Bebaskan Palestin dengan Kekuatan Tentera
PARIT 18 Feb. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hanya demonstrasi secara besar-besaran dan berterusan di seluruh dunia dapat memaksa Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan padunya kepada Israel sekali gus membuka ruang kepada usaha membebaskan bumi Palestin. Bekas Perdana Menteri itu berkata, demonstrasi dalam kumpulan kecil seperti dilakukan di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur tidak akan dapat memberi tekanan kepada negara ‘Uncle Sam’ itu. ”Bukan mudah untuk menyelesaikan konflik di Palestin kerana ia bukan hanya melibatkan Zionis, Yahudi dan Israel tetapi kerana ada kuasa lebih besar mempertahankan Israel walaupun Israel melakukan jenayah. ”Oleh itu, masyarakat dunia perlu memberi tekanan dengan membuat demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia sehingga AS menarik balik sokongannya terhadap Israel,” katanya pada Forum Perdana Ehwal Islam di Universiti Teknologi Petronas di sini malam tadi. Sumber : Utusan Malaysia: 19/02/11
Kejahatan dan kesombongan Israel yang didokong oleh Amerika dengan menggunakan kekuatan ketenteraan untuk terus membunuh dan merampas tanah umat Islam di Palestin itu, wajib dijawab dengan kekuatan tentera dan bukan dengan misi bantuan yang pernah diusahakan oleh Mahathir selama ini ataupun seperti apa yang dikatakannya di atas. Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa Palestin dibuka dengan jihad oleh Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 638 Masehi dengan darah-darah syuhada. Palestin diambil dan dibebaskan semula oleh tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Perang Islam iaitu Salahuddin Al Ayyubi daripada tangan tentera-tentera salib pada tahun 1187 Masehi juga dengan darah-darah syuhada. Dan Palestin dipertahankan dengan kuasa politik Khilafah oleh Sultan Abdul Hamid II dengan penuh kemuliaan ketika ianya cuba dibeli oleh Dr Theodore Herzl pada tahun 1902 Masehi. Maka apakah Mahathir langsung tidak terfikir untuk mengimbau semula catatan sejarah ini? Untuk itu Mahathir seharusnya berusaha untuk memahami firman Allah SWT:
” perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman”. [TMQ At Taubah (9) : 14].
Sudah tiba masanya Mahathir kembali mengambil penyelesaian yang diberikan oleh Islam untuk menyelesaikan setiap persoalan yanag berlaku dan bukannya dengan memilih penyelesaian yang datang dari akalnya semata-mata. Siapakah yang lebih sesat daripada orang-orang yang enggan mengikut petunjuk Allah?
”dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya)”. [TMQ Al Qashash (28) : 50].