Bantahan Fatwa Johor – 4.1c

Muat turun PDF
Isi kandungan

(c) Mempertikai kemaksuman nabi dengan mengatakan bahawa maksumnya nabi itu hanya selepas menjadi nabi (al-Nabhani: al-Shaksiah al-Islamiyyah jilid 1, cetakan keenam, tahun 2003, halaman: 136).

Ayat “mempertikaikan” kemaksuman nabi yang digunakan oleh JFNJ jelas menunjukkan niat JFNJ yang cuba memburukkan Hizbut Tahrir di mata umat Islam. Fatwa ini lebih kurang sama dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Fatwa Sabah ke atas Hizbut Tahrir. Namun kami ingin menyatakan bahawa ayat yang mereka guna lebih “lembut” dan tepat berbanding yang diguna oleh JFNJ.

Walaupun kami setuju dengan kenyataan bahawa kemaksuman Nabi itu hanya berlaku selepas kenabian, namun kami tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa kami “mempertikaikan” kemaksuman Nabi. Jika ayat yang digunakan ialah Hizbut Tahrir “berpendapat mengenai kemaksuman para Nabi”, maka kami akui bahawa ia adalah pendapat kami. Namun apabila ayat yang digunakan ialah Hizbut Tahrir “mempertikaikan kemaksuman para Nabi”, hal ini jelas menunjukkan konotasi yang berbeza, di samping menunjukkan niat si penulis. Sebagai sebuah badan yang dipenuhi oleh mereka yang berpendidikan dan bergelar ulama, JFNJ seharusnya lebih ikhlas dan jujur dalam memilih kata-kata. Hizbut Tahrir tidak pernah mempertikaikan kemaksuman para Nabi wahai JFNJ!

Kami akui bahawa memang Hizbut Tahrir berpandangan bahawa Nabi itu maksum setelah menjadi Nabi. Tetapi kami merasa sungguh aneh dan mempersoalkan bagaimana JFNJ boleh mengeluarkan fatwa seumpama ini. Ini kerana JFNJ mengkategorikan pihak yang berpendapat begini sebagai bertentangan dengan fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, seolah-olah JFNJ tidak pernah mengkaji kitab dan pandangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam bab ini!

Selain itu, kami ingin tegaskan bahawa perkara ini telah diungkap oleh JFNJ dalam bentuk yang membuatkan orang ramai keliru, bahawa pandangan yang menyatakan kemaksuman Nabi terjadi selepas kenabian itu, sebagai satu pandangan yang salah dan menyeleweng! Kami sungguh hairan dengan sikap JFNJ, kerana tatkala tiada seorang pun ulama yang menuduh orang yang berpandangan demikian sebagai telah terseleweng akidahnya, namun JFNJ begitu berani memfatwakan sedemikian.

Tidakkah JFNJ mengetahui bahawa ada ulama yang berpendapat, bahawa kemaksuman itu berlaku sebelum penurunan wahyu, dan ada ulama yang berpendapat ia berlaku setelah wahyu diturunkan? Namun, para ulama Mukhlisin daripada kalangan umat ini tidak pernah menjadikan perbezaan pendapat dalam bab ini sebagai alat tohmahan sebagaimana yang dilakukan oleh JFNJ. Ini adalah kerana mereka adalah para ulama yang berhujah dengan dalil dan memahaminya dengan mendalam, tidak untuk mengatakan sesiapa yang berpendapat begini ditohmah dengan tohmahan bersifat politik dan penuh tipu daya. Khilaf para ulama dalam hal ini telah berlaku sejak dahulu dan tidak ada seorang pun daripada mereka yang menyesatkan antara satu sama lain atau yang menyesatkan umat Islam yang berpandangan tidak sama seperti mereka. JFNJ seharusnya mengetahu fakta ini, dan berlapang dada dengannya.

Mengenai kemaksuman para Nabi dan Rasul, ya Hizbut Tahrir berpandangan bahawa ia berlaku sesudah kenabian, atau setelah diturunkan wahyu. Ini kerana sifat maksum itu ada pada Nabi dan Rasul, sedangkan seseorang itu (diangkat) menjadi Nabi atau Rasul setelah diturunkan wahyu, bukan sebelumnya. Allah (swt) berfirman:

﴿وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى * إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى﴾

Dan tiadalah apa yang diucapkannya (Muhammad) itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain kecuali hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)” [An-Najm (53): 3-4].

