Belasungkawa: Perginya seorang pejuang

Pada Sabtu 29/10/2022, keluarga besar Hizbut Tahrir Malaysia telah kehilangan salah seorang anggotanya, Syaril Johari setelah beliau sekian lama berjuang menghadapi barah tahap empat yang dideritainya.

Allahyarham Syaril merupakan anggota HTM yang komited dalam melaksanakan amanah yang dipikul, meskipun dalam keadaan dirinya yang diuji dengan barah. Bahkan komitmen dan kesungguhan beliau diteruskan sehingga ke akhir hayat beliau.

Beliau banyak terlibat dalam usaha dakwah khasnya di sekitar Selangor. Beliau turut terlibat dalam misi qadha’ masalih ummah pada awal tahun 2015 demi meringankan beban mangsa-mangsa yang terjejas akibat ‘Bah Kuning’ yang melanda Kelantan pada penghujung 2014.

Walaupun beliau seorang yang tidak banyak bercakap, namun kehilangan beliau tetap meninggalkan kesan buat para anggota HTM, khususnya yang mengenali beliau.

Sungguh, Allahyarham Syaril bukan sahaja seorang yang konsisten dalam perjuangan menegakkan Khilafah, bahkan beliau tidak pernah menjadikan sakitnya sebagai alasan untuk mengalah.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa beliau, menerima segala amalan beliau dan menempatkan beliau bersama-sama para Solehin di syurga-Nya.