Beberapa persoalan tentang zakat

1. Mengagihkan zakat kepada bukan Muslim


Soalan:

Bolehkah zakat diagihkan kepada fakir dan miskin yang bukan Muslim?

 

Jawapan :

Zakat fitrah ataupun zakat mal (harta) hanya boleh diagihkan kepada Muslim sahaja. Ia sama sekali tidak boleh diagihkan kepada bukan muslim (kafir). [Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 94; Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/883]

Dalil tentang tidak dibenarkan untuk memberikan zakat kepada bukan Muslim adalah berdasarkan pada sabda Nabi SAW kepada Muadz bin Jabal r.a. yang mana diutuskannya oleh Nabi SAW ke Yaman:

 

فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

 

Maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat pada harta-harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya mereka (di kalangan kaum Muslimin)  dan diagihkan kepada orang-orang fakir mereka (di kalangan kaum Muslimin)” [HR Bukhari, no 1308; Muslim, no 27; Abu Dawud, no 1351; At-Tirmidzi, no 567; An-Nasa`i, no 2392; Ibnu Majah, no 1773; Ahmad, no 1967]

 

Namun begitu, bagi bukan Muslim yang fakir, boleh diberikan harta selain daripada zakat seperti sedekah, kaffarah, nazar dan lain-lain. Ini menurut pendapat Imam Abu Hanifah, Muhammad bin Al-Hasan, dan Zufar. [Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/883]. Hal ini adalah berdasarkan keumuman lafaz “al-fuqara`” (orang-orang fakir) dalam nas-nas Al-Quran, seperti dalam firmanNya yang bermaksud:

 

Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahan-kesalahanmu. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan” [TMQ Al-Baqarah (2) : 271]

2. Menunaikan zakat perniagaan dalam bentuk keperluan asas makanan

 

Soalan:

Bolehkah zakat perniagaan ditunaikan dalam bentuk keperluan asas makanan seperti beras, gula, minyak masak dan lain-lain?

 

Jawapan :

 

Para ulama berbeza pendapat tentang bentuk pengeluaran dalam zakat perniagaan (zakat ‘uruudh at-tijarah). Terdapat dua pendapat:

 

Pertama, menurut pendapat ulama Hanafiyah (mazhab Hanafi), boleh memilih sama ada untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk ‘ain (barang perniagaannya) ataupun dalam bentuk qimah (nilai barang perniagaannya).

 

Kedua, menurut pendapat jumhur ulama (Malikiyah, Syafi’iyah, dan Hanabilah) bahawa wajib dikeluarkan dalam bentuk nilainya (qimah), bukan dalam bentuk barang yang diniagakan. [Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/794-795]

 

Pendapat yang dianggap rajih (kuat) dan dipilih oleh Syeikh Abdul Qadim Zallum adalah pendapat ulama Hanafiyah iaitu boleh memilih sama ada untuk membayar dalam bentuk barang dagangannya ataupun dalam bentuk nilainya. Ini adalah kerana terdapat dalil-dalil yang membolehkan amil zakat untuk mengambil nilai (qimah) sebagai ganti daripada mengambil harta zakat (barang perniagaan) itu sendiri (‘ainul mal). Antaranya, sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Ubaid, bahawa ‘Amr bin Dinar r.a. meriwayatkan daripada Thawus r.a., bahawa Nabi SAW telah mengutus Muadz ke Yaman. Maka Muadz mengambil baju (tsiyab) sebagai ganti zakat gandum (al-hinthah) dan barli (asy-sya’ir). [Abdul Qadim Zalum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 168-169; 178]

 

Jadi zakat perniagaan boleh dikeluarkan dalam bentuk barang yang diniagakan ataupun dalam bentuk nilai barangnya (qimah), iaitu dikeluarkan dalam bentuk mata wang yang beredar (an-naqd al-mutadawal). [Abdul Qadim Zalum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 18]

 

Berdasarkan hal ini, maka pedagang yang menjual sesuatu barang dagangan (misalnya baju), jika nilai barang dagangannya telah mencapai nisab (iaitu sama nilai dengan 85 gram emas (20 dinar) atau 595 gram perak (200 dirham), serta sudah berlalu satu tahun unutk haulnya), maka wajib untuk dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% (daripada seluruh nilai barang dagangannya termasuk keuntungan). Bentuknya boleh berupa barang dagangannya itu sendiri, iaitu baju, ataupun dalam bentuk mata wang yang beredar yang mempunyai nilai yang sama. [Abdul Qadim Zalum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 180]

 

Jadi, bolehkah zakat perdagangan dibayar dalam bentuk keperluan asas makanan? Menurut pemahaman kami adalah boleh. Dengan syarat, keperluan asas makanan tersebut harus mempunyai nilai (qimah) yang sama dengan nilai zakat perdagangan yang wajib dikeluarkan. Ini adalah kerana zakat perniagaan boleh dikeluarkan dalam bentuk barang yang diperdagangkan, atau dalam bentuk nilainya (qimah).

