Hinanya pemimpin apabila ‘merasuah’ rakyat dengan minyak

Tidak semena-mena kerajaan Malaysia menurunkan harga minyak pada 22 Ogos 2008, bukan sebagaimana yang dimaklumkan iaitu pada 1 September 2008. Menteri kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob sebelum itu dipetik berkata sewaktu ditemuramah dalam rancangan “The Exchange”,
“Kita kira purata bagi bulan ini dan menggunakannya bagi bulan depan. Jadi, paling awal, jika harga terus turun pada bulan Ogos, ialah 1 September”.

Begitu tidak sabar-sabar kerajaan ingin ‘berbudi’ kepada rakyat! Kerajaan yang selama ini sombong dan bongkak tiba-tiba berubah wajah akibat dihantui oleh tarikh 26hb Ogos 2008 di mana pilihan raya yang membabitkan Anwar Ibrahim akan berlangsung.

Jelas bahawa tujuan minyak diturunkan dengan tergesa gesa adalah semata-mata ingin menggambarkan di mata hati rakyat bahawa kerajaan ini adalah begitu prihatin tentang kesusahan rakyat dan seterusnya menjadi bahan kempen pilihan raya di Permatang Pauh pada 26 hb Ogos 2008.

Datuk Seri Abdullah berkata,

(Ada) harapan untuk kita kurangkan harga minyak…Saya senang hati dan kita ada kebolehan untuk mengurangkan harga minyak,” [Malaysiakini]

Apakah dengan nilai sedikit yang dipulangkan dari hak-hak rakyat yang telah dirampas itu telah menyebabkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berasa senang hati. Begitu jahil sekali kata-kata yang terpancar, seolah-olah minyak adalah miliknya sendiri dan boleh diperniagakan dengan rakyat sesuka hatinya. Apakah pemimpin ini tidak mengetahui tanggungjawabnya terhadap rakyat yang telah digariskan oleh Islam, bahawa minyak adalah hak rakyat, dan tanggungjawabnya hanyalah untuk menguruskannya sahaja dan memulangkan segala hasil mahsulnya kepada rakyat?

Ketahuilah bahawa nilai 15 sen tersebut di sisi Allah SWT adalah suatu kehinaan yang akan menimpa orang yang menetapkannya, kerana rakyat berhak mendapat jauh lebih besar dari itu jika para pemimpin memperhitungkan takwa kepada Allah, berbanding memperhitungkan undi di Permatang Pauh. Islam telah menetapkan bahawa minyak hak milik umat, pemimpin diamanahkan agar menguruskan hak-milik umat ini agar dapat memberi manfaat kepada rakyat dengan penuh ketakwaan dan bukan digunakan untuk berjual beli atau ‘merasuah’ rakyat.

Rakyat tidak sepatutnya termakan hati dengan nilai 15 sen tersebut. Allah SWT telah menetapkan bahawa minyak adalah hak rakyat, hanya sahaja rakyat perlu berpaling dari kerajaan yang zalim ini dan berusaha untuk menegakkan kembali Khilafah, agar segala hak rakyat akan ditunaikan oleh seorang Khalifah yang bertakwa.