Bantahan Fatwa Johor – 4.1g

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(g) Haram meyakini bahawa azab kubur pasti berlaku. Azab kubur hanya boleh dipercayai sahaja tidak dengan yakin berlakunya kerana ia hanya bersumberkan hadis ahad. (kenyataan al-Nabhani dalam kitab al-Dausiyah al-Fikriyyah, halaman: 338).

Sebelum menjawab tuduhan ini, ingin kami tegaskan bahawa kitab yang dirujuk oleh JFNJ iaitu al-Dausiyah al-Fikriyyah itu bukan merupakan kitab rasmi Hizbut Tahrir, malah ia bukan kitab Hizbut Tahrir pun! Walaupun disebut di situ bahawa ia merupakan kenyataan al-Nabhani, ingin kami tegaskan di sini bahawa:

(i) Kami tidak mengetahui pun akan kewujudan kenyataan tersebut. Malah kami tidak mengetahui pun tentang kewujudan kitab yang dinyatakan, kerana kami tidak pernah melihatnya. Membacanya pun tidak, apatah lagi untuk dikatakan kami berpegang dengannya!

(ii) Jika benar wujud kitab berserta kenyataan yang disebutkan, maka kami dengan ini menegaskan bahawa kenyataan an-Nabhani perlu dibezakan dengan kenyataan Hizbut Tahrir. Pendiri yang juga Amir pertama Hizbut Tahrir iaitu Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (rahimahullah) mengeluarkan banyak kenyataan dan menulis banyak kitab mahu pun nasyrah, namun tidak semua kitab atau nasyrah tersebut ditulis atas kapasiti beliau sebagai Amir Hizbut Tahrir atau ditulis untuk dijadikan keluaran Hizbut Tahrir. Berapa banyak daripada kitab dan nasyrah tersebut yang ditulis atas kapasiti beliau sebagai individu, yang langsung tidak ada kena mengena dengan Hizbut Tahrir.

(iii) Apa yang dikatakan sebagai pendapat atau pegangan Hizbut Tahrir ialah apa yang terkandung dalam kitab mutabannat Hizbut Tahrir sahaja, atau apa-apa keluaran yang dinyatakan oleh Hizbut Tahrir sebagai mutabannat. Jika ia bukan kitab atau keluaran mutabannat, maka ia bukan merupakan pendapat rasmi Hizbut Tahrir.

(iv) Selain itu, apa yang menjadi pendapat, pegangan atau pendirian rasmi Hizbut Tahrir ialah apa yang dikeluarkan oleh Amir Hizbut Tahrir (atas kapasitinya sebagai Amir Hizbut Tahrir), apa-apa penulisan yang diterbitkan atas nama Hizbut Tahrir Pusat atau Wilayah, al-Maktab al-I’lamiy (Pejabat Media), Jurucakap dan Wakil Media Hizbut Tahrir. Selain daripada itu, semuanya merupakan pendapat peribadi penulis walaupun ia dimasukkan ke dalam laman sesawang atau facebook rasmi Hizbut Tahrir, atau majalah, risalah atau apa sahaja medium yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir.

Justeru, ingin kami tegaskan lagi sekali bahawa kitab yang disebut oleh JFNJ sebagai al-Dausiyyah al-Fikriyyah itu bukan kitab Hizbut Tahrir. Malah kitab tersebut (jika wujud) tidak ada nilai dan tidak ada makna di sisi Hizbut Tahrir. JFNJ seharusnya memetik daripada sumber mutabannat Hizbut Tahrir untuk menyatakan yang sesuatu itu adalah pegangan Hizbut Tahrir.

Walaupun kitab tersebut tertolak dengan sendirinya, dan tidak ada nilai untuk kami bahaskan, namun bagi memberi pencerahan dan menyampaikan kebenaran, maka kami akan sentuh sedikit di sini Butiran 4.1 (g) di atas, agar terlihat di manakah fitnah berangkai oleh JFNJ ke atas Hizbut Tahrir dalam Butiran ini.

Hizbut Tahrir tidak pernah membahaskan tentang azab kubur di dalam mana-mana kitabnya. Ini bermakna secara rasminya Hizbut Tahrir tidak pernah mengeluarkan pendapat mengenai azab kubur. Maka Butiran (g) dalam fatwa ini secara automatik tertolak, kerana JFNJ ternyata telah menyatakan sesuatu yang tidak pernah wujud dalam pandangan rasmi Hizbut Tahrir!

Bagaimanapun, kami akui bahawa Hizbut Tahrir ada membincangkan mengenai karakter akidah, kriteria dalil yang mendasarinya, sikap terhadap hadis ahad, dan konsekuensi bagi orang yang mengingkarinya. Hizbut Tahrir menegaskan bahawa dalil dalam masalah akidah wajib diambil dari sumber yang qath’ie. Ia termaktub dalam kitab yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir iaitu:

Terjemahan:

“Dengan demikian dalil dalam perkara akidah hendaklah bersandarkan kepada dalil yang yakin, iaitu dalil yang qath’ie (pasti). Ini kerana akidah itu adalah pasti, tegas dan yakin; dan tidak bernilai kepastian, ketetapan, dan keyakinan kecuali dalil tersebut adalah yang bersifat qath’ie. Maka dari itu, ia hendaklah berupa al-Quran dan hadis mutawatir dengan syarat masing-masing dari keduanya memiliki penunjukan erti yang tegas (qath’ie dilalah), sehingga wajib diambil dalam perkara akidah mahupun hukum syarak. Orang yang mengingkarinya dan orang yang mengingkari makna yang ditunjukkannya akan dihukumi kafir, baik itu berupa akidah mahupun hukum syarak” [Taqiyuddin an-Nabhani, asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Jilid I, hal. 193, cetakan 2003].