 

Wallahu a’lam.

 

3. Membayar zakat padi

 

Soalan:

 

Bagi zakat pertanian contohnya seperti padi, bolehkah dikeluarkan zakatnya dengan  membayar sebahagian dalam bentuk beras manakala bakinya dikeluarkan dalam bentuk wang?

 

Jawapan:

 

Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum, padi (al-aruz) tidak termasuk dalam hasil pertanian yang wajib untuk dibayar zakat. Menurut beliau, hasil pertanian yang wajib dizakatkan hanya 4 jenis sahaja, tidak ada yang lain iaitu : (1) barli (asy-sya’ir), (2) gandum (al-hinthah), (3) kismis (az-zabib), dan (4) kurma (at-tamr). [Abdul Qadim Zalum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 162]

 

Pendapat Syeikh Zallum ini adalah hampir dengan pendapat Imam Ibnu Hazm (mazhab Zahiri) yang menyatakan bahawa dalam zakat pertanian hanya terdapat 3  jenis yang wajib untuk dizakatkan, tidak ada yang lain iaitu: kurma (at-tamr), barli (asy-sya’ir) dan gandum (al-qamhu). [Lihat Ibnu Hazm, Al-Muhalla, 2/193, Kitabuz Zakat, mas’alah no 640]

 

Namun begitu, semua fuqaha sepakat (ijma’) bahawa empat jenis tersebut adalah wajib unutk dizakatkan. Demikian adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dan Ibnu Abdil Barr. [Lihat Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 2/49, Kitabuz Zakat; Ibnul Mundzir, Kitab Al-Ijma’, hal 10, fasal 93; Ibnu Hazm, Maratibul Ijma’, hal. 18, Kitabuz Zakat]. Sementara itu, para fuqaha berbeza pendapat mengenai kewajiban zakat hasil pertanian yang selain daripada empat jenis di atas tadi. [Ibnu Hazm, Al-Muhalla, 2/193]

 

Dalil yang menunjukkan pembatasan/penghad (hashr) zakat pertanian hanya pada empat komoditi itu adalah berdasarkan pada sabda Nabi SAW kepada Muadz bin Jabal dan Abu Musa Al-Asy’ari ketika beliau mengutuskan kedua-dua mereka ke Yaman :

 

لا تأخذا الصدقة الا من هذه الاصناف الاربعة الشعير والحنطة والزبيب والتمر

 

Janganlah kamu berdua mengambil zakat kecuali daripada empat jenis iaitu : barli (asy-sya’ir), gandum (al-hinthah), kismis (az-zabib) dan kurma (at-tamr).[HR Al-Baihaqi, As-Sunan Al-Kubra, 4/125]

 

Dalam hadis di atas, perkataan “janganlah” (laa) dirangkaikan dengan perkataan “kecuali” (illa). Ini menunjukkan adanya pembatasan (qashr) bahawa zakat yang diambil hanyalah daripada empat jenis tersebut, tidak diambil selain daripadanya. [Abdul Qadim Zalum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 162]

 

Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa padi tidak termasuk dalam hasil pertanian yang wajib dikenakan zakat. Maka tidak wajib untuk mengeluarkan zakat padi baik dalam bentuk beras mahupun wang yang senilai dengannya. Namun jika padi tersebut diperdagangkan, maka padi tersebut terkena kewajiban zakat perniagaan (‘urudh at-tijarah) apabila sudah memenuhi nisab zakat perniagaan dan sudah berlalu satu tahun (haul).

 

Wallahu a’lam.

4. Ukuran satu sha’ dalam zakat fitrah

 

Soalan:

Ustaz, satu sha’ itu bersamaan dengan berapa kilogram? Adakah sha’ itu suatu ukuran berat ataupun jumlah?

 

Jawapan :

 

Ukuran zakat fitrah adalah satu sha’ bahan makanan pokok (asasi). Sha’ itu adalah ukuran saiz (al-kail), bukan ukuran berat (al-wazan) ataupun jumlah. Satu sha’ gandum (al-qamhu) beratnya adalah lebih kurang 2176 gram. [Abdul Qadim Zalum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 60]