Bencana Buang Bayi Terus Berlarutan
Tahun 2011 baru seminggu membuka tirainya tetapi dalam tempoh itu tujuh kes buang bayi dilaporkan. Angka itu perlu diberi perhatian serius dan bimbang dengan gejala yang berterusan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerajaan akan memperhebatkan kempen kesedaran dalam usaha menyekat gejala itu daripada berlarutan. “Kerajaan komited terhadap usaha membanteras perbuatan membuang bayi yang kini menuntut tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen ‘Kami Prihatin’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini. Kempen itu adalah untuk mencetuskan rasa keinsafan dan menebalkan kembali nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak dan buang bayi. Shahrizat berkata kementerian akan terus mendekati golongan remaja hingga ke peringkat akar umbi selain mempergiatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam menjalankan kempen kesedaran mendidik masyarakat. Beliau berkata media massa dan badan-badan agama juga perlu terus memainkan peranan yang lebih kritikal bagi membendung gejala itu.- Bernama
Sumber: Malaysiakini 08/01/11
Wahai Shahrizat, Apakah Kamu Prihatin Dengan Hukuman Allah SWT?
Mungkin kata-kata di atas nampaknya kasar dan pedas. Tetapi kadang-kadang ianya perlu kerana nampaknya pemerintah sekular umat Islam di Malaysia masih terus memanifestasikan kejahilan mereka dalam menangani masalah sosial yang kini terbukti jelas semakin parah dan membarah. Wahai para pemimpin sekular! Wahai Shahrizat! Rancanglah sebanyak manapun program, kempen dan pendekatan untuk menangani masalah manusia yang wujud pada hari ini, namum jika ianya tidak mengikut acuan dan penyelesaian yang datang dari Allah SWT sebagai Pencipta manusia ia akan pasti menemui kegagalan dan kehampaan. Firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Ta-ha (20) : 124].
Apakah kita sebagai umat Islam, umat yang digelar sebagai umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia tidak pernah terpikir bagaimana kejayaan dan kemampuan Islam sebagai suatu ideologi sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, berjaya dan mampu mengubah pelbagai amalan masyarakat jahiliyyah? Mereka pernah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup namun kehidupan kaum tersebut bertukar kepada suatu kehidupan yang paling mulia selepas mereka menerima Islam? Kejayaan ini terhasil apabila masyarakat jahiliyyah itu diubah pemikiran dan cara hidup mereka kepada pemikiran dan cara hidup Islam. Dalam erti Rasulullah SAW berjaya mengubah kehidupan masyarakat jahiliyyah itu apabila sistem Islam diterapkan di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di mana diantaranya adalah apabila diterapkannya sistem ‘uqubat dan sistem sosial Islam. Firman Allah SWT:
“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ Al-Jumaah (62) : 2].
Bukankah sudah sampai waktunya pemerintah Malaysia menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara bagi menyelesaikan masalah ini?