-mudi. Oleh itu, cumbuan atau ciuman seperti ini adalah diharamkan, meskipun hanya untuk menyambut orang yang datang dari jauh kerana keadaan ciuman seperti ini adalah termasuk dari pendahuluan zina.

Inilah pandangan Hizbut Tahrir dalam hal ini dan kami tidak mempunyai pandangan lain selain daripada pandangan ini. Kami juga tidak ada kitab rujukan lain selain daripada kitab ini (an-Nidzam al-Ijtimaie fi al-Islam) dalam membincangkan hal ini. Justeru, apa-apa rujukan kepada kitab atau penulisan lain selain daripada kitab ini, oleh mana-mana pihak sekalipun, maka ia adalah terbatal dengan sendirinya.

Kami telah pun menjelaskan dalam jawapan 4.2 (b) betapa Hizbut Tahrir memisahkan kedudukan lelaki dan wanita dalam setiap aktiviti kami, baik dalam kelas pengajian tertutup mahupun aktiviti terbuka, dan betapa kami menjaga agar tidak berlaku ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan wanita kerana hal ini diharamkan oleh Islam. Jika ikthtilat seumpama ini pun dijaga oleh Hizbut Tahrir, bagaimana mungkin JFNJ boleh memfitnah Hizbut Tahrir membenarkan ciuman antara lelaki dan perempuan asing?

Siapa pun yang pernah belajar dengan Hizbut Tahrir akan mengetahui bahawa tidak pernah ada ajaran dalam Hizbut Tahrir yang membolehkan ciuman antara lelaki dan wanita asing. Apa yang ada ialah Hizbut Tahrir menjelaskan akan keharamannya.

Sungguh betapa dustanya JFNJ dengan fitnah keji yang direka-reka seperti ini! Dengan sejelas ini pandangan Hizbut Tahrir yang telah lama disebut dalam kitab mutabannat kami, JFNJ masih sanggup untuk menabur fitnah sekeji ini ke atas Hizbut Tahrir? La haula wa la quwwata illa billah..ittaqullah..ittaqullah wahai JFNJ!