Bantuan antarabangsa Kapitalisme
Berita:
“Ia (harga air) sepatutnya dikaji semula. Sepatutnya, ketika inflasi pada 1987 kita sudah boleh jual air mentah pada harga RM1 untuk 1,000 gelen kepada Singapura jika perjanjian itu dikaji semula.
“Kalau kita boleh jual RM1 bagi setiap 1,000 gelen, ia sudah naik 97 sen. Kita sudah boleh buat pendapatan berbilion ringgit. Sekarang, disebabkan kecuaian beliau, negara kerugian sehingga mencecah RM100 bilion sepanjang tempoh 75 tahun,” katanya. – Pengerusi Persatuan Aktivis Media Sosial, Datuk Kamarudin Ahmad
Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/372175/dr-mahathir-punca-negara-rugi-hampir-rm100-bilion
Komentar:
Negara Republik Ireland telah dilanda kelaparan dan epidermik penyakit yang dahsyat sekitar tahun 1845-1849. Malapetaka tersebut yang dikenali sebagai ‘The Great Hunger’ telah menyebabkan sekurang-kurangnya 1 juta penduduk negara tersebut meninggal dunia akibat penyakit yang berpunca daripada kelaparan tersebut dan lebih dari 1 juta lainnya telah melarikan diri ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, England, Kanada dan Australia. Ketika menghadapi malapetaka tersebut, Ireland telah menerima bantuan daripada Daulah Khilafah Uthmaniyah yang berpusat di Turki.
Walaupun Daulah Khilafah Uthmaniyah melaksanakan sistem pemerintahan Islam sedangkan agama majoriti di Ireland pula ialah Kristian Katolik, namun ia tidak menjadi penghalang kepada Daulah Khilafah Uthmaniyah untuk menghulurkan bantuan kepada Ireland. Hal ini demikian kerana, Islam menuntut untuk menjaga kesejahteraan seluruh manusia tidak kira apa pun agama dan bangsanya kerana setiap makhluk ini ciptaan Allah SWT.
Dalam urusan berkaitan keperluan manusia, Islam tidak pernah membezakan warna kulitnya hitam atau putih, barat atau timur malah tidak mengira Islam atau selainnya kerana setiap manusia perlu dilayan dengan adil dan saksama kerana tujuan Islam itu diturunkan sebagai rahmat untuk sekelian alam.
Berbeza dengan sistem pemerintahan Kapitalisme yang diterapkan oleh kebanyakan negara ketika ini. Segala bantuan atau urusan mestilah dinilai dari aspek keuntungannya terlebih dahulu. Malah bantuan-bantuan daripada negara-negara kuasa besar barat kepada negara lain yang sering diberikan pula selalunya berbentuk pinjaman berserta faedah (riba) yang sudah pasti akan lebih menekan negara-negara yang diberikan “bantuan” tersebut. Malah jika ada bantuan percuma sekalipun, pastinya ia bertujuan untuk mengawal negara tersebut seperti bantuan yang diberikan oleh Amerika kepada Mesir dan negara-negara lainnya.
Razi Salleh
Aktivis Hizbut Tahrir