Bantahan Fatwa Johor – Muqaddimah

Muat turun PDF
Isi Kandungan

بسم الله الرحمن الرحيم

﴿قُلْ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ﴾

“Katakanlah: Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak akan beruntung” [Yunus (10): 69]

*****

Segala puji bagi Allah (swt), Tuhan Pencipta manusia, alam semesta dan kehidupan. Selawat dan salam semoga tercurah ke atas Junjungan besar lagi mulia, Muhammad (saw), keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta orang-orang yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebagaimana yang kami janjikan bahawa kami akan menjawab fatwa yang dikeluarkan oleh  Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor (JFNJ) ke atas Hizbut Tahrir satu per satu, Alhamdulillah dengan izin Allah (swt), kami telah menyiapkannya dan kami bentangkannya di sini untuk tatapan JFNJ khususnya, dan untuk tatapan umat Islam amnya.

Kami menyediakan jawapan ini (secara bertulis) setelah Jabatan Mufti Johor menutup pintu kepada segala penjelasan dan perbincangan dengan kami atas alasan yang tidak munasabah. Kami juga membentangkan jawapan ini agar JFNJ menarik balik fatwa ini setelah membaca dan memahaminya. Kami juga mengharapkan agar jawapan ini menjadi iktibar kepada JNFJ khususnya dan kepada semua pihak lain amnya, agar tidak mengulangi fitnah yang sama ke atas Hizbut Tahrir.

Kami telah menjelaskan berulang-ulang kali sebelum ini dan kami tegaskan sekali lagi di sini bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh JFNJ ini sesungguhnya sarat dengan fitnah, pembohongan, pendustaan, pemesongan fakta dan penuh kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir. Walaupun telah berulang kali juga kami meminta agar JFNJ menarik balik fatwa fitnah ini sebelum ini, kerana tidak mahu JFNJ terus menanggung dosa, namun sedikit pun tidak diendahkan oleh JFNJ.

Sesebuah fatwa tidak seharusnya mengandungi fitnah, kerana jika ia mengandungi fitnah, ia bukan lagi fatwa. Fatwa adalah merujuk kepada proses pengeluaran hukum syarak berkenaan suatu perkara, dan setiap fatwa yang dikeluarkan tidak boleh terpisah daripada sumber rujukan utama dalam Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas. Ini kerana, maksud fatwa itu sendiri adalah penjelasan mengenai hukum syarak atas suatu permasalahan dari permasalahan-permasalahan yang ada, yang didukung oleh dalil yang berasal daripada al-Quran, as-Sunnah atau didukung oleh ijtihad atau pendapat para Mujtahid. Umum mengetahui bahawa fatwa adalah penjelasan hukum syariat atas pelbagai macam persoalan yang terjadi di tengah-tengah masyarakat. Ini pengertian fatwa menurut Islam. Maka, segala cerita rekaan, fitnah, pembohongan, pendustaan dan seumpamanya bukanlah satu fatwa!

Walaupun fatwa ada sedikit perbezaan dengan ijtihad, namun dari segi proses pengeluarannya adalah sama, yakni sebelum mengeluarkannya, seseorang hendaklah memahami waqi’ al-haditsah (realiti yang berlaku) dan memahami nas (fahm an-nas). Fahmu an-nas adalah usaha memahami dalil-dalil syariat hingga diketahui dilalah al-hukm (penunjukan hukum) yang terkandung dalam dalil tersebut. Sedangkan fahmu al-waqi’ al-haditsah adalah usaha mengkaji dan meneliti realiti yang hendak dihukumi agar pokok persoalan atau faktanya diketahui dengan tepat dan benar. Maka barulah meletakkan nas yang sesuai dengan waqi’ tersebut, untuk dikeluarkan hukumnya yang berupa fatwa ke atas perkara tersebut.

Malangnya hal itu tidak terjadi dalam fatwa yang dikeluarkan oleh JFNJ ke atas Hizbut Tahrir. Walaupun kami akui sebahagian kecilnya faktanya adalah benar, namun sebahagian besarnya adalah fitnah dan pembohongan ke atas Hizbut Tahrir. Malah, sebahagian kecil fakta yang benar itu pun diungkap dengan cara yang salah dan mengelirukan, dan diungkap dengan cara yang cukup negatif serta meletakkan Hizbut Tahrir dalam kedudukan bersalah.

Dalam fatwa ini juga, faktanya amat jelas menunjukkan betapa JFNJ gagal membezakan antara persoalan akidah dengan hukum syarak. Pada keseluruhan fatwa, sebagaimana dijelaskan dalam Butiran ke-4, JFNJ menyatakan bahawa fahaman atau ajaran Hizbut Tahrir Malaysia adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sedangkan Butiran yang terkait dengan akidah hanyalah Butiran 4.1 sahaja, manakala Butiran selebihnya adalah terkait dengan hukum syarak, persoalan politik serta persoalan pentadbiran dalam Hizbut Tahrir yang langsung tidak ada kena mengena dengan persoalan akidah. Manakala dalam Butiran 4.6, ia merupakan tuduhan dusta dari JFNJ ke atas Hizbut Tahrir yang bukan sahaja tidak ada kena mengena dengan persoalan akidah, tetapi telah menampakkan apakah niat sebenar JFNJ dalam mengeluarkan fatwa ini.

Selain daripada segala fitnah dan pembohongan yang dilakukan, ingin kami nyatakan di sini bahawa banyak rujukan kitab yang dibuat oleh JFNJ ternyata salah dari segi muka suratnya, dan apa yang lebih malang daripada itu ialah, beberapa rujukan yang dibuat oleh JFNJ, bukan kepada kitab mutabannat Hizbut Tahrir. Kesilapan seumpama ini menunjukkan sejauh manakah tahap profesionalisme dan keintelektualan JFNJ dalam mengeluarkan sesebuah fatwa, walhal ia merupakan satu perkara yang sangat penting dalam Islam, apatah lagi apabila melibatkan isu akidah.

Ingin kami tegaskan di sini bahawa fatwa JFNJ ini, sebagaimana yang telah kami tegaskan terhadap fatwa Selangor dan Sabah, hanyalah merupakan sebuah fatwa politik, tidak lebih daripada itu. Sekiranya JFNJ benar-benar mencari redha Allah (swt) dalam pengeluaran sesebuah fatwa, nescaya JFNJ tidak akan mengeluarkan fatwa seumpama ini.

Walaupun serangan bertubi-tubi dengan menggunakan semua corong dan lorong telah dilakukan oleh pihak berkuasa agama Johor terhadap Hizbut Tahrir, namun oleh kerana kami tetap mengharapkan dan mahukan kebaikan buat anda, maka kami berusaha menyiapkan jawapan ini, bagi meringankan beban anda di akhirat sekiranya anda menarik balik fatwa ini, dan jika anda tidak berbuat demikian, kami serahkan urusan anda sepenuhnya kepada Allah (swt), kerana Dia-lah Pemilik segala urusan.