﴿إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ﴾

“Aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku” [Yunus (10): 15].

﴿قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [Ali ‘Imran (3): 31].

Sesungguhnya kemaksuman itu adalah sifat seorang Nabi, bukan sifat orang biasa, dan seseorang itu hanya diangkat menjadi Nabi setelah menerima wahyu. Jadi, kemaksuman itu terjadi hanya setelah diturunkan-Nya wahyu kepada orang itu yang sekali gus menjadikannya seorang Nabi. Oleh itu, amat jelas sekali bahawa kemaksuman ini berlaku sesudah diturunkan wahyu. Kita mengikuti Rasulullah (saw) berdasarkan wahyu yang telah diwahyukan kepada baginda (saw), bukan sebelumnya. Inilah pendapat yang Hizbut Tahrir anggap paling benar, sehingga Hizbut Tahrir memegang pendapat ini.

Di antara ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpendapat bahawa kemaksuman Nabi itu berlaku setelah wahyu diturunkan adalah Imam ar-Razi, yang nama lengkapnya ialah Muhammad bin ‘Umar bin al-Husain, seorang Ahli Kalam, Ahli Usul dan sangat terkenal (543-606 H). Beliau telah menulis kitab, ‘Ismah al-Anbiya’ (Kemaksuman para Nabi) yang kemudian menjadi sandaran ramai ulama dalam menentukan pendapat dalam masalah berkenaan, serta berhujah untuk membuktikannya. Beliau telah pun menulis banyak pembahasan dalam masalah ini. Beliau menyebutkan beberapa pandangan ulama berkaitan dengan masalah ini. Beliau akhirnya memilih dan menerima pakai pendapat, bahawa kemaksuman Nabi itu berlaku pada masa kenabian mereka, bukan sebelumnya.

Terjemahan:

Dan ramai yang mengatakan: Kemaksuman ini wajib ketika zaman kenabian. Adapun sebelumnya, ianya tidak wajib dan inilah yang disebutkan oleh para ulama kami (semoga Allah merahmati mereka) [Imam ar-Razi Ismah al-Anbiya’, hal. 40].

Di antara ulama Usul yang berpandangan sama (yakni kemaksuman Nabi berlaku setelah kenabian dan bukan sebelumnya) ialah:

(i)         Al-Amidi, sebagaimana dinyatakan di dalam kitabnya al-Ihkam Fi Ushul al-Ahkam.

Terjemahan:

Mengenai kemaksuman para Nabi (alaihim salam) dan penjelasan perbezaan pandangan mengenainya, serta apa yang disepakati oleh Ahli Syarak mengenai kemaksuman mereka daripada melakukan maksiat, tiada perbezaan pendapat dalam hal ini. Adapun sebelum kenabian, Qadhi Abu Bakar dan sebahagian besar daripada sahabat-sahabat (ulama) kami dan ramai daripada Muktazilah berpendapat bahawa mereka (para Nabi) tidak terhalang daripada melakukan maksiat sama ada besar atau kecil, dan tidak terhalang sedikit pun diangkat (menjadi Nabi) orang yang Islam dan beriman, yang sebelumnya ia adalah seorang kafir  [Al-Amidi, al-Ihkam Fi Ushul al-Ahkam, hal 227-228].

(ii)        Abu Mansur al-Qahir al-Baghdadi, sebagaimana dinyatakan di dalam kitabnya Ushuluddin.

Terjemahan:

Para ulama bersetuju bahawa para Nabi maksum selepas kenabian mereka…dan mungkin sahaja bagi mereka untuk melakukan dosa sebelum kenabian mereka…[Al-Imam Abu Mansur Abdul Qahir al-Baghdadiy, Ushuluddin, hal 167-168]

Wahai JFNJ! Mereka semua adalah ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terkenal, yang mana pandangan Hizbut Tahrir adalah sama dengan pandangan mereka. Maka sekali lagi kami ingin bertanya, apakah menurut anda, para ulama ini juga telah menyeleweng akidah mereka, kerana berpandangan sama seperti Hizbut Tahrir bahawa Nabi dan Rasul tidak maksum sehinggalah diangkat menjadi Nabi atau Rasul?

