Berbilion-bilion dikaut, 10 sen dipulangkan
Penurunan kali ini, yang hanya kurang 5 sen daripada yang sebelumnya, diharap oleh Perdana Menteri agar dapat meredakan kesusahan rakyat semasa pulang berhari raya.
Terima kasihlah kepada kerajaan yang begitu prihatin dengan kesusahan rakyat, setelah berbilion-bilion keuntungan mereka kaut dari hasil minyak yang menjadi hak umat ini, mereka lalu menurunkannya 10 sen. Alangkah gembiranya hati kami yang kini kembali menikmati hidup dengan sejahtera dan penuh nikmat dengan ‘duit raya’ 10 sen dari pemerintah ini!
Walaupun ratusan ribu bantahan telah dikemukakan oleh rakyat agar harga bahan bakar ini diturunkan sewajarnya, namun kerajaan tetap berdegil tidak mahu berbuat demikian. Kerajaan Kapitalis ini tentunya tidak rela mendapat ‘untung’ yang sedikit, sedangkan mereka boleh mengaut keuntungan yang besar dengan memperdagangkan bahan bakar ini dengan rakyatnya. Jadi, rugi dan bodohlah mereka jika mereka tunduk dengan kehendak rakyat, walhal mereka boleh hidup kaya raya dengan keuntungan dari sumber bumi ini.
Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah pun menghantar surat bantahan kepada Menteri yang berkenaan, mengingatkan mereka bahawa perbuatan mereka yang ‘menjual’ minyak kepada rakyat adalah satu keharaman. Ini kerana menurut Islam, minyak adalah hak rakyat yang wajib dikelola oleh pemerintah, dan dipulangkan hasilnya semula kepada rakyat. Kerajaan sewajibnya hanya mengenakan ‘harga kos’ sahaja kepada rakyat, bukannya mengaut keuntungan, apatah lagi berbilion-bilion jumlahnya.
Islam telah membahagikan hak milik kepada 3 kategori iaitu pemilikan individu (milikiyyah al-fardiah), pemilikan umum (milkiyyah al-ammah) dan pemilikan negara (milikiyyah al-daulah). Bahan galian atau mineral yang banyak atau tidak terbatas / tidak putus (contohnya petroleum, gas, emas, bijih timah dan seumpamanya) adalah termasuk ke dalam pemilikan umum yang haram dimiliki oleh Negara. Abu Daud meriwayatkan bahawa,
“Ia (Abyadh bin Hamal) datang kepada Rasulullah saw. meminta untuk mengelola (galian) garam. Rasul lalu memberikannya. Setelah ia pergi ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasul, “Wahai Rasulullah, tahukah apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikannya sesuatu yang bagaikan air mengalir.” Lalu ia berkata: Kemudian Rasulullah saw. pun menarik kembali galian itu darinya.” [HR Abu Dawud].
Apabila sifat bahan galian/mineral itu adalah seperti “ma’ul idd” (air yang mengalir), maksudnya tidak terbatas, tidak kiralah sama ada ia berada di atas bumi atau di dalam bumi, sama ada dalam bentuk padat/pepejal atau cecair, maka ia adalah milik umum (milik semua orang). Dan tugas negara hanyalah mengelola kepemilikan umum ini untuk dikembalikan kepada tuannya yang berhak (rakyat).
Justeru, jika dikembali dan di bahagikan keuntungan yang telah diumumkan oleh Petronas yang berjumlah sebanyak RM67.6 billion ini kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah 26 juta, maka yang pastinya setiap orang berhak mendapat RM2,600 seorang. Ini jika dikira keuntungan terbaru yang diumumkan Petronas, belum lagi mengambil kira beratus-ratus billion keuntungan yang telah dirampas kerajaan sejak berpuluh tahun yang lepas.
Oleh kerana itu, penurunan 10 sen yang diumumkan kerajaan ini hanyalah sebuah tindakan untuk memperbodohkan rakyat dan menutup mulut mereka sedikit menjelang hari raya. Jika kerajaan benar-benar prihatin kepada kebajikan rakyatnya menjelang Hari Raya Aidilfitri kali ini, kerajaan seharusnya menerapkan syariat Islam sepenuhnya dan memulangkan semula semua kekayaan rakyat yang telah dikaut sepanjang penubuhan Petronas dengan mengembalikan semula wang rakyat yang telah dirampas melalui Petronas. Yang lebih penting, hanya dengan melakukan hal ini sahajalah (menerapkan hukum syarak) yang akan membebaskan para pemerintah dari dosa besar yang mereka tanggung selama ini.