Bantahan Fatwa Johor – 4.2a

Muat turun PDF
Isi Kandungan

4.2 Pandangan dari sudut feqah antaranya:

(a) Sesiapa sahaja boleh berijtihad. (al-Nabhani: at-Tafkir, cetakan pertama, tahun 1973, halaman: 122).

Sebelum menjawab Butiran ini, kami ingin katakan bahawa JFNJ seharusnya tahu bahawa dalam HIzbut Tahrir, ada kitab yang ditabanni (kitab mutabannat) dan ada kitab yang bukan mutabannat. Dalam Butiran 4.5 (a), JFNJ ada menyebut mengenai pemikiran tabanni dalam Hizbut Tahrir, yang menunjukkan seolah-olah JFNJ tahu mengenai apa yang ditabanni dan apa yang tidak ditabanni dalam Hizbut Tahrir.

Namun, kami tidak akan menyalahkan JFNJ jika JFNJ tidak mengetahui kitab manakah yang merupakan kitab mutabannat Hizbut Tahrir dan kitab manakah yang bukan mutabannat. Apa yang salah ialah apabila JFNJ tidak mahu bertanya tatkala JFNJ tidak mengetahui sesuatu tentang Hizbut Tahrir, lalu mengeluarkan fatwa atas dasar ketidaktahuan tersebut! Kami telah jelaskan kepada JFNJ sebelum ini mengenai hadis Rasulullah (saw) bahawa ubat kebodohan itu ialah bertanya. Benarlah sabda Rasulullah (saw).

Siapa pun yang ingin merujuk kepada pandangan dan pendirian Hizbut Tahrir dalam sesuatu isu, maka rujukan hendaklah dibuat kepada kitab mutabannat kami, bukan kepada selainnya. Apa yang terkandung dalam kitab mutabannat itulah yang menjadi pandangan dan pendirian Hizbut Tahrir, manakala selainnya tidak boleh dikatakan sebagai pandangan dan pendirian Hizbut Tahrir.

Untuk makluman JFNJ, kitab at-Tafkir karangan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (rahimahullah) bukanlah kitab mutabannat Hizbut Tahrir. Jadi, apa sahaja rujukan kepada kitab tersebut, dan menyatakannya sebagai pandangan Hizbut Tahrir, adalah salah!

Atas alasan ini sahaja sudah cukup untuk kami menyatakan bahawa Butiran 4.2 (a) ini tertolak! JFNJ ingin mengeluarkan fatwa dan mendakwanya sebagai pandangan Hizbut Tahrir, sedangkan rujukan JFNJ adalah salah, kerana apa yang JFNJ rujuk itu bukan kitab mutabannat Hizbut Tahrir! Bagaimana mungkin JFNJ boleh melakukan kesalahan intelektual seperti ini, sedangkan para anggotanya terdiri daripada mereka yang dianggap sebagai cendekiawan? Ini dari satu sudut.

Dari sudut lain, kesalahan intelektual yang lebih parah yang JFNJ lakukan ialah apabila JFNJ hanya memetik secebis daripada penulisan, dan terus membuat fatwa berdasarkan cebisan yang diambil tadi. Jika ada sebuah penulisan yang panjang mengenai keharaman babi, di mana si penulis menulis bahawa “Sesungguhnya memakan babi itu haram kerana Allah (swt) telah mengharamkannya dengan jelas dan tegas di dalam al-Quran, tetapi jika wujud keadaan darurat, maka memakan babi itu dibolehkan….” maka apa yang JFNJ petik ialah “memakan babi itu dibolehkan” menurut si penulis. Inilah apa yang sedang anda lakukan dengan kitab Syeikh Taqiyuddin tersebut wahai JFNJ!

Kami yakin JFNJ tahu bahawa bab ijtihad dibahaskan oleh Syeikh Taqiyuddin (rahimahullah) secara panjang lebar di dalam kitab asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah Jilid I, dan kitab ini adalah kitab mutabannat Hizbut Tahrir. Malangnya JFNJ tidak pula merujuk kepada kitab ini, dan kami boleh mengagak apa sebabnya!

Walaupun boleh sahaja untuk kami tidak menjawab fitnah JFNJ dalam Butiran ini, kerana kitab yang dirujuk bukanlah kitab mutabannat Hizbut Tahrir, namun kami memilih untuk menjawabnya, dengan tujuan agar kesedaran dan keikhlasan dapat menusuk masuk ke hati anggota JFNJ apabila telah melihat kebenaran.

Kami percaya frasa yang dirujuk oleh JFNJ di dalam kitab at-Tafkir ialah yang berikut:

Terjemahan:

“…oleh kerana itu, sesungguhnya penggalian hukum atau ijtihad itu adalah mungkin bagi semua orang, dan sangat mudah bagi semua orang, terutama setelah buku-buku tentang bahasa Arab dan syariat Islam ada di tangan mereka…”

Kami dengan ini memaparkan penjelasan dari awal, yang selengkap mengenai frasa yang dirujuk dalam kitab at-Tafkir tersebut:

Terjemahan:

Mengenai berfikir untuk menggali hukum syarak, sebenarnya tidak cukup hanya dengan membaca kemudian boleh melakukan penggalian hukum. Tetapi, berfikir tersebut memerlukan pengetahuan tentang tiga perkara , iaitu lafadz (al-alfadz) dan susunan lafadz (at-tarakib), pemikiran syarie dan fakta pemikiran atau hukum, dengan kadar pengetahuan yang memungkinkannya untuk melakukan penggalian hukum, bukan sekadar mengetahuinya sahaja. Hal ini kerana, dia mestilah ‘alim tentang bahasa Arab, seperti ilmu nahu, sharaf, balaghah dan sebagainya. Dia juga harus ‘alim tentang tafsir, hadis dan ushul fikih. Dia juga harus ‘alim tentang fakta yang hukumnya hendak digali. Konotasi dia harus ‘alim tidak bererti dia harus sampai pada tahap mujtahid dalam topik-topik ini. Tetapi, cukuplah pada tahap menguasai dengan penguasaan yang sempurna. Ini kerana, dia boleh bertanya tentang makna kalimat dan boleh merujuknya kepada kamus. Dia boleh bertanya kepada seorang mujtahid di bidang nahu dan sharaf, atau merujuk kepada buku nahu dan sharaf untuk mengetahui i’rab suatu kalimat, atau tashrif suatu kata. Dia juga boleh merujuk kepada salah seorang ulama hadis atau merujuk kepada buku hadis untuk mengetahui hadis tertentu. Dia juga boleh bertanya kepada orang yang mengetahui waqi’ (fakta) yang ingin dia fahami, sekalipun orang tersebut non-Muslim, atau merujuk kepada kitab yang membahas fakta tersebut. Jadi, konotasi dia harus ‘alim tidak bererti dia harus sampai pada tahap mujtahid, atau orang yang mendalam sekali pengetahuannya, melainkan cukuplah pada tahap menguasai dengan penguasaan yang sempurna, yang memungkinkannya untuk melakukan penggalian hukum. Inilah pengertian harus menguasai pengetahuan tertentu, atau pengetahuan yang cukup supaya dia boleh melakukan penggalian hukum. Oleh kerana itu, sekalipun penggalian hukum tersebut memerlukan pengetahuan yang lebih banyak dari sejumlah pengetahuan yang lazim untuk mengetahui hukum syarak, tetapi tidak bererti dia mesti sampai pada tahap mujtahid dalam setiap ketiga perkara yang lazim digunakan untuk menggali hukum. Tetapi, cukup pada tahap menguasai pengetahuan yang cukup tentang ketiga perkara yang memungkinkannya untuk melakukan penggalian hukum. Ketika dia telah mampu melakukan penggalian hukum, maka dia boleh menjadi mujtahid. Oleh kerana itu, penggalian hukum atau ijtihad itu mungkin bagi semua orang, dan sangat mudah bagi semua orang, terutama setelah buku-buku tentang bahasa Arab dan syariat Islam ada di tangan mereka…”

Nah! Betapa jelasnya bagi mereka yang membaca dengan mata dan mata hati, bahawa Syeikh Taqiyuddin meletakkan syarat untuk seseorang itu menjadi mujtahid mestilah memiliki dan menguasai bahasa Arab berserta pelbagai ilmu cabangnya yang mencukupi bagi melayakkannya untuk melakukan proses istinbat (penggalian) sebelum boleh mengeluarkan sesuatu ijtihad. Selain itu dia hendaklah menguasai waqi’ (fakta) dan perlu bertanya kepada mereka yang alim dalam bidang tersebut sekiranya dia tidak mengetahui, sebelum dia boleh menghasilkan sesuatu ijtihad dalam sesuatu perkara (hukum).

Setelah seseorang memiliki dan menguasai semua itu, barulah dia boleh berijtihad, atau dengan kata lain layak untuk menjadi mujtahid. Jadi, ungkapan Syeikh Taqiyuddin bahawa “…sesungguhnya penggalian hukum atau ijtihad itu mungkin bagi semua orang…” bermaksud apabila orang itu sudah memiliki dan menguasai ilmu dan waqi’ yang diperlukan. Dengan kata lain, jika dia tidak memiliki dan menguasai ilmu dan waqi’ yang diperlukan (untuk berijtihad), maka dia tidak boleh dan tidak layak untuk berijtihad, dan tidak layak digelar mujtahid.

Kami ulangi apa yang kami sebut di awal, bahawa JFNJ hanya memetik secebis daripada pembahasan secara tidak sempurna, yang telah merubah pemahaman ayat dari konteks asalnya. Memang senang untuk menuduh seseorang menghalalkan babi apabila penulisan orang itu diambil dan dipetik pada bahagian yang dikehendakinya sahaja. Apa yang jelas pada pandangan kami ialah, hal ini sudah pasti dilakukan dengan niat dan tujuan tertentu. Jika tiada niat dan tujuan tertentu, kami yakin JFNJ akan segera meminta maaf dan menarik balik tuduhan mereka ke atas Syeikh Taqiyuddin dan menarik balik fatwa ke atas Hizbut Tahrir, sebaik sahaja membaca jawapan ini.