Sebaliknya, pandangan bahawa kemaksuman Nabi itu berlaku sebelum kenabian merupakan pandangan Syi’ah Imamiyyah dan Mu’tazilah. Hal ini disebutkan di dalam kitab Syarh Kitab al-Fiqh al-Akbar karangan al-Imam al-Mulla Ali al-Qari al-Hanafi.

Terjemahan:

Namun para muhaqqiq mensyaratkan agar perkara ini diperhatikan dan semua ini (kemungkinan dosa) terhenti selepas turunnya wahyu. Adapun sebelum kenabian maka tidak ada dalil yang menyebutkan bahawa para Nabi terhalang daripada melakukan dosa dan pandangan ini berbeza dari Muktazilah. Syiah pula menidakkan para Nabi dalam melakukan dosa kecil dan besar sebelum dan selepas kenabian [Mulla Ali al-Qari al-Hanafi, Minah al-Raudh al-Azhar Fi Syarh al-Fiqh al-Akbar, hal 176].

Hal yang sama disebutkan di dalam kitab-kitab:-

(i)         Hasan bin Yusuf bin Mutahhar Hilli, sebagaimana dinyatakan dalam kitabnya, Nahj al-Haq Wa Kashf al-Sidq.

Terjemahan:

Pembahasan kedua : Para Nabi adalah maksum. Mazhab Imamiyah semuanya berpendapat bahawa Nabi maksum dari dosa kecil dan dosa besar dan dijauhkan dari maksiat – sebelum dan selepas kenabian...[Hasan bin Yusuf bin Mutahhar Hilli, Nahj al-Haq wa Kashf al-Sidq, hal. 142].

(ii)        Muhammad Sulaiman al-Asqar, sebagaimana dinyatakan di dalam kitabnya Af’al ar-Rasul Wa Dalalatuha Fi Ahkam asy-Syariah.

Terjemahan:

Syiah Imamiyah silap dalam menentukan kemaksuman para Nabi sehingga mereka melarang adanya sebarang perlakuan dosa dari para Nabi sebelum dan selepas kenabian…Kebanyakan golongan Muktazilah bersetuju dengan Syiah dalam mazhab mereka kecuali dalam perkara dosa kecil yang tidak melampau, sebelum dan selepas kenabian…Golongan Mutakallimun seperti al-Amidi, ar-Razi dan al-Baqilani dan sebahagian Muktazilah mengatakan bahawa para Nabi boleh melakukan dosa besar dan kecil sebelum kenabian [Muhammad Sulaiman al-Asqar, Af’al ar-Rasul wa Dalalatuha fi Ahkam asy-Syariah, hal. 144].

(iii)       Abu al-Husain al-Basri al-Mu’tazili, sebagaimana dinyatakan di dalam kitabnya Kitab al-Mu’tamad Fi Ushul al-Fiqh.

Terjemahan:

Tidak diperbolehkan ke atasnya (Nabi) perbuatan dosa besar mahupun kecil sebelum dan selepas kenabian…[Abu al-Husain al-Basri al-Mu’tazil, Al-Mu’tamad Fi Ushul al-Fiqh, hal 371].

Nah, sekarang anda nilailah sendiri wahai JFNJ pandangan siapakah yang menepati Ahlu Sunnah Wal Jamaah, dan pandangan siapakah yang tidak. Atas dasar itulah kami sungguh hairan dengan anda wahai JFNJ kerana anda seolah-olah tidak pernah mengetahui perbezaan pandangan ulama dalam hal ini, dan dada anda sungguh sesak dengannya sehingga tidak ada ruang untuk anda berlapang dada mengenainya. Malah lebih buruk, tuduhan anda ke atas Hizbut Tahrir kononnya kami menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana berpandangan bahawa Nabi tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi, hakikatnya Ahli Sunnah Wal Jamaah mempunyai pandangan yang sama seperti Hizbut Tahrir. Manakala kelompok Syiah antara yang berpandangan bahawa Nabi itu maksum sejak lahir. Berlapang dada-lah wahai JFNJ dengan perbezaan pandangan ini, dan contohilah sikap para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak pernah menuduh akidah seseorang itu menyeleweng hanya kerana berpandangan bahawa Nabi itu maksum selepas kenabian.