Sedangkan untuk dalil yang tidak memenuhi kriteria sebagai dasar akidah, maka pendapat Hizbut Tahrir adalah sebagaimana berikut:

Terjemahan:

“Adapun apabila dalil tersebut berupa hadis ahad, maka ia tidak bersifat pasti. Jika dalil tersebut sahih, maka ia bernilai ghalabatu dzan (dugaan kuat), sehingga perkara akidah yang dikandungnya patut dibenarkan dengan pembenaran yang bersifat dzanni (dugaan), bukan pembenaran yang bersifat jazim (pasti), kerana ia tidak boleh diyakini dan tidak pula dipastikan kebenarannya (sebagai sebahagian dari akidah). Ini kerana akidah adalah kepastian, sementara hadis ahad tidak bernilai kepastian, ia hanyalah bernilai dzan. Dan orang yang mengingkari hadis ahad tidak dihukumi kafir. Namun ia juga tidak boleh didustakan, kerana jika boleh mendustakannya, nescaya boleh juga mendustakan seluruh hukum-hukum syariat yang diambil dari dalil-dalil dzanni, sedangkan tidak ada seorang pun di antara kaum Muslimin berpendapat demikian” [Taqiyuddin an-Nabhani, asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Jilid I, hal. 193, cetakan 2003].

Dua petikan di atas sudah cukup untuk menunjukkan bagaimana pendirian Hizbut Tahrir dalam menyikapi dalil-dalil yang berhubung dengan persoalan akidah dan dalam menerima dalil-dalil syarak yang memberitakan perkara-perkara ghaib, iaitu ringkasnya:-

Pertama; Apabila dalilnya bersifat qath’ie (pasti), berupa al-Qur`an dan Hadis Mutawatir, maka perkara ghaib yang diberitakannya diyakini sebagai akidah secara mutlak. Ini kerana pembenaran terhadapnya bersifat pasti dan meyakinkan. Orang yang mengingkarinya dihukumi sebagai kafir kerana telah mengingkari perkara qath’ie yang tergolong dalam perkara akidah.

Kedua; Apabila dalilnya bersifat dzanni (dugaan, tidak sampai ke tahap yakin), berupa hadis ahad, maka perkara-perkara ghaib yang diberitakannya tidak diyakini sebagai akidah. Pembenaran terhadapnya sekadar bersifat dugaan atau persangkaan. Bagaimana pun, orang yang mengingkarinya tidak boleh didustakan dan tidak boleh dihukumi sebagai kafir.

Apa yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir dalam hal ini sesungguhnya selari dengan pandangan jumhur ‘ulama  sebagaimana yang dinyatakan dalam jawapan kami dalam Butiran 4.1 (f).

Persoalan mengenai azab kubur ialah persoalan yang sering “dipaksakan” oleh pihak-pihak tertentu ke atas Hizbut Tahrir untuk dijawab. Malangnya dalam banyak keadaan, pihak-pihak tersebut telah membuat kesimpulan sendiri dan menyatakan bahawa itulah pendapat Hizbut Tahrir! Padahal hakikatnya itu adalah kesimpulan mereka sendiri! Samalah sebagaimana kesimpulan yang dibuat oleh JFNJ dalam Butiran 4.1 (g) ini!

Nah, sekarang jika mahu mendengar jawapan kami, maka berikut adalah jawapan kami:-

Hizbut Tahrir tidak pernah membincangkan atau mentabanni suatu pendapat pun, apatah lagi rincian mengenai azab kubur. Inilah jawapan kami!

Maka, jika ada jawapan selain daripada jawapan di atas, semuanya adalah merupakan jawapan atau kesimpulan yang dibuat atau lebih tepat, dibuat-buat, oleh pihak yang menjawabnya!

Cukuplah kami menyatakan bahawa hadis mengenai seksa kubur adalah hadis ahad yang bernilai dzan, bukan qath’ie. Namun jika anda masih belum puas dengan jawapan di atas, maka fahamilah bahawa, walaupun Hizbut Tahrir tidak mentabanni persoalan mengenai azab kubur, hal ini langsung tidak bermakna yang Hizbut Tahrir mengingkari azab kubur seperti tohmahan sesetengah pihak. Kami katakan bahawa dalil mengenai azab kubur, walaupun dari segi khabarnya ahad, tetapi ia merupakan hadis sahih yang mana Hizbut Tahrir mewajibkan pembenaran (tashdiq) pada setiap hadis sahih.

Sebagaimana yang kami telah jelaskan sebelum ini pada Butiran 4.1 (f), bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai penerimaan khabar ahad dalam masalah akidah, dan jumhur ulama tidak menerimanya, namun mereka tidak pernah menyesatkan satu sama lain kerana perbezaan pendapat ini.

Jadi, soalan kami kepada anda wahai JFNJ, kenapakah anda tidak boleh berlapang dada sebagaimana berlapang dadanya para ulama dalam hal ini? Mengapakah anda ingin terus melontarkan tohmahan dan meretakkan hubungan ukhuwwah Islamiyyah, yang mampu melenyapkan pahala amal soleh yang telah anda usahakan selama hidup anda, hanya semata-mata kerana anda tidak bersetuju dengan pendapat Hizbut Tahrir? Berdoalah kepada Allah (swt) wahai JFNJ, dengan mengikhlaskan diri kepada-Nya, agar Dia melapangkan dada-dada anda dengan perbezaan pendapat ini, yang hakikatnya tidak mengeluarkan seseorang pun daripada akidah Islamiyyah.