Belangsukawa: Pejuang Khilafah Kembali Menemui Penciptanya

Al-Fatihah…Pejuang Khilafah Kembali Menemui Penciptanya..

Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un…

Seorang aktivis Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia, Siti Fairuz binti Abdul Aziz dari Selangor, Malaysia telah kembali ke rahmatullah, menemui Penciptanya, pada hari Isnin, tanggal 22 September 2014.

Almarhumah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia setelah terlantar sakit.  Almarhumah pergi meninggalkan suami dan seorang anak lelaki.

Semasa hayatnya, Almarhumah merupakan seorang pendakwah muda yang aktif mendakwahkan Syariah dan Khilafah terutamanya dalam kalangan remaja dan mahasiswi.

Didoakan agar segala usaha-usaha dakwah yang telah dicurahkan oleh Almarhumah semasa hidupnya selama ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai suatu amal soleh dan semoga ianya menjadi bukti dan bekalan baginya untuk dibawa bertemu dengan Allah SWT.

Allahummaghfirlaha warhamha wa ‘aafiha wa’fu ‘anha, wa akrim nuzuulaha wa wasi’ mudkholaha..amiin ya Rabbal alamin….

Pihak MHTM dengan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhumah di atas kembalinya beliau ke rahmatullah.

Firman Allah SWT: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 185].

Untuk tatapan dan tautan kasih warga dakwah MHTM buat seorang muslimah pejuang Khilafah yang telah menuju kehidupan yang kekal abadi….

Puisi: Tinggal Kita

Kali ini
Pergimu tidak mungkin kembali lagi
Menghadap Ilahi Rabbul ‘Izzati
Hanya amal bekalan diri
Menuju destinasi yang tidak pernah kunjung pergi
Menjengah alam barzakh destinasi yang pasti

Inilah dia
Bukti Iradah-Nya
Takdir bagi setiap yang bernyawa
Bersamanya kita iringi doa
Tinggal kita sahaja
Entah bila detiknya bakal tiba…

Hari ini
Bahang terasa amat dekat sekali
Tekad ruhmu melaungkan risalah Nabi
Hilang lagi pejuang Khilafah sejati
Tinggal kita saat ini
Di alam realiti
Melakar sejarah nabi sekali lagi…

Astaghfirullah
Baru tersedar waktu tersisa sedikit cuma
Kerana Izrail tak mungkin lewat tiba
Hati gusar menghitung amal dan dosa
Tinggal kita bertanya
Sempurnakah amalan sebagai hamba…?

Islam itu dijanjikan sempurna
Balasan syurga telah tersedia
Arah hidup telah dipeta
Muhammad diutus penunjuk jalannya
Tinggal kita ikut bersama
Mengapa masih berdiam diri sahaja…?

Al-Fatihah…