Berapa banyak lagi darah yang akan ditumpahkan oleh Saudi?
Latihan ketenteraan the Northern Thunder yang berlangsung selama 12 hari di Arab Saudi telah pun berakhir. Latihan tersebut melibatkan lebih kurang 350,000 tentera dari 20 buah negara yang menjadi anggota dalam pakatan “menentang keganasan” yang diterajui oleh Arab Saudi [Gulf News, 15/3/16]. Latihan tersebut bertujuan antara lain untuk meningkatkan kemampuan pakatan tersebut dalam mengkoordinasi misi ketenteraan dan perang berbentuk gerila, khasnya dalam menghadapi ancaman daripada IS (Daesh) dan telah mencatat sejarah perkumpulan ketenteraan yang terbesar semenjak operasi Desert Storm pada tahun 1991.
Sebahagian negara yang menyertai latihan tersebut dikatakan sedang menghadapi “ancaman” pemberontakan bersenjata dan perang gerila di negara masing-masing. Mali misalnya, dikatakan sedang berdepan dengan ancaman al-Qaeda, manakala Pakistan dikatakan sedang menghadapi ancaman Taliban. Arab Saudi selaku tuan rumah pula, sedang berhadapan dengan ancaman dari dua medan iaitu konflik di Yemen di bahagian selatan dan ancaman dari IS di sempadan utara negaranya.
Saudi juga dikatakan terancam dengan proksi-proksi Iran di sekelilingnya, iaitu Hezbollah di Lebanon dan Syria, militia Syiah di Iraq dan pemberontak Houthi di Yemen yang dilaporkan menerima bantuan daripada Iran.
Atas alasan menghadapi ancaman tersebut, tentera Saudi telah terlibat dalam kemelut di Syria semenjak 2014 apabila negara tersebut menyahut seruan Amerika (AS) bagi memerangi IS. Kemudian, Saudi menjerumuskan diri ke dalam konflik di Yemen setelah Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi meminta bantuan bagi menghadapi pemberontak Houthi kira-kira setahun yang lalu, dan siapa yang celik politik akan pasti tahu peranan AS di sebalik konflik ini.
Kempen ketenteraan terbesar antara negeri kaum Muslimin ini berlangsung sewaktu Saudi sedang berdepan dengan masalah ekonomi ekoran kejatuhan harga minyak ($38 setong setakat 11/3/16). Demi ketaatan kepada Amerika, Saudi tidak menghiraukan campur tangannya di Yemen yang bukan sahaja menelan kos yang besar, malah bakal menyebabkan berdepan dengan embargo bekalan senjatan oleh Kesatuan Eropah (EU) setelah anggota-anggota kesatuan tersebut membuat undian pada Februari lalu [European Parliament resolution on the humanitarian situation in Yemen, 25/2/2016].
Undian tersebut dibuat ekoran tindakan Saudi yang didakwa telah menggunakan bom kluster sehingga mengorbankan hampir 3000 orang (daripada jumlah keseluruhan korban sebanyak 6000 orang), dan sebahagiannya adalah orang awam, semenjak Saudi melancarkan serangan ke atas Yemen.
Besarnya magnitud kemelut ekonomi Saudi dapat digambarkan dengan khabar yang mendakwa bahawa kerajaan tersebut sedang mempertimbangkan untuk membuat pinjaman daripada bank luar sejumlah 10 bilion dolar, sebagaimana yang dilaporkan oleh Reuters. Terdahulu, belanjawan 2016 negara itu turut menunjukkan perbelanjaan defisit bagi tahun ini [Business Insider, 3/3/2016]
Apa yang berlaku ini amat menyedihkan kerana Saudi telah melakukan pembunuhan sesama Muslim semata-mata kerana akur dengan kehendak AS dalam rancangan jahat negara kafir itu terhadap rantau Timur Tengah dan memastikan cengkamannya ke atas ke atas umat Islam.
Saudi yang sepatutnya menghalakan muncung jet pejuangnya ke negara haram Yahudi dan juga AS, sebaliknya bertindak mengebom dan membunuh saudara seakidahnya sendiri. Kini, selepas tamat latihan ketenteraan terbesar tajaannya dengan kerjasama AS, berapa banyak lagikah darah umat Islam yang akan ditumpahkannya sebelum Allah menurunkan pembalasanNya terhadap segala pengkhianatannya selama